top of page
  • Writer's pictureDr Che Puteh Osman

SIRI 59: BENARKAH GARAM POTASSIUM DALAM VAKSIN TIDAK SAMA DENGAN GARAM POTASSIUM DALAM MAKANAN?

Updated: 10 Apr 2021

Benarkah garam potassium yang disuntik melalui vaksin tidak sama dengan garam potassium yang diperoleh melalui sumber makanan?


Garam potassium (kalium) apabila dilarutkan di dalam air akan membentuk ion potassium. Ion potassium adalah sejenis kation yang paling banyak dalam proses biokimia tubuh badan.

Ion potassium adalah elektrolit yang memainkan peranan penting dalam proses biokimia tubuh antaranya proses pengawalan keseimbangan cecair, pengecutan otot, dan signal saraf.


Maka, tidak kisahlah bentuk garam potassium tersebut, sama ada potassium citrate di dalam buah-buahan atau potassium chloride yang biasa diberikan dalam bentuk oral dan intravena untuk merawat masalah kurang garam potassium dalam tubuh, ia membekalkan ion potassium yang sama dan akan dikumuhkan.




Dalam satu-satu masa, darah kita mengandungi 1365-1950 mg potassium per liter (35-50 mmol/L), bersamaan dengan 1.755 g bagi setiap kg. Orang dewasa dengan berat 60 kg mempunyai sekitar 105 g potassium, bersamaan dengan 105, 000 mg potassium.


Kita mendapat sumber potassium melalui sumber makanan dan juga melalui mekanisme biokimia tubuh badan kita. Misalannya, pisang (358 mg), durian (426 mg), kurma (658 mg), bayam (385 mg), tempe (178 mg), dan kacang soya (397 mg). Jumlah garam potassium ini adalah untuk setiap 100 g berat makanan.


Badan kita mengumuhkan sekurang-kurangnya 195 mg garam potassium setiap hari, dan kita perlu mengambil sumber garam potassium setiap hari mengikut garis panduan pemakanan untuk mengekalkan kandungan garam potassium yang optimum dalam tubuh kita. Kandungan ion potassium yang terlalu rendah boleh menyebabkan masalah kesihatan.


Mengikut laporan Recommended Nutrition Intake for Malaysia yang diterbitkan KKM pada tahun 2017, individu yang sihat perlu mengambil 4.7 g sumber potassium setiap hari, iaitu bersamaan dengan 4700 mg sumber potassium.


Baru-baru ini terdapat isu kononnya suntikan vaksin yang mengandungi 39 mg garam potassium chloride boleh membahayakan nyawa. Jumlah ini jauh lebih rendah dari dos yang boleh menyebabkan kematian, iaitu beribu kali ganda dari jumlah garam potassium dalam vaksin.


Benarkah dakwaan kononnya garam potassium yang disuntik tidak diproses dan dikumuhkan, malah berkumpul dalam badan, seterusnya membahayakan nyawa?


Apabila kita mengambil sesuatu bahan, bahan tersebut akan diserap ke dalam darah melalui permukaan usus, kemudian ia akan mengalami metabolisme sebelum dikumuhkan.


Penyerapan bahan ini bergantung bagaimana ia diberikan, sama ada melalui mulut (oral), suntikan ke otot, atau melalui salur darah (intravena).


Apabila kita mengambil makanan yang mengandungi garam potassium, sekitar 85-90% akan diserap melalui usus dan dikumuhkan terutamanya melalui air kencing, diikuti melalui najis dan berpeluh.


Jika kita mengalami keadaan di mana kandungan ion potassium dalam darah yang sangat rendah, cecair garam potassium akan diberikan melalui salur darah. Biasa kita panggil kena masuk air garam.



Peningkatan ion potassium adalah lebih cepat kerana ia diberikan terus ke dalam darah dan tidak melalui sistem penghadaman.


Sama seperti potassium yang diambil melalui oral, ia akan dikumuhkan melalui ginjal seterusnya dikeluarkan melalui air kencing. Ia dikumuhkan dengan lebih banyak dalam beberapa jam pertama.


Persoalan untuk sama-sama kita fikirkan, adakah peningkatan 39 mg garam potassium melalui suntikan vaksin akan membahayakan nyawa?

Sedangkan dalam pemakanan harian kita perlu mengambil sehingga 4700 mg potassium dan badan kita mengekalkan jumlah potassium melebihi 100,000 mg? Dan kadar penyerapan melalui oral sekitar 85-90%, hampir sama dengan penyerapan melalui intravena? Dan badan kita berkemampuan mengumuhkan potassium dengan cepat, sekurang-kurangnya 195 mg setiap hari?


Rujukan


National Coordinating Committee on Food and Nutrition (2017) Recommended Nutrients Intake for Malaysia, Ministry of Health, Kuala Lumpur, pp 428-435


Perez V & Chang ET (2014). Sodium-to-potassium ratio and blood pressure, hypertension, and related factors. Advances in Nutrition: An International Review Journal, 5(6), 712-741.






181 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
logo.jpg

Blog ini membawakan artikel ilmiah tentang tumbuhan dan sebatian kimia semulajadi dalam bahasa yang mudah difahami.

bottom of page