• Dr Che Puteh Osman

SIRI 50: HAND SANITIZER BERALKOHOL DAN TANPA ALKOHOL.

Updated: Sep 1

Secara umumnya terdapat dua jenis pembersih tangan (hand sanitizer) iaitu pembersih tangan berasaskan alkohol dan pembersih tangan tanpa alkohol.

1. Pembersih tangan berasaskan alkohol


Pembersih tangan berasaskan alkohol mengandungi satu atau dua jenis alkohol seperti etanol dan isopropanol mengikut peratusan tertentu. Pembersih tangan yang memgandungi alkohol 60-95% mempunyai keberkesanan yang tinggi membunuh mikroorganisme. Etanol atau etil alkohol pada kepekatan 70% membunuh bakteria sehingga 99.99% dalam masa 30 saat


Selain itu, produk pembersih tangan berasaskan alkohol juga mengandungi pelembap seperti gliserin dan pewangi seperti minyak aromaterapi (essential oil).


Pembersih tangan berasaskan alkohol berkesan membunuh mikrorganisme kecuali spora dan non-enveloped virus seperti poliovirus. Kombinasi antara etanol dan isopropanol bertujuan meningkatkan keberkesanan alkohol membunuh mikroorganisme. Alkohol membunuh mikroorganisme dengan menyebabkan denaturasi protein dan memusnahkan integriti membrane mikroorganisme.

Penggunaan pembersih tangan beralkohol tidak begitu efisien jika tangan anda kotor dan berminyak. Oleh itu, tangan perlu dibersihkan terlebih dahulu.

Jika anda berpeluang mencuci tangan dengan sabun, ia adalah lebih baik kerana sesetengah mikroorganisme tidak termusnah dengan menggunakan pembersih tangan beralkohol.



2. Pembersih tangan tanpa alkohol


Pembersih tangan tanpa alkohol kebiasaannya menggunakan agen antimicrobial seperti benzalkonium klorida dan triclosan.


Benzalkonium klorida berkesan membunuh gram-positive dan gram-negative bakteria kecuali mycobacteria. Panjang rantaian karbon pada sebatian kimia benzalkonium klorida mempengaruhi keberkesanannya membunuh mikroorganisme. Benzalkonium klorida berkesan pada dos sangat rendah dan mempunyai ketoksikan oral yang rendah.

Disebabkan ada isu berkaitan penggunaan triclosan sebagai agen antimicrobial, USFDA telah melarang penggunaannya di dalam produk pembersih tangan sehingga bukti menunjukkan sebaliknya.

Selain itu, bahan-bahan lain yang digunakan dalam pembersih tangan tanpa alkohol adalah asid, aldehid, alkil amina dan lain-lain.


3. Bagaimana pula dengan dakwaan minyak aromaterapi berkesan membunuh mikroorganisme?


Tidak dinafikan minyak aromaterapi (essential oil) berkesan membunuh mikroorganisme dalam kajian saintifik, namun untuk produk yang dihasilkan, ia memerlukan bukti saintifik dari pihak pengeluar. Ini kerana keberkesanan ini bergantung kepada jenis minyak aromaterapi, berapakah kepekatan dan berapa lama perlindungan yang diberikan.


4. Bagaimana pula dengan dakwaan produk pembersih tangan menggunakan alkohol tumbuhan lebih selamat dan organik?


Sebenarnya kebanyakan etanol yang dihasilkan secara komersil dihasilkan melalui proses panapaian gula seperti kanji jagung dan tebu.


Jadi di manakah signifikannya dakwaan produk pembersih tangan mengandungi etanol berasaskan tumbuh-tumbuhan lebih baik dari produk lain?


Selain itu, penggunaan istilah organik juga adalah mengelirukan. Organik merujuk kepada kaedah penanaman tanpa racun dan baja yang dihasilkan secara sintetik. Ia bukan bermaksud bebas bahan kimia dan tanpa kesan sampingan. Baca lanjut di sini.


Jadi, apakah produk pembersih tangan yang terbaik? Bergantung kepada keperluan anda. Ada sesetengah individu sensitif pada produk berasaskan alkohol, maka mereka lebih selesa dengan produk pembersih tangan tanpa alkohol.


Kelebihan menggunakan pembersih tangan beralkohol adalah ia cepat membunuh kebanyakan mikroorganisme dan lebih efisien berbanding pembersih tangan tanpa alkohol.


Jadilah pengguna yang bijak dan tidak tertipu dengan pembersih tangan yang mahal hanya kerana dakwaan organik, natural dan bebas bahan kimia.


Nota kaki:


Berikut adalah kenyataan Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai alkohol:

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-7 yang bersidang pada 11 - 12 April 1984 telah membincangkan Alkohol Menurut Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

a. Setiap minuman arak mengandungi alkohol. Bukan semua alkohol itu mengandungi arak. Alkohol dari proses pembuatan arak hukumnya haram dan najis, tetapi alkohol yang dibuat bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis tetapi haram diminum. b. Minuman ringan yang dibuat sama caranya dengan membuat arak sama ada mengandungi sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum. c. Minuman ringan yang dibuat bukan dijadikan arak atau bahan yang mabuk dan tidak sama caranya dengan proses arak adalah halal. d. Tapai halal dimakan. Alkohol yang terjadi sampingan dalam proses pembuatan makanan tidak najis dan boleh dimakan.

e. Ubat-ubatan dan pewangi yang ada kandungan alkohol adalah harus dan dimaafkan.


Sumber : https://www.muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/3097-irsyad-al-fatwa-siri-ke-290-hukum-pewarna-makanan-20-peratus-alkohol


Rujukan:




Barbacane, J. L. (2004). Back to the basics: Handwashing. Geriatric Nursing, 25(2), 90-92. doi:https://doi.org/10.1016/j.gerinurse.2003.1

2.012


Gold NA, Avva U. Alcohol Sanitizer. [Updated 2020 Feb 6]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2020 Jan-.


Pickering, A. J., Davis, J., & Boehm, A. B. (2011). Efficacy of alcohol-based hand sanitizer on hands soiled with dirt and cooking oil. Journal of Water and Health, 9(3), 429-433. doi:10.2166/wh.2011.138


Perez, L. G., Ramanantsoa, C., Beaudron, A., Delchet, C. H., Penn, P., & Comacle, P. (2019). Efficacy of an ethanol-based hand sanitizer for the disinfection of blood pressure cuffs. International Journal of Environmental Research and Public Health, 16(22). doi:10.3390/ijerph16224342


Siebert, J. and Harke, H.‐P. (2009). Disinfectants. In Ullmann's Encyclopedia of Industrial Chemistry, (Ed.). doi:10.1002/14356007.a08_551.pub2


Sidney W. Bondurant, Collette M. Duley, John W. Harbell (2019) Demonstrating the persistent antibacterial efficacy of a hand sanitizer containing benzalkonium chloride on human skin at 1, 2, and 4 hours after application, American Journal of Infection Control, 47 (8), 928-932




Blog ini membawakan artikel ilmiah tentang tumbuhan dan sebatian kimia semulajadi dalam bahasa yang mudah difahami.