SIRI 51: MITOS DAN FAKTA TENTANG HAND SANITIZER
Updated: 4 Apr 2020
Dalam siri 50 yang lepas, saya telah menerangkan tentang hand sanitizer beralkohol dan hand sanitizer beralkohol.
Hand sanitizer beralkohol mengandungi alkohol (60-75%), pelembab, dan pewangi. Ada sesetengah hand sanitizer mencampurkan bahan antibakteria yang lain untuk membunuh mikroorganisme secara meluas. Alkohol merupakan kaedah pembersih tangan yang sangat berkesan membunuh mikroorganisme. Ia membunuh dengan cara memusnahkan sel dinding mikroorganisme.
Hand sanitizer tidak beralkohol menggunakan bahan aktif seperti quarternary ammonium compounds seperti benzalkonium chloride, agen pengoksidaan seperti asid hypochlorous atau sebatian kimia dari kumpulan chlorophenol. Walaupun bahan ini boleh digunakan sebagai pembersih tangan, alkohol masih pilihan utama dan lebih berkesan membunuh 99.99% mikroorganisme.
Boleh baca lanjut di sini.
Saya jelaskan 10 soalan yang sering ditanyakan kepada saya.
Soalan 1: Adakah hand sanitizer saya mengandungi alkohol yang mencukupi?
Anda boleh menyemak kandungan alkohol di bungkusan handa sanitizer tersebut. Pastikan ia mengandungi sekurang-kurangnya 60% alkohol. Alkohol yang digunakan dalam hand sanitizer adalah ethanol dan isopropanol. Namun, orang awam kadang-kadang terkeliru dengan istilah yang digunakan. Berikut adalah antara istilah yang biasa digunakan.
Ethanol: Ethyl alcohol, denatured alcohol
Isopropanol: Isopropyl alcohol, rubbing alcohol.
Soalan 2: Berapa kerapkah saya boleh menggunakan hand sanitizer?
Sebenarnya tiada had berapa kali anda boleh menggunakannya Bergantung kepada anda. Ada individu yang sensitif kepada alkohol dan menyebabkan rengsa pada tangan. Ini kerana alkohol bukan sahaja memusnahkan sel membrane miroorganisme, ia juga boleh menjejaskan sel kulit anda.
Jika anda mempunyai kulit yang sensitif, sentiasalah membawa sabun bersama apabila keluar rumah. Membasuh tangan dengan sabun dan air adalah lebih baik berbanding menggunakan hand sanitizer. Gunakan hand sanitizer apabila anda tiada akses pada air dan sabun. Ketika Perintah Kawalan Pergerakan ini, lebih baik anda menggunakan sabun dan air. Tidak kisah sabun jenama apa, tidak semestinya sabun antibakteria. Saya pernah tulis tentang keberkesanan sabun membunuh mikroorganisme di sini.
Soalan 3: Benarkah saya boleh menguji ketulenan hand sanitizer pada dakwat resit?
Alkohol adalah pelarut yang digunakan untuk melarutkan dakwat dan pelbagai bahan lain. Maka, mana-mana bahan yang mengandungi alkohol boleh melarutkan dakwat termasuklah losyen tangan anda. Ujian ini hanya menunjukkan kehadiran alkohol, tetapi tidak membuktikan berapa peratusan alkohol di dalam hand sanitizer tersebut. Peratusan alkohol dalam hand sanitizer hanya boleh dibuktikan melalui ujian analisis kimia.
Namun begitu, bukan semua hand sanitizer itu berasaskan alkohol. Ada yang menggunakan bahan aktif seperti di atas. Maka, untuk keyakinan belilah hand sanitizer yang dikeluarkan oleh pengeluar yang diyakini.
Soalan 4: Bolehlah hand sanitizer dihasilkan di rumah?
Ia sebenarnya bergantung kepada individu. Jika anda mempunyai latihan pengendalian bahan kimia, anda tidak akan bertanyakan soalan ini kepada saya. Ada banyak garis panduan untuk ahli kimia di laman web bagaimana ingin menyediakan hand sanitizer mengikut SOP tertentu.
Maka, untuk mengelakkan kemudaratan saya tidak menceritakan kaedah menghasilkan hand sanitizer. Jika ada ahli kimia atau individu lain ingin menyampaikan kaedah menghasilkan hand sanitizer, terpulang kepada penilaian masing-masing. Jadi, hand sanitizer boleh dihasilkan di rumah hanya untuk kegunaan sendiri sahaja. Asalkan menggunakan alkohol, pelembab, pewangi dan air sahaja. Jangan campur bahan lain dan hanya untuk kegunaan peribadi.
Soalan 5: Adakah penggunaan hand sanitizer boleh menjejaskan organ dalaman?
Hand sanitizer berasaskan alkohol sangat cepat meruap. Ia tidak menyerap melalui kulit anda dan melalui saluran darah anda. Jika tidak, tentu anda akan mabuk. Etanol adalah alkohol yang ada di dalam arak. Namun, penggunaan hand sanitizer beralkohol boleh merengsa kulit anda. Maka, jika di rumah gunakanlah air dan sabun. Gunakan hand sanitizer bila perlu di luar rumah sahaja.
Soalan 6 : Berapa lamakah hand sanitizer berkesan?
Hand sanitizer bukannya ubat, ia adalah pembersih tangan. Walaupun ia berkesan membersihkan tangan dalam masa 20-30 saat, ia tidak mengekalkan tangan anda dalam keadaan steril untuk tempoh yang lama. Setiap kali anda menyentuh permukaan yang dikhuatiri tercemar dengan patogen, makan cucilah tangan sama ada menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer sebelum menyentuh muka, selepas batuk dan bersin, mencuci luka, menukar dressing luka, selepas menggunakan tandas dan lain-lain.
Soalan 7: Benarkah penggunaan hand sanitizer menyebabkan bakteria baik turut terbunuh?
Penggunaan hand sanitizer yang kerap boleh membunuh bakteria yang baik di tangan anda. Maka, jika anda bukan pekerja kesihatan, gunakan hand sanitizer bila perlu sahaja. Penggunaan sabun dan air lebih baik untuk anda berbanding hand sanitizer. Tetapi tidaklah ia menyebabkan anda kehilangan bakteria baik selama-lamanya atau menyebabkan sistem ketahanan badan anda menurun.
Soalan 8: Bolehkan saya menggunakan cecair antiseptik sebagai hand sanitizer?
Anda perlu faham fungsi cecair antiseptik dan hand sanitizer. Hand sanitizer secara umumnya membersihkan tangan dari pelbagai mikroorganisme manakala antiseptik digunakan untuk membersihkan luka dari patogen tertentu untuk mengelakkan jangkitan opportunistik oleh bakteria yang biasa ada di tangan dan kulit kita.
Soalan 9: Bolehkah saya menyediakan hand sanitizer menggunakan air rebusan semambu atau semambu yang dikisar?
Walaupun daun semambu dikaji secara meluas sebagai agen antibakteria dan antivirus, tiada bukti menunjukkan ia berkesan digunakan sebagai hand sanitizer atau lebih baik dari sabun dan air.
Begitu juga dengan bahan lain seperti lemon, limau, essential oil dan lain-lain.
Soalan 10: Bolehkan saya menggunakan bahan kosmetik seperti losen selepas menggunakan hand sanitizer?
Jika tangan anda telah kering sepenuhnya dan jika tiada luka atau kulit yang kelihatan terengsa, anda boleh menggunakan kosmetik. Jika tidak, pastikan tangan anda kering dan kulit tidak terengsa.
Saya berharap anda dapat membuat pilihan yang bijak. Gunakan sabun dan air untuk membersihkan tangan dan jika tiada, gunakanlah hand sanitizer.