SIRI 61: ARTEMISININ, DARI HERBA, KEPADA HERBA
Updated: 24 Mei 2019
Betul ke tiada ubat preskripsi herba? Sehingga 2016, terdapat sekitar 9 formulasi herba yang didaftarkan sebagai ubat botanik di bawah FDA. Ubat ini merupakan kategori ubat preskripsi.
Artemisinin adalah rawatan standard bagi parasit malaria yang telah membina kerintangan terhadap chloroquine. Artemisinin adalah sebatian kimia aktif yang dimurnikan dari Artemisia annua, tumbuhan yang digunakan secara tradisi dalam Traditional Chinese Medicine bagi merawat demam.
Kajian besar-besaran pada tahun 1967 bagi mencari ubat malaria dari tumbuhan yang digunakan secara tradisi merawat demam dan malaria di China. Artemisinin dimurnikan kali pertama pada tahun 1972. Ahli kimia yang menemui artemisinin, Tu Youyou menerima HAdiah Nobel Fisiologi dan Perubatan pada tahun 2015 atas penemuan ini.
Artemisinin mula digunakan secara meluas pada tahun 1990-an bagi merawat malaria yang serius yang disebabkan oleh parasit Plasmodium falciparum yang telah membina kerintangan terhadap ubat chloroquine.
Hari ini WHO menggariskan penggunaan artemisinin combination therapy (ACT) bagi merawat malaria disebabkan strain parasit yang membina kerintangan terhadap chloroquine.

Namun, kerana struktur kimianya yang kompleks, ia tidak ekonomikal dihasilkan secara sintesis, dan artemisinin masih dihasilkan secara separa sintetik dari bahan pemula yang diekstrak dari pokok Artemisia annua. Ini menjadikan harganya lebih mahal berbanding chloroquine dan kebanyakan negara miskin di mana malaria masih endemik seperti di Afrika, mereka tidak mampu mendapatkan ubat tersebut untuk semua rakyatnya.
Maka kajian kini dijalankan bagi menggunakan herba Artemisia annua yang dikeringkan dan dikapsulkan. Jangan salah sangka, kajian mereka sangat terperinci dari penanaman,penuaian, pengeringan, persediaan ekstrak dan penyimpanan. Kajian klinikal diadakan bagi melihat keberkesanan formulasi herba Artemisia annua ini.
Negara-negara Afrika giat menanam Artemisia annua di kawasan pergunungan. Mereka giat menjalankan kajian terperinci membandingkan keberkesanan herba berbanding ACT. Jika kajian ini berjaya, benua Afrika akan mendapat akses kepada ubat malaria dalam bentuk herba yang lebih murah, selamat dan berkesan berbanding artemisinin yang jauh lebih mahal.
Semoga kejayaan ini memberi inspirasi kepada kajian herba di dunia.
Bukan bermaksud kita sekadar petik belakang rumah berdasarkan petua-petua tanpa asas saintifik.