top of page

SIRI 56: BETUL KE DAUN SUP MENGURANGKAN TEKANAN DARAH TINGGI?

Updated: 19 Mei 2019



Baru-baru ini ada rakan Facebook saya tag di dalam suatu hantaran Facebook mengenai petua mengurangkan tekanan darah tinggi dan membersihkan darah menggunakan daun sup yang direbus dan diminum airnya. Penulis berkenaan juga mendakwa air rebusan daun sup boleh mengatasi masalah haid tidak teratur. Terdapat komen yang lain, ada pembaca mendakwa daun sup boleh mengeluarkan batu karang.


Betul ke dakwaan berkenaan? Daun sup/seleri dikenali secara saintifik sebagai Apium graveolens dari keluarga Apiaceae. Termasuk dalam keluarga ini adalah batang seleri. Carian di pangkalan jurnal scopus menggunakan kata kunci Apium graviolens dan hypertension memberikan 44 artikel. Jom teruskan pembacaan untuk maklumat berikutnya.


Buat sup lagi sedap

Kajian terhadap seleri untuk rawatan tekanan darah tinggi


Dalam satu kajian yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik di Thailand, ekstrak metanol seleri menunjukkan aktiviti menghalang enzim penukar angiotensin (angiotensin-converting enzyme, ACE) dalam piring petri. ACE inhibitor merupakan salah satu target rawatan hipertension pada hari ini dengan cara membesarkan saluran darah seterusnya mengurangkan tekanan darah. Penyelidik mendapati sebatian aktif dari ekstrak seleri iaitu junipediol A 8-O-b-D-glucoside bertanggungjawab memberikan aktiviti tersebut.


Junipediol A 8-O-b-D-glucoside

Kebanyakan dari kajian berkaitan seleri melaporkan potensi perubatan minyak biji seleri. Ekstrak heksana biji seleri didapati mengurangkan tekanan darah tikus namun tidak secekap ubat nifedipine, sejenis ubat bagi merawat tekanan darah tinggi. Penyelidik mendapati ia mengurangkan tekanan darah dengan membesarkan saluran darah (vasodilation) dengan menghalang aktiviti saluran Ca2+ (Ca2+ channel activity). Aktiviti ekstrak biji seleri ini kemungkinan disebabkan kehadiran sebatian kimia n-butylphthalide.


Kesimpulan


Terdapat beberapa kajian menunjukkan potensi ekstrak seleri dan sebatian kimia aktif dari seleri menurunkan tekanan darah. Namun kajian ini masih pada peringkat piring petri dan tikus. Untuk membuktikan ia berkesan kepada manusia, ia mestilah hasil dari kajian klinikal beberapa peringkat ke atas manusia. Walaupun begitu, disebabkan daun seleri ini adalah sejenis makanan, tidak salah jika anda ingin mengambil daun seleri DENGAN SYARAT anda tidak meninggalkan ubat dan sentiasa mengikuti temujanji. Daun seleri TIDAK MENCUCI DARAH. Pesakit buah pinggang mesti mengikuti nasihat doktor dan jangan mengambil banyak air dan sayuran hijau. Sayuran hijau mengandungi kandungan garam potasium yang tinggi dan boleh membahayakan nyawa.


Rujukan:


Moghadam, M. H., Imenshahidi, M., & Mohajeri, S. A. (2013). Antihypertensive effect of celery seed on rat blood pressure in chronic administration. Journal of Medicinal Food, 16(6), 558-563. doi:10.1089/jmf.2012.2664


Simaratanamongkol, A., Umehara, K., Noguchi, H., & Panichayupakaranant, P. (2014). Identification of a new angiotensin-converting enzyme (ACE) inhibitor from Thai edible plants. Food Chemistry, 165, 92-97. doi:10.1016/j.foodchem.2014.05.080


Tashakori-Sabzevar, F., Razavi, B. M., Imenshahidi, M., Daneshmandi, M., Fatehi, H., Sarkarizi, Y. E., & Mohajeri, S. A. (2016). Evaluation of mechanism for antihypertensive and vasorelaxant effects of hexanic and hydroalcoholic extracts of celery seed in normotensive and hypertensive rats. Brazilian Journal of Pharmacognosy, 26(5), 619-626. doi:10.1016/j.bjp.2016.05.012

684 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
logo.jpg

Blog ini membawakan artikel ilmiah tentang tumbuhan dan sebatian kimia semulajadi dalam bahasa yang mudah difahami.

bottom of page