• Dr Che Puteh Osman

SIRI 55: BENARKAH LIMAU KASTURI MENGURANGKAN KANDUNGAN GULA DALAM AIR BERKARBONAT?

Baru-baru ini tular satu video mengenai bacaan gula dalam air berkarbonat yang berkurang setelah diperah limau kasturi. Individu di dalam video tersebut menggunakan air berkarbonat perisa limau nipis dan mengukur bacaan menggunakan strip glucometer.




Sebelum itu, mari kita kenal bagaimana strip glucometer mengesan kehadiran gula. Strip itu dicipta dengan menanam enzim glucose oxidase dan ferisianida.

Glucose oxidase adalah sejenis enzim yang bertindakbalas dengan substrat iaitu glukosa pada pH isoelektrik (6.5-7.3) dan pada konfigurasi Beta-D-glukosa.


Beta-D-glukosa akan bertindakbalas dengan glucose oxidase dan menghasilkan asid glukonik dan hidrogen peroksida.


Selepas itu, asid glukonik yang terhasil dari tindakbalas enzimatik antara glucose oxidase dan akan menghasilkan ferrosianida. Arus elektrik dari glucometer akan mengalir ke strip dan membaca kehadiran ferosianida yang berkadar langsung dengan kandungan glukosa.





Apa akan terjadi jika terdapat perubahan pada pH larutan dan konfigurasi molekul glukosa?


Jika terdapat perubahan pH pada larutan, sama ada menjadi lebih berasid dengan penambahan cuka atau limau nipis, atau menjadi lebih beralkali dengan penambahan soda bikarbonat, maka enzim ini tidak lagi efisien bertindakbalas dengan glukosa.


Jika berlaku perubahan konfigurasi glukosa akibat perubahan pH, maka enzim ini tidak boleh lagi mengikat substrat kerana bentuknya tidak lagi muat dalam kaviti enzim.


Ibarat kunci dan manga, jika terdapat perubahan pada bentuk kunci, maka mangga tidak lagi boleh dibuka.



Jika strip glucometer ini hanya digunakan untuk membaca glukosa, kenapa terdapat bacaan apabila digunakan untuk membaca kandungan gula dalam air berkarbonat?


Sukrosa merupakan sejenis disakarida yang terdiri daripada fruktosa dan glukosa. Apabila enzim di saluran pencernaan mencerna disakarida, ia akan terhidrolisis menjadi glukosa dan fruktosa.


Sukrosa masih mengandungi glukosa dalam struktur kimianya. Makanya, tidak hairan jika ada bacaan dihasilkan Ketika strip itu digunakan. Tetapi bacaannya ada sangat tidak tepat dan tidak mewakili jumlah gula sebenar.


Jadi, tidak kisahlah berapa biji limau kasturi yang diperah dalam air berkarbonat, bacaan glucometer tersebut tidak tepat dan tidak berkadar linear.


Maksudnya, pengurangan bacaan glukosa sebenarnya tidak berkadar langsung dengan bilangan biji limau kasturi yang diperah.


Jadi, mengambil limau nipis tidak akan mengurangkan kandungan gula yang anda ambil. Jika anda mengambil 7 sudu makan gula, maka 7 sudu gula makan yang masuk ke dalam badan anda.


Perbezaan bacaan yang anda perhatikan sebenarnya hanyalah disebabkan oleh kesilapan bacaan mesin glucometer, berdasarkan dua faktor yang dibincangkan di atas iaitu pH dan konfigurasi molekul.


Teknologi tanpa ilmu ibarat senjata makan tuan. Pemerhatian sahaja tidak mencukupi, jika tiada ilmu asas untuk memahami mengapa hasilnya sedemikian.


Serahkan urusan pada ahlinya.


#DrCPO #cisplatin


Rujukan


Solomon & Fryhle (2003) Organic Chemistry 8th ed., Wiley and Sons


Yoo, E. H., & Lee, S. Y. (2010). Glucose biosensors: an overview of use in clinical practice. Sensors (Basel, Switzerland), 10(5), 4558–4576. https://doi.org/10.3390/s100504558


Voet & Voet (2011) Biochemistry 4th ed., Wiley and Sons, pp 469-481

Blog ini membawakan artikel ilmiah tentang tumbuhan dan sebatian kimia semulajadi dalam bahasa yang mudah difahami.