top of page

SIRI 59: APA YANG ANDA PERLU TAHU TENTANG JAMU?

Updated: 19 Mei 2019



Apakah jamu?

.

Jamu adalah sejenis persediaan herba terdiri daripada beberapa jenis herba. Perkataan jamu ini sendiri berasal dari etnik Jawa yang bermaksud perubatan tradisional dari tumbuhan. Melihat konteks definisi ini, mana-mana campuran herba dari seluruh dunia mempunyai konotasi yang sama dengan jamu. Contohnya perubatan Ayurveda dan perubatan tradisional China. Bezanya mungkin pada jenis-jenis herba yang digunakan.

.

Imej dari By dpinpin - dpinpin, CC BY 2.0, https://commons.wikimedia.org/w/index.php?curid=10217646


Adakah jamu berkesan?

.

.

Kebanyakan orang yang saya jumpa di media sosial menganggap jamu adalah penting diamalkan sepanjang masa untuk 'kesihatan dalaman wanita', menguruskan badan, mengetatkan alat sulit, dan sebagainya. Sebaliknya jamu di tempat asalnya digunakan untuk pelbagai masalah kesihatan, tidak terhad kepada masalah yang popular di kalangan pengguna media sosial di Malaysia.

.

.

Jamu adalah nama lain kepada persediaan herba. Menurut WHO, lebih 80% penduduk dunia bergantung dengan perubatan tradisional kerana kurang akses kepada perubatan moden. Sebaliknya, di kalangan penduduk negara maju, ada setengahnya mengambil persediaan herba kerana menganggap ia lebih selamat, holistik dan bebas kesan sampingan.Kita tidak boleh mengambil secara simplistik interaksi antara banyak bahan kimia dalam herba dan sel tubuh badan.

.

.

Sepanjang saya mencari artikel penyelidikan berwasit berkenaan jamu, saya hanya menemui sekitar 100 artikel berkenaan jamu. Kajian masih pada peringkat penemuan iaitu peringkat paling awal dalam kajian perubatan dan masih belum ada kajian klinikal berkualiti tinggi. Kebanyakan kajian masih pada piring petri dan pengujian ke atas tikus.

.

.

Kebanyakan orang mengamalkan jamu berdasarkan amalan turun temurun atau berasaskan testimoni dan pengalaman orang lain. Bentuk bukti sebegini boleh berat sebelah dan tiada jaminan setiap pembuatan jamu itu konsisten, bagi menjamin keselamatan dan keberkesanan penggunaan jamu.

.

.

Saya seringkali menyebut di dalam ruangan ini untuk sesuatu persediaan herba melepasi standard keselamatan dan keberkesanan, ia harus mempunyai elemen di bawah:

.

.

a) Standardisasi bahan kimia aktif dalam persediaan herba.

b) Konsistensi kandungan bahan kimia aktif dalam setiap batch pengeluaran

c) Maklumat kesan toksik akut dan kesan toksik kronik

d) Kesan interaksi ubat-herba

e) Kajian klinikal berkualiti

f) Maklumat reproducibility iaitu data kajian menunjukkan keberkesanan yang konsisten.

.

.

Jika dibandingkan dengan perubatan tradisional China (TCM), mereka telah melangkah jauh dalam kaedah penyelidikan dengan menggunakan pendekatan biologi kimia dengan menganalisa data yang besar tentang tindakbalas bahan kimia aktif dalam persediaan herba dan kesan pada tubuh badan. Malah terdapat beberapa kajian klinikal telah dijalankan.

.

.

Manakala di USFDA, mereka mempunyai satu bentuk pendaftaran ubat yang dikenali dengan botanical drug. Untuk mendaftarkan persediaan herba dengan dakwaan perubatan, mereka perlu menyediakan maklumat sama seperti yang saya senaraikan di atas. Di Malaysia, persediaan herba yang berdaftar MAL....T tidak memerlukan pengeluar menyediakan maklumat di atas. Produk herba hanya diuji kehadiran logam berat berbahaya, kontaminasi bakteria dan cemar palsu ubat berjadual. Sebab itu, tiada dakwaan merawat 20 penyakit boleh dibuat seperti yang terkandung dalam Akta Ubat (Pengiklanan dan Jualan) 1956.

.

.

Berbalik kepada jamu, jamu hanya boleh dikatakan berkesan dan selamat jika mempunyai maklumat yang disenaraikan seperti di atas. Jika di Malaysia, mereka sepatutnya boleh mendaftarkan jamu mereka sebagai ubat dengan indikasi perubatan dan bukan sekadar MAL....T. Memandangkan maklumat kajian tentang jamu masih terlalu sedikit, tidak banyak dapat diulas tentang keselamatan dan keberkesanan jamu secara saintifik.

.


Patutkah saya mengambil jamu?

.

Pada pendapat peribadi saya, kita tidak perlu mengambil sesuatu yang kita tidak perlu. Jika ada masalah kesihatan, berbincang dengan doktor anda. Jika anda ingin mengambil persediaan herba tertentu, bincang risiko dan potensi dengan doktor anda. Jangan buat diagnosis sendiri. Belum tentu masalah kesihatan anda sama dengan orang yang mencadangkan herba tersebut kepada anda. Anda sakit ari-ari mungkin kerana pelvic inflammatory disease. Tukang nasihat itu sebenarnya hanya mengalami simptom ovulasi. Jangan memandai-mandai dengan nyawa dan kesihatan orang lain.

.

664 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
logo.jpg

Blog ini membawakan artikel ilmiah tentang tumbuhan dan sebatian kimia semulajadi dalam bahasa yang mudah difahami.

bottom of page