SIRI 48: BENARKAH MINYAK MASAK MURAH ADALAH MINYAK KITAR SEMULA?
Updated: 20 Okt 2019
Baru-baru ini saudara saya ada kongsikan video yang mengatakan minyak masak terpakai diproses semula menjadi minyak masak untuk menggoreng.
Saya ingin mengulas mengenai minyak terpakai ini. Benarkah minyak masak murah sebenarnya minyak kitar semula?
Sebenarnya minyak masak dalam pek kecil masih bersubsidi sebab itu harganya masih murah.

Minyak masak mentah yang diperoleh di kilang minyak sawit adalah berwarna merah dan separa pepejal. Ia berwarna merah kerana ia mengandungi karotenoid yang tinggi.
Manakala ia separa pepejal kerana mengandungi asid lemak tepu iaitu asid palmitik dan asid stearik sekitar 60-70% manakala selebihnya adalah asid lemak tidak tepu iaitu asid oleik dan asid linoleik sekitar 30-40%. Asid lemak tepu berbentuk pepejal manakala asid lemak tidak tepu berbentuk cecair.
Proses pemeringkatan (fractionation) dilakukan bagi menghasilkan minyak sawit dengan menyejukkan minyak sawit ini. Asid lemak tepu akan membeku dan dipisahkan dengan asid lemak tidak tepu. Asid lemak tidak tepu inilah yang digunakan sebagai minyak masak sawit. Saya pernah menjelaskan tentang pemprosesan sawit dengan terperinci di sini.

Imej tangkap layar dari http://palmoilis.mpob.gov.my/publications/POD/pod62-saw.pdf
Minyak masak kita mengandungi tinggi kandungan asid tidak tepu seperti asid oleik sekitar 40-44% dan asid linoleik sekitar 10-13%. Selebihnya adalah asid tepu palmitik sekitar 40-43%. Ini menjadikan ia lebih stabil apabila digoreng dan tidak mudah teroksida.
Kebiasaannya minyak sawit menjalani sekali atau lebih proses pemeringkatan bagi memastikan kualiti minyak masak. Selain itu, masa dan tempoh proses pemeringkatan mempengaruhi kualiti minyak masak. Ia juga bergantung kepada kualiti buah sawit dan kualiti minyak sawit mentah yang digunakan untuk menghasilkan minyak masak.
Namun begitu, tidak dinafikan terdapat minyak masak berkualiti rendah yang kelihatan sedikit keruh. Ini kerana minyak masak ini dihasilkan melalui satu proses pemeringkatan atau proses pemeringkatan yang terlalu singkat.
Ini menyebabkan kandungan asid lemak tepu di dalam minyak masak tersebut lebih tinggi berbanding minyak masak yang melalui lebih dari sekali proses pemeringkatan atau melalui proses pemeringkatan yang lebih lama.
Sebab itu minyak yang mengandungi asid lemak tepu yang lebih tinggi kelihatan sedikit keruh. Tetapi ia boleh digunakan, cuma tidak digalakkan menggoreng banyak kali dan tidak digalakkan menyimpan minyak lebih lama.
Untuk kesihatan, elakkan menggoreng menggunakan minyak yang sama banyak kali. Ini kerana proses pemanasan berkali-kali berisiko menghasilkan bahan berbahaya disebabkan proses pengoksidaan, hidrolisis dan pempolimeran asid lemak di dalam minyak masak.
Proses ini bukan sekadar berlaku dalam minyak masak sawit, ia juga berlaku dalam minyak zaitun, minyak soya, minyak biji matahari dan lain-lain.
Benarkah minyak masak terpakai itu digunakan untuk menghasilkan minyak masak kitar semula?
Untuk mengesahkan hal ini, saya telah menghubungi rakan sekelas saya ketika ijazah pertama dahulu untuk mendapatkan pandangannya. Ini kerana beliau bekerja di sektor industri kelapa sawit.
Menurut rakan saya, minyak terpakai itu dibeli untuk menghasilkan biodiesel. Ini kerana walaupun minyak masak telah terhidrolisis, bahan yang digunakan untuk menghasilkan biodiesel adalah dari bahan terhidrolisis tersebut.
Bahan tersebut akan melalui proses tindakbalas ester menghasilan fatty acid methyl ester (FAME). FAME akan diadunkan dengan diesel mengikut peratusan yang ditetapkan MPOB. Maka terhasillah biodiesel.
Di Malaysia ada satu syarikat yang monopoli pembelian minyak terpakai ini. Dan minyak terpakai yang dibeli syarikat ini digunakan untuk menghasilkan biodiesel. Namun, di luar pengetahuan kami sama ada adakah terdapat aktiviti secara haram membeli minyak terpakai untuk menghasilkan minyak masak kitar semula.

Namun harus diingat, pembelian dan pemprosesan minyak terpakai ini dipantau Malaysian Palm Oil Board (MPOB). Jadi, kemungkinan terjadi itu agak tipis.
Oleh itu, belilah minyak dari syarikat yang mempunyai reputasi seperti Felda Golden Ventures dan Sime Darby. Ini kerana mereka telah memperoleh akreditasi kualiti dan berstatus halal. Jika mereka melakukan seumpama ini tentulah reputasi, akreditasi kualiti dan persijilan halal mereka terjejas.
Ingatlah, minyak murah dalam plastik atau botol satu kilogram bukanlah minyak terpakai. Ia murah kerana ia bersubsidi.
Nota kaki:
Jika anda ingin belajar mengenai minyak sawit, anda boleh melawat Palm Oil Experience Centre, Carey Island milik Sime Darby. Ia terbuka kepada orang ramai. Jika anda ingin melakukan lawatan bersama pelajar, anda boleh hubungi mereka. Maklumat ada di dalam laman web mereka.
Rujukan
Gerhard Knothe, Kevin R. Steidley. (2009)A comparison of used cooking oils: A very heterogeneous feedstock for biodiesel, Bioresource Technology,100, 5796-5801,
Huey, S. W., Let, C. C. and Beng, Y. C. New Developments in Palm Oil Fractionation. Assessed on Oct 19, 2019 from http://palmoilis.mpob.gov.my/publications/POD/pod62-saw.pdf
Jaarin, K. and Kamisah, Y. (August 29th 2012). Repeatedly Heated Vegetable Oils and Lipid Peroxidation, Lipid Peroxidation, Angel Catala, IntechOpen, DOI: 10.5772/46076. Available from: https://www.intechopen.com/books/lipid-peroxidation/repeatedly-heated-vegetable-oils-and-lipid-peroxidation
Leong X.F., Najib M.N.M., Das S., Mustafa M.R., Jaarin K. (2009). Intake of repeatedly heated palm oil causes elevation in blood pressure with impaired vasorelaxation in rats. Tohoku J. Exp. Med., 219, 71–78.