top of page
  • Writer's pictureDr Che Puteh Osman

SIRI 48: BENARKAH BIJI APRIKOT MERAWAT KANSER?

Biji aprikot ini mengandungi sebatian kimia semulajadi amygdalin. Ia sejenis sebatian kimia yang mempunyai kumpulan berfungsi sianida.

Bukan biji aprikot saja ada amygdalin, biji epal, dalam almond liar (bukan almond yang kita makan tu), biji ceri, biji buah peach, biji buah pear dan lain-lain pun ada.


Kalau bila mengunyah biji buah ini, amygdalin dalam biji akan dikeluarkan dan dicerna oleh enzim di dalam usus menghasilkan sianida dan L-laetrile.

Jika diambil berlebihan boleh menyebabkan keracunan sianida. Keracunan sianida boleh berlaku pada 0.5-3.5mg per kilogram berat badan.

Katakan seorang dewasa mempunyai berat badan 50kg, sekitar 15-50 mg sianida berisiko menyebabkan keracunan. 50-300 mg boleh menyebabkan kematian. Iaitu sekitar dua cawan biji epal dan 3 biji sederhana biji buah aprikot.

Biji buah aprikot memgandungi amygdalin lebih tinggi banding biji buah lain iaitu sekitar 0.1-4.1 mg/g bergantung di mana pokoknya ditanam. Faktor stress dari persekitaran seperti jumlah cahaya matahari, kelembapan udara, air, tanah, jangkitan dan serangan serangga memepengaruhi penghasilan sebatian kimia semulajadi oleh tumbuhan.

Benarkah amygdalin merawat kanser? Ia bermula pada tahun 1920-an apabila terdapatnya dakwaan L-laetrile iaitu produk hidrolisis amygdalin merawat kanser.

Tetapi kajian hanya terhadap tikus dan kajian klinikal pada tahun 1980-an menunjukkan L-laetrile tidak merawat kanser. Malah kajian demi kajian menunjukkan pencernaan amygdalin menghasilkan sianida yang berbahaya.

Kesimpulannya, makanlah epal anda tanpa ragu. Dan jangan makan biji buah pula untuk merawat kanser. Kanser tidak pulih, keracunan pula.




Rujukan

Haisman, D. R., & Knight, D. J. (1967). The enzymic hydrolysis of amygdalin. The Biochemical journal, 103(2), 528–534. doi:10.1042/bj1030528

Hodgson, E. (2012) Chapter Fourteen - Toxins and Venoms, Ed: Hodgson, E. Progress in Molecular Biology and Translational Science, Academic Press, 112, 373-415

Newton, G. W., Schmidt, E. S., Lewis, J. P., Conn, E., & Lawrence, R. (1981). Amygdalin toxicity studies in rats predict chronic cyanide poisoning in humans. The Western journal of medicine, 134(2), 97–103.

Tamer, C. E., Senem, S. ,Özcan-Sinir, G. (2019) 14 - Toxicological Aspects of Ingredients Used in Nonalcoholic Beverages, Ed: Grumezescu, A. M., Holban, A. M. In Non-Alcoholic Beverages, Woodhead Publishing, 441-481

593 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
logo.jpg

Blog ini membawakan artikel ilmiah tentang tumbuhan dan sebatian kimia semulajadi dalam bahasa yang mudah difahami.

bottom of page