top of page
  • Writer's pictureDr Che Puteh Osman

SIRI 6: ANTARA UBAT MODEN DAN PERSEDIAAN HERBA

Updated: 19 Mei 2019

Saya benci herba? Eh chop!


Saya rasa di kalangan pembaca saya mesti ada yang salah faham. Mesti ada yang ingat saya menentang penggunaan herba dan hanya menceritakan yang buruk-buruk saja tentang herba.


Suka saya tegaskan, saya hanya menentang overclaim dan penggunaan herba yang tidak terbukti secara saintifik. Contohnya, mendakwa tumbuhan A merawat diabetes atau mengatakan tumbuhan A lebih baik dari ubat hospital tanpa sokongan data saintifik yang berpiawai tinggi.


Saya rasa tuan puan sedia maklum kepakaran saya adalah kimia semulajadi terutama dari tumbuh-tumbuhan. Kajian saya lebih tertumpu kepada mengenalpasti sebatian kimia dari tumbuhan yang berpotensi dibangunkan sebagai ubatan.


Tahukah anda dalam bidang kajian tumbuhan sebagai sumber ubatan terdapat DUA pendekatan utama.



PENDEKATAN PERTAMA menumpukan hanya pada satu sebatian kimia aktif dari tumbuhan sebagai ubatan. Sebatian kimia ini akan dikenalpasti dari tumbuhan dan dihasilkan semula secara besar-besaran melalui kaedah sintesis atau biokejuruteraan. Pendekatan ini mengambil kira metabolisme sebatian kimia tersebut (ADME), kesan toksik dan lain-lain. Proses ini panjang dan mengambil masa sehingga 20-30 tahun dan memakan belanja berpuluh billion dollars.


Kaedah ini juga dikenali sebagai reductionist approach. Lebih 55% ubat hari ini ditemui dari tumbuh-tumbuhan. Sebahagian ubat ini tidak diubah struktur kimianya, sama seperti ditemui dari alam semulajadi. Manakala sebahagian yang lain diubah struktur kimianya, bagi meningkatkan keselamatan dan keberkesanannya.



PENDEKATAN KEDUA melibatkan bahan tumbuhan terbabit contohnya daun dan buah. Berbeza dengan pendekatan pertama, pendekatan kedua memfokuskan kepada standardisasi sebatian kimia dalam bahan tumbuhan terbabit.


Katakanlah daun pegaga ada 4-6 sebatian kimia utama dengan komposisi 5:3:1:1:0.5:0.5. Katakanlah Ekstrak pegaga dengan komposisi ini menunjukkan sifat antioksidan yang baik. Maka tiap kali eksperimen biologi dijalankan, ekstrak pegaga mesti dianalisis supaya komposisi kimianya tidak berubah. Ekstrak pegaga dengan komposisi ini dikaji metabolisme dalam tubuh badan.


Berbanding formulasi tunggal seperti pendekatan pertama, metabolisme ekstrak lebih kompleks kerana terdapat banyak sebatian kimia dan setiap sebatian kimia ini melalui proses tindak balas dengan badan manusia yang berbeza.


USFDA telah mewujudkan satu kategori pendaftaran ubat yang dikenali sebagai botanical drug. Ini sejenis persediaan herba yang melalui proses standardisasi dan melepasi ujian toksik dan keberkesanan sama seperti ubat single formulation. Berbanding pendekatan pertama, pendekatan kedua lebih menjimatkan masa kerana proses sintesis dan biokejuruteraan tidak dijalankan. Ia menjimatkan berbillion dollars dan masa yang diambil sekitar 10 tahun sahaja.


Bagi pendekatan kedua selain maklumat toksisiti, keberkesanan, metabolisme, maklumat yang penting adalah kesan interaksi ubat atau makanan lain.


Sehingga kini terdapat sekitar 10 ubat botanical drug yang diluluskan FDA. Ubat yang telah diluluskan ini boleh dibuat dakwaan perubatan. Ia berbeza dengan pendaftaran MAL, diikuti lapan digit dan huruf T di Malaysia kerana ia tidak melalui proses yang sama seperti botanical drug dibawah USFDA.


Pendekatan kedua juga dikenali sebagai holistic approach.


Saya sedang beralih ke arah kajian pendekatan kedua dengan tidak meninggalkan pendekatan pertama.


Yang pastinya ia bukan bermaksud proses belakang rumah tanpa proses standardisasi.


Siapa kata saya benci herba? Saya benci penipu dan orang yang suka ambil kesempatan terhadap orang yang terdesak kerana sakit.

690 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
logo.jpg

Blog ini membawakan artikel ilmiah tentang tumbuhan dan sebatian kimia semulajadi dalam bahasa yang mudah difahami.

bottom of page