top of page

SIRI 52: POKOK SUSU NABI, BENARKAH IA MEMPUNYAI PELBAGAI KHASIAT PERUBATAN?

Updated: 19 Mei 2019


Pokok susu nabi juga dikenali sebagai pokok gelang dan keremek susu. Terdapat pelbagai petua berkisar pokok susu nabi. Antaranya getah pokok ini digunakan untuk membuang ketuat selain merawat jangkitan kulit. Daunnya sering direndam untuk pelbagai masalah kesihatan. Akar pokok ini digunakan untuk menambah susu badan. Kegunaan yang banyak dicatatkan dalam perubatan tradisional adalah merawat masalah gasterointestinal, masalah pernafasan, sakit kulit dan ketuat.


Imej dari Wikimedia Commons

Pokok susu nabi dikenali secara saintifik sebagai Euphorbia hirta L. dan merupakan ahli keluarga Euphorbiaceae. Ia boleh tumbuh tegak sehingga 80 cm dan hidup meliar di kawasan kampung. Walaupun terdapat pelbagai dakwaan kesihatan pokok susu nabi, awas getahnya beracun. Kebanyakan getah (white sap) dari pokok genus Euphorbia adalah beracun termasuklah pokok susu nabi. Sehingga kini tiada satu pun kajian klinikal yang mengesahkan dakwaan ia mampu merawat penyakit-penyakit di atas.


Pokok susu nabi mengandungi sebatian kimia dari kelas flavonoids seperti kaempferol, quercitrin, dan quercetin glycosides, sebatian terbitan asid fenolik seperti caffeic acid, dan euphorbin A-D dan triterpenes seperti beta-sitosterol.


Terdapat pelbagai kajian pada piring petri dan model haiwan terhadap potensi pokok susu nabi merawat penyakit yang disebut di atas. Namun, pembaca harus ingat kajian piring petri dan kajian model haiwan merupakan gred bukti yang rendah. Untuk membolehkan ia dikatakan selamat merawat penyakit, bukti kajian haruslah dari gred tinggi seperti kajian terkawal rawak (randomized control trial) dan kajian literasi sistemik (systemic reviews).


Antara kajian ke atas piring petri dan model haiwan:

a) Antibakteria dalam piring petri. Escherichia coli, Staphylococcus aureas, Pseodomonas aeruginosa, Bactillus subtilis

b) Antidiarrhea ke atas tikus.

c) Antiallergi ke atas tikus.

d) Aktiviti diuretik ke atas tikus

e) Merencat enzim alpha-glukosidase dalam piring petri

f) Penenang ke atas tikus.

g) Meransang sistem imun ikan

h) Antikeradangan dalam piring petri dan ke atas tikus.

i) Antikanser dalam piring petri

j) Membesarkan saluran darah tikus.

k) Antidiabetes ke atas tikus.

l) Penyembuhan luka tikus yang diinduksi diabetes


Sebahagian daripada kajian ini bukan menggunakan ekstrak pokok susu nabi sebaliknya menggunakan sebatian kimia yang dimurnikan dari pokok. Sebab esok-esok kalau jadi ubat, sebatian kimia aktif ini akan diformulasi jadi ubat. Contohnya prenylated flavonoids dari pokok ini merencat enzim alpha glucosidase, asid kaffeik dan catechin-3-gallate merencat pertumbuhan Pseodomonas aeruginosa dalam piring petri, dan beta-amyrin bersifat antikeradangan dalam kajian ke atas tikus. Bukan bermakna ia agenda yahudi atau big pharma.


Dalam kajian kesan toksik akut dan sub-kronik oleh ekstrak pokok susu nabi, pemberian ekstrak methanol 5g/kg berat tikus selama 14 hari tidak menunjukkan kesan toksik akut. Manakala pemberian ekstrak sehingga 1g/kg berat tikus selama 90 hari juga tidak menunjukkan kesan toksik subkronik terhadap tanda-tanda vital tikus.


Kesimpulannya, getah pokok ini beracun dan tidak boleh dimakan. Sudah ada ubat yang selamat dan berkesan bagi merawat dan mengawal penyakit-penyakit yang disebut berkenaan. Kajian masih lagi pada tikus dan piring petri. Walaupun kajian menunjukkan tiada kesan toksik aku dan subakut, keberkesanan pokok ini masih dalam kajian dan belum terbukti ke atas manusia.



Che Puteh Osman

PhD (Natural Product Chemistry)


Rujukan:


Juveriyah, K, Durai, M, Agaath, H, Sivasamy, & Vijaya, A. Review of the phytochemical and pharmacological activities of Euphorbia hirta Linn. Pharmacognosy Journal,2016; 8.


Kumar, S, Malhotra, R, & Kumar, D. Euphorbia hirta: Its chemistry, traditional and medicinal uses, and pharmacological activities. Pharmacognosy Reviews,2010; 4: 58-61. doi:10.4103/0973-7847.65327


Perumal, S, Mahmud, R, & Ismail, S. Mechanism of action of isolated caffeic acid and epicatechin 3-gallate from Euphorbia hirta against Pseudomonas aeruginosa. Pharmacognosy Magazine,2017; 13: S311-S315. doi:10.4103/pm.pm_309_15


Kwan, Y. P., Saito, T., Ibrahim, D., Al-Hassan, F. M. S., Ein Oon, C., Chen, Y., . . . Sasidharan, S. (2016). Evaluation of the cytotoxicity, cell-cycle arrest, and apoptotic induction by Euphorbia hirta in MCF-7 breast cancer cells. Pharmaceutical Biology, 54(7), 1223-1236. doi:10.3109/13880209.2015.1064451


Sheliya, MA, Rayhana, B, Ali, A, Pillai, KK, Aeri, V, Sharma, M, & Mir, SR. Inhibition of α-glucosidase by new prenylated flavonoids from Euphorbia hirta L. herb. Journal of Ethnopharmacology,2015; 176: 1-8. doi:10.1016/j.jep.2015.10.018





7,153 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
logo.jpg

Blog ini membawakan artikel ilmiah tentang tumbuhan dan sebatian kimia semulajadi dalam bahasa yang mudah difahami.

bottom of page