SIRI 53: BENARKAH MANJAKANI 'MENGETATKAN' DAN BERKHASIAT UNTUK KESIHATAN DALAMAN WANITA?
Updated: 28 Ogo 2020
Manjakani atau Quercus infectoria atau Quercus lusitanica bukanlah sejenis buah asli dari pokok oak antaranya Allepo oak dan Lusitanica oak. Di Malaysia, manjakani terhasil di pokok mempening yang merupakan sejenis oak.

Manjakani sebenarnya adalah sejenis keradangan atau bengkak disebabkan telur yang disuntik oleh serangga gall wasp (penyengat puru) pada kulit pokok oak. Gall wasp atau nama saintifiknya Cynipidae berada dalam Order yang sama dengan tebuan iaitu Hymenoptera.
Bengkak ini disebabkan tindakbalas pokok oak pada bahan kimia yang dihasilkan oleh serangga ini atau larvanya. Seringkali sarang yang dihasilkan ini ditumpang oleh gall wasp yang lain untuk menyimpan larva. Telur ini akan menetas di dalam bengkak atau tumor ini, dan akan keluar dengan membuat lubang dari buah ini.
Manjakani kelihatan gelap, keras, berbiji dan berlubang. Warna coklat gelap itu disebabkan oleh kehadiran tannin yang tinggi. Tannin in menjadi makanan kepada larva serangga ini. Ini menjelaskan mengapa di dalam bahasa Melayu gall wasp dikenali sebagai penyengat puru kerana rupa manjakani seakan-akan puru.

Adakah manjakani itu pokoknya menjalar dan mempunyai daun seakan daun sireh? Pokok ini menghasilkan bulbil seakan manjakani, namun ia bukan manjakani. Setelah merujuk dengan ahli botani, pokok tersebut adalah Dioscoria bulbifera atau lebih dikenali sebagai ubi tom. Artikel mengenai ubi tom boleh didapati di sini.
Manjakani mengandungi tannin yang sangat tinggi antaranya gallic acid, ellagic acid dan methyl gallate. Dianggarkan terdapat sekitar 50-70% gallotannins, 2-4% gallic acid dan ellagic acid di dalam ekstrak manjakani.

Manjakani digunakan secara tradisi bagi mempercepatkan penyembuhan luka dan keradangan. Antaranya berkumur dengan air rebusan manjakani untuk menghilangkan tonsillitis. Manjakani bersifat astringent, iaitu mempercepatkan pengecutan tisu badan dan kulit disebabkan kehadiran tannins yang sangat tinggi.
Namun, dalam masa yang sama ia menyebabkan kekeringan disebabkan tannins ini mengikat protein membran mukosa. Dalam beberapa kajian ke atas tikus, ekstrak manjakani mempercepatkan penyembuhan luka dipercayai disebabkan ia membataskan pertumbuhan bakteria di kawasan luka.
Beberapa kajian di dalam piring petri dan model haiwan menunjukkan ekstrak manjakani bersifat anti-keradangan melalui beberapa mekanisme.
Ekstrak manjakani juga memberikan meningkatkan penyembuhan luka tikus diabetes. Di dalam perubatan tradisional Thailand, ekstrak manjakani digunakan bagi merawat masalah ulser dan cirit birit.
Terdapat satu kajian klinikal rawak terkawal (randomized control trial) berskala kecil melibatkan 51 pesakit diabetes yang mengalami luka diabetic foot ulcer. Kumpulan kajian yang menggunakan larutan ekstrak manjakani menunjukkan pengecilan saiz luka 91.52% berbanding kumpulan yang menggunakan larutan cuci luka yang standard iaitu 76% selepas 12 minggu kajian.
Selain itu, ekstrak manjakani digunakan sebagai bahan kumur untuk merawat tonsillitis dan gingivitis. Terdapat dua kajian klinikal menggunakan formulasi ubat gigi beberapa herba termasuk manjakani mengurangkan simptom gingivitis, mengurangkan plak dan bakteria anaerobik.
Ekstrak manjakani menunjukkan sifat antibakeria terhadap pelbagai jenis bakteria dalam pengujian piring petri, termasuk multiple antibiotic resistant Helicobacter pylori, methicillin resistant Staphylococcus aureus, Escherichia coli, Pseudomonas aeruginosa dan Candida albicans.
Aktiviti antibakteria ini disebabkan kandungan tannin yang tinggi yang dikatakan melemahkan membrane sel bakteria. Ini menjelaskan amalan yang diturunkan turun temurun untuk merawat keputihan yang disebabkan jangkitan Candida sp.
Masalah yang anda sangkakan keputihan kemungkinan bukanlah seperti yang anda sangka. Oleh itu, dapatkan pemeriksaan doktor yang bertauliah.
Terdapat rawatan yang berkesan dan selamat di hospital, menggunakan antifungal atau antibiotik yang ditemui dari sumber alam juga.
Adakah manjakani 'mengetatkan'? Ya, saya berpendapat ia boleh mengetatkan jika diletak terus ke kawasan tersebut disebabkan kehadiran tannins yang tinggi.
Vagina memang sejenis organ yang bersifat self cleansing, ia sentiasa lembab dengan flora mikroorganisme tersendiri bagi memelihara kesihatannya.
Penggunaan manjakani boleh menyebabkan kekeringan yang serius kerana tannin mengikat protein di membran mukosa.
Perubahan ini mengganggu keseimbangan mikroorganisme di kawasan tersebut dan meningkatkan risiko jangkitan oportunistik pada kawasan vagina.
Pengambilan gallotannins pada jangka masa lama boleh memberikan kesan negatif kepada kesihatan.
Ia boleh memberikan kesan iritasi pada mukosa gastrik, muntah dan cirit birit dan menyebabkan kesan pengecutan berlebihan kepada membran mukosa.
Asid tannik boleh menyebabkan kecederaan hati yang berbahaya jika digunakan ke atas kesan terbakar atau sebagai bahan enema. Tannins boleh menghalang penyerapan zat besi oleh badan dan menyebabkan anemia.
Ini kerana tannins adalah sejenis sebatian kimia bersifat mengikat zat besi membentuk sebatian kimia kompleks dan mengurangkan penyerapan besi oleh badan.
Tiada asas untuk mengambil manjakani setiap hari atau setiap minggu atau setiap bulan, kononnya untuk kesihatan wanita, sedangkan pengguna tidak memerlukannya setiap masa.
PhD (Natural Product Chemistry).
Rujukan:
Ahmed, A.A., Salih, F.A. (2019). Quercus infectoria gall extracts reduce quorum sensing-controlled virulence factors production and biofilm formation in Pseudomonas aeruginosa recovered from burn wounds, BMC Complement Altern Med 19, 177. doi: https://doi.org/10.1186/s12906-019-2594-5
Chokpaisarn, J., Urao, N., Voravuthikunchai, S. P., & Koh, T. J. (2017). Quercus infectoria inhibits Set7/NF-κB inflammatory pathway in macrophages exposed to a diabetic environment. Cytokine, 94, 29-36. doi:10.1016/j.cyto.2017.04.005
Chokpaisarn, J., Chusri, S.,Voravuthikunchai, S. P. (2020) Clinical randomized trial of topical Quercus infectoria ethanolic extract for the treatment of chronic diabetic ulcers, Journal of Herbal Medicine, 21, 10031.
Howshigan, J., Perera, K., Samita, S., & Rajapakse, P. S. (2015). The effects of an Ayurvedic medicinal toothpaste on clinical, microbiological and oral hygiene parameters in patients with chronic gingivitis: a double-blind, randomised, placebo-controlled, parallel allocation clinical trial. The Ceylon medical journal, 60(4), 126-132. doi:10.4038/cmj.v60i4.8219
Ou, L., He, Q., Ji, Z., Li, K., & Tian, S. (2015). Quantitative high-performance thin-layer chromatographic analysis of three active compounds in gall of Quercus infectoria Olivier (fagaceae) and use of thin-layer chromatography-2,2-diphenyl-1-picrylhydrazyl to screen antioxidant component. Journal of Planar Chromatography - Modern TLC, 28(4), 300-306. doi:10.1556/1006.2015.28.4.6
Ma,S., Qin, H., Jiang, M., Wang, J.,Wang, W.,Guo, G., Zhou, L., Chen, W., Han, B. (2020), Identification and Comparison of Tannins in Gall of Rhus chinensis Mill. and Gall of Quercus infectoria Oliv. by High-Performance Liquid Chromatography–Electrospray Mass Spectrometry, Journal of Chromatographic Science, 58 (5), 403–410, doi: https://doi.org/10.1093/chromsci/bmz096
Suwalak, S., & Voravuthikunchai, S. P. (2009). Morphological and ultrastructural changes in the cell structure of enterohaemorrhagic Escherichia coli O157:H7 following treatment with Quercus infectoria nut galls. Journal of Electron Microscopy, 58(5), 315-320. doi:10.1093/jmicro/dfp024
Sariozlu, N. Y., & Kivanc, M. (2011). Chapter 60 - Gallnuts (Quercus infectoria Oliv. and Rhus chinensis Mill.) and Their Usage in Health. In V. R. Preedy, R. R. Watson, & V. B. Patel (Eds.), Nuts and Seeds in Health and Disease Prevention (pp. 505-511). San Diego: Academic Press.