SIRI 58: DIET BERASASKAN TUMBUHAN BUKANLAH KAEDAH TERBAIK MERAWAT DAN MENCEGAH PENYAKIT
Updated: 19 Mei 2019
Ada satu ketika, hantaran Facebook saya diambil di luar konteks. Saya selalu menerangkan tentang metabolit primer dan metabolit sekunder. Individu tersebut beranggapan sebab itulah diet berasaskan tumbuhan bagus kerana adanya fitokimia (phytochemicals- metabolit sekunder dari tumbuhan) yang bersifat antioksidan, mencegah dan merawat.
Tepuk dahi saya. Lain yang saya sedang ceritakan dan difahami orang ramai, lain pula dia tafsir dan kongsi di laman Facebook dia.
Biar saya jelaskan, kenapa diet berasaskan tumbuhan yang selain dari tuntutan agama, tidaklah lebih baik berbanding pinggan sihat Malaysia.

Tumbuhan menghasilkan dua jenis sebatian kimia. Pertama, metabolit primer yang sangat penting untuk kemaslahatan hidup tumbuhan, dan tanpanya pokok akan mati. Kedua, metabolit sekunder atau lebih dikenali fitokimia, dihasilkan secara berbeza-beza ikut keluarga tumbuhan, dan merupakan satu kaedah kemandirian dan penyesuaian tumbuhan pada persekitaran. Fitokimia ini ada sedikit saja dalam tumbuhan jika dibandingkan dengan metabolit primer.
Itu tumbuhan tuan puan. Tumbuhan boleh menghasilkan makanan dia sendiri jika cukup cahaya matahari, air, karbon dioksida, nutrisi dari tanah dan lain-lain. Manakala kita manusia, memerlukan nutrisi berbeza dari tumbuhan. Kita memerlukan sumber nutrisi dari makanan, dari tumbuhan dan juga dari haiwan.
Tumbuhan tidak membekalkan sesetengah nutrisi secukupnya kepada manusia. Manusia memerlukan karbohidrat, protein, vitamin dan mineral untuk kesihatan tubuh. Ada sesetengah nutrisi ini tidak dapat diperoleh dari tumbuhan sahaja. Bab ini dieticien lebih arif dan biar mereka menghuraikannya.
Fitokimia dalam tumbuhan yang kita makan BUKAN NUTRISI UTAMA yang kita perlukan. Inilah point yang ingin saya tegaskan. Fitokimia dalam kuantiti pemakanan sayur harian dalam pinggan sihat Malaysia sepatutnya sudah cukup membekalkan nutrisi dan fitokimia untuk kesihatan seharian.
Berbeza jika anda sakit. Anda perlukan fitokimia ini dalam jumlah yang lebih besar untuk merawat penyakit anda. Tetapi, jumlah fitokimia yang besar ini mustahil didapati secara diet. Maka, fitokimia ini dipencilkan dari tumbuhan, dan diformulasi menjadi ubat. Ada sekitar 55% ubat hospital hari ini sama ada dari fitokimia tanpa modifikasi atau terbitan sintetik fitokimia. Contohnya metformin, aspirin, paclitaxel dan lain-lain.
Apa akan terjadi jika anda berdegil hendak ambil ekstrak tumbuhan berbanding fitokimia yang telah dimurnikan dan diformulasi jadi ubat?
Contohnya theophylline. Katakanlah anda memerlukan 300-1000 mg theophylline setiap hari. Dalam 1g daun teh terdapat 1 mg theophylline. Anda perlu mengambil 300-1000g daun teh setiap hari untuk mendapat kesan teraupeutik theophylline.
Senario pertama: Adakah anda akan makan 1000 g setiap hari, selama berpuluh tahun? Disebabkan sebatian kimia tumbuhan ini boleh berbeza kuantitinya jika tumbuhan menerima sumber nutrisi berbeza atau ditanam tempat berbeza. Anda berisiko mendapat kesan sampingan pengambilan theophylline berkurangan.
Senario kedua: Di dalam daun teh bukan hanya ada theophylline. Ada berpuluh malah mungkin ada beratus sebatian kimia lain. Jika anda ambil ekstrak, anda akan ambil kesemua sebatian kimia ini. Ia boleh memberikan sinergi yang baik dan meningkatkan potensi theophylline. Tetapi ia juga berisiko melemahkan potensi theophylline malah menyebabkan kesan interaksi herba dan memberikan kesan sampingan yang teruk.
Sebab itu saya sering tekankan dalam penulisan saya, jangan masukkan benda yang tidak perlu dalam badan anda walaupun jamu, makjun, jus rempah ratus dan lain-lain. Jika anda rasa sakit, anda mesti jumpa doktor untuk mengenalpasti masalah anda. Walaupun simptom penyakit sama, penyakitnya mungkin berbeza. Mana anda tahu secara pasti herba yang disyorkan kawan anda yang mendakwa pernah sembuh sakit perut itu, untuk masalah sakit perut yang sama macam anda. Apa yang anda buat ini adalah self diagnosis. Entah-entah kawan anda keracunan makanan tetapi anda menghidapi appendicitis!
Tumbuhan antioksidan? Polifenol antioksidan? Tahukah anda ia boleh ditemui dalam banyak tumbuhan dan makanan seharian kita. Malah pengujian antioksidan itu sendiri tidak signifikan untuk tujuan perubatan. Ia hanya digunakan saintis sebagai kaedah saringan sebelum menguji tumbuhan tersebut terhadap potensi perubatan lainnya.
Tumbuhan ada aktiviti antibakteria, antidiabetes, antihipertension, antikanser dan pelbagai bioaktiviti lain? Tahukah anda ada beratus ribu kajian sedemikian. Mana satu bagus? Mana satu berkesan? Sebab itu tuan puan, kajian piring petri dan kajian model haiwan bukan bukti ia berkesan. Ia satu kaedah yang kami gunakan di makmal untuk menyaring tumbuhan mana atau sebatian kimia tumbuhan mana yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai ubat. Kami bukan terbitkan jurnal untuk tujuan orang awam baca dan pergi cari pokok rawat diri sendiri. Kami terbitkan untuk makluman komuniti sains.
Anda baca sampai sini? Tahniah! Ingatlah makanan bukan ubat. Tumbuhan untuk dimakan bukan ubat. Jika ia berpotensi jadi ubat, kaedah pemprosesan dan formulasi tidak seperti yang anda bayangkan.
PS: Penyakit diabetes bukan sekadar dikawal dengan pengambilan gula. Kenapa sehingga kini tiada cara menyembuhkan diabetes tanpa bergantung pada ubat sepanjang hayat adalah disebabkan oleh kerintangan insulin. Ini baru diabetes jenis kedua. Belum diabetes jenis pertama. Jangan memandai-mandai dengan nyawa orang. Siapa nak jawab kalau mereka kena komplikasi diabetes dan meninggal dunia?