top of page

SIRI 48: KULIT MANGGIS MERAWAT DIABETES, SEJAUH MANAKAH KEBENARANNYA?

Updated: 19 Mei 2019

Musim buah dating lagi. Pada musim ini juga meriah dengan petua kulit buah seperti kulit buah durian dan kulit buah manggis berpotensi merawat diabetes. Benarkah dakwaan ini?


Imej dari Pixabay

Buah manggis ada nama saintifiknya Garcinia mangostana, kaya dengan sebatian kimia dari kelas prenylated xanthones terutama ɑ-mangostin dan Ɣ-mangostin. Berbanding buahnya yang hanya mengandungi sekitar 1 mg bagi setiap g buah manggis, kulit manggis mengandungi 30 mg bagi setiap g kulit manggis [1].


ɑ-Mangostin dan Ɣ-mangostin menunjukkan aktiviti antikeradangan, antidiabetes dan beberapa aktiviti yang lain [2]. Persoalannya adakah sekadar merendam kulit buah manggis cukup membekalkan xanthones bagi memberikan kesan antidiabetes?



Di dalam kulit buah manggis terdapat sekitar 30 mg xanthones bagi setiap g kulit manggis. Adakah sebatian kiia ini mengalami degradasi dalam system pencernaan manusia? Di dalam kajian RCT ke atas 5 lelaki dan 5 wanita yang sihat yang diberikan jus mangostin, hanya 2% sebatian terbitan mangostin berjaya diserap [1] disebabkan kadar serapan yang rendah.


Kajian kesan toksik ekstrak kulit manggis juga menunjukkan ia tidak memberikan kesan toksik dalam julat kepekatan yang diuji. Kadar kesan toksik median ekstrak kulit manggis yang mengandungi 25% ɑ-mangostin yang menyebabkan kematian tikus yang diperhatikan pada tikus adalah 231 mg bagi setiap kg berat tikus. Manakala LD50 bagi ɑ-mangostin adalah 150 mg bagi setiap kg berat tikus [3]. Dalam kajian yang lain, ekstrak kulit manggis yang mengandungi sekitar 15% ɑ-mangostin dan Ɣ-mangostin tidak menjejaskan fungsi hati dan buah pinggang tikus [4]. Pemberian 10-2000 mg ɑ-mangostin sekali sehari selama 28 hari tidak memberikan kesan toksik kepada tikus [5]


Di dalam beberapa kajian pra klinikal ke atas model haiwan, ekstrak kulit manggis yang kaya dengan xanthones terutama ɑ-mangostin dan Ɣ-mangostin membantu mengawal gula dalam darah tikus.


Antara mekanisme bagaimana ekstrak kulit manggis dan sebatian terbitan mangostin mengawal gula adalah dengan meningkatkan ekspressi PPAR Ɣ pada sel adipocyte [6], merencat enzim ɑ-amylase [7] dan meransang sel pankreas bagi menghasilkan insulin [4]. Pemberian ekstrak kulit manggis juga menurunkan paras gula postprandial dan mengurangkan glycated hemoglobin tikus [5].


Di dalam satu laporan prosiding di Indonesia, pemberian ekstrak kulit manggis mengurangkan kandungan gula posrtprandial kepada 10 pesakit diabetes jenis II berbanding kumpulan kawalan yang tidak diberikan rawatan. Kajian ini mengandungi beberapa kelemahan antaranya saiz kajian yang kecil, tiada maklumat standardisasi penyediaan ekstrak, dan nilai sisihan piawai (SD) yang besar [8].


Kesimpulannya, ekstrak kulit manggis tidak menunjukkan kesan toksik dalam kajian ke atas tikus. Walaupun kandungan sebatian terbitan mangostin adalah sekitar 0.03% dalam kulit manggis, sebatian aktif ɑ-mangostin diserap pada kadar yang rendah dalam badan manusia. Kajian masih tidak cukup untuk mengatakan ia berkesan mengawal diabetes berbanding ubat sedia ada. Janagn sesekali terpedaya dengan cadangan meninggalkan ubatan hospital dan mencuba ekstrak kulit manggis.


Che Puteh Osman

PhD (Natural Product Chemistry)


Rujukan:


[1] Chitchumroonchokchai, C.; Riedl, K. M.; Suksumrarn, S.; Clinton, S. K.; Kinghorn, A. D.; Failla, M. L., Xanthones in Mangosteen Juice Are Absorbed and Partially Conjugated by Healthy Adults. The Journal of Nutrition 2012, 142 (4), 675-680.


[2] Gutierrez-Orozco, F.; Failla, M., Biological Activities and Bioavailability of Mangosteen Xanthones: A Critical Review of the Current Evidence. Nutrients 2013, 5 (8), 3163.


[3] Choi, Y. H.; Han, S. Y.; Kim, Y.-J.; Kim, Y.-M.; Chin, Y.-W., Absorption, tissue distribution, tissue metabolism and safety of α-mangostin in mangosteen extract using mouse models. Food and Chemical Toxicology 2014, 66, 140-146.


[4] Taher, M.; Tg Zakaria, T. M. F. S.; Susanti, D.; Zakaria, Z. A., Hypoglycaemic activity of ethanolic extract of Garcinia mangostana Linn. in normoglycaemic and streptozotocin-induced diabetic rats. BMC Complementary and Alternative Medicine 2016, 16 (1), 135.


[5] Kumar, V.; Bhatt, P. C.; Kaithwas, G.; Rashid, M.; Al-abbasi, F. A.; Khan, J. A. J.; Anwar, F.; Verma, A., α-Mangostin Mediated Pharmacological Modulation of Hepatic Carbohydrate Metabolism in Diabetes Induced Wistar Rat. Beni-Suef University Journal of Basic and Applied Sciences 2016, 5 (3), 255-276.


[6] Ratwita, W.; Sukandar, E. Y.; Kurniati, N. F.; Adnyana, I. K., Alpha mangostin and xanthone from mangosteen (Garcinia mangostana L.) role on insulin tolerance and PPAR-γ in preclinical model diabetes mellitus. Journal of Pharmacy and Nutrition Sciences 2018, 8 (3), 83-90.


[7] Eng Kiat Loo, A.; Huang, D., Assay-guided Fractionation Study of α-Amylase Inhibitors from Garcinia mangostana Pericarp. Journal of Agricultural and Food Chemistry 2007, 55 (24), 9805-9810.


[8] Anam, M. (2017) The Effect of Mangosteen (Garcinia Mangostana) Rind in The Blood Glucose Levels of Adult Patients with Type 2 Diabetes Mellitus, UI Proceedings on Health and Medicine 1,


278 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
logo.jpg

Blog ini membawakan artikel ilmiah tentang tumbuhan dan sebatian kimia semulajadi dalam bahasa yang mudah difahami.

bottom of page