top of page

SIRI 5: HIKMAH PETUA ORANG DULU-DULU

Updated: 20 Mei 2019

Saya selalu dengar tentang pelbagai produk pencuci kawasan sulit wanita. Tetapi tidaklah begitu mengejutkan sehingga baru-baru ini. Pencuci yang dibacakan dengan 30 juzuk al-Quran! Kegilaan apakah ini. Apabila doktor perubatan cuba menerangkan kenapa bahagian sulit wanita tidak perlu dicuci dengan pencuci khas, berbagailah komen seperti ilmu Allah luas, tumbuhan tidak dijadikan dengan sia-sia dan macam-macam lagilah.


Ada orang kata orang dulu-dulu elok je cuci dengan air sireh. Tak ada apa-apa pun. Disebabkan saya ini berkemahiran bidang kimia hasilan semulajadi terutama bidang kimia tumbuhan, mari saya beritahu perspektif yang jarang orang tahu.


Sumber gambar tidak diketahui

Orang dulu-dulu pun dia tak cuci bahagian sulit dengan air sireh setiap hari. Dia pun tak minum air akar kayu atau sebarang ramuan herba setiap hari seperti petua facebook hari ini. Mereka hanya akan guna herba kalau ada indikasi tertentu. Contohnya kalau ada kegatalan alat sulit, kalau ada simptom tertentu baru mereka guna. Kaedah menanam, memetik, memproses herba, berapa lama hendak rebus dan berapa lama hendak makan, ada kaedahnya.


Walaupun ilmu perubatan berasaskan herba sudah agak maju dikalangan manusia dahulu, tetapi kadar jangka hayat tetap rendah pada zaman dahulu berbanding pada zaman sekarang. Pada tahun 1950-an jangka hayat orang Tanah Melayu hanya sekitar 48 tahun. Hari ini jangka hayat orang Malaysia adalah 74 tahun secara purata.


Kenapa begitu? Kerana pengetahuan mereka tentang pelbagai penyakit masih rendah. Tuan puan tentu pernah dengar orang kata kena busung sebab makan harta anak yatim. Mungkin ya mungkin tidak. Entah-entah mereka menghidap cirrhosis atau kanser hati. Terdapat pelbagai penyakit lagi yang menyebabkan perut membusung.


Berbalik kepada daun sireh. Ia memang terbukti dalam kajian piring petri mempunyai sifat antibakteria dan antifungal. Persoalannya, adakah bakteria dan fungal dalam kajian tersebut sama dengan bakteria dan fungal yang menjangkiti kawasan sulit wanita? Dan berapakah dos selamat dan dos berkenaan?


Vagina mempunyai flora bakteria yang hidup sihat secara semulajadi di situ. Penggunaan pencuci asing walaupun sabun mandi biasa sekalipun akan mengganggu ‘kesejahteraan’ bakteria di situ. Sebagai satu kaedah kesihatan vagina, bakteria baik hidup dengan seimbang. Sebarang pertukaran keadaan terutama pH akan menyebabkan bakteria baik mati dan bakteria jahat akan mula menguasai kawasan tersebut.


Akibatnya akan berlaku jangkitan kuman dan fungal dan menyebabkan bau yang sangat busuk, pengeluaran cecair berwarna dan kegatalan. Alat sulit dalam keadaan sihat akan mengeluarkan cecair cernih, kepekatan atau banyaknya cecair tersebut mengikut kitaran haid. Ia sebagai satu mekanisme vagina untuk cuci diri sendiri atau self cleasing. Kita tidak payah cuci dah dengan sabun, tetapi cukup untuk membersihkan kawasan sulit dengan air mutlak sehingga diyakini bersih untuk beribadah.


Pengetahuan orang dulu-dulu tentang pemerhatian mereka tentang alam semulajadi digunakan oleh saintis bagi mencari ubat-ubatan. Hasilnya lebih 55% ubatan moden hari ini ditemui dari tumbuhan.


Kalaulah orang dulu yang terselamat dari wabak penyakit, terselamat dari penyakit kardiovaskular yang menyebabkan kematian sebelum umur 50 tahun, terselamat dari peperangan, mereka akan menasihatkan orang muda untuk ke hospital dan jumpa doktor. Mereka akan suruh vaksinkan anak-anak. Sebab mereka panjang umur melihat kematian rakan-rakan dan ahli keluarga sepanjang hidup mereka.


Kita beruntung dengan kemudahan kesihatan dan pengetahuan perubatan kesihatan kita jauh lebih baik. Kita tidak boleh meningkatkan kesihatan dengan mencuba pelbagai petua sahaja tetapi kita boleh sihat dengan mengubah cara hidup dan pemakanan kita.


Adakah pengeluaran cecair dari alat sulit sesuatu yang normal atau tidak normal? Kalau tidak pasti berbincang dengan doktor. Sebarang pencuci bukan menyembuhkan masalah jangkitan bakteria atau kulat, hanya akan memburukkan keadaan sahaja.



136 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
logo.jpg

Blog ini membawakan artikel ilmiah tentang tumbuhan dan sebatian kimia semulajadi dalam bahasa yang mudah difahami.

bottom of page