top of page
  • Writer's pictureDr Che Puteh Osman

SIRI 61: BENARKAH SAYUR DAN BUAH DARI CHINA TINGGI KANDUNGAN RACUN PEROSAK?

Updated: 17 Nov 2021

Baru-baru ini tular artikel mengenai sayur dan buah yang diimport dari negara China yang dikatakan tinggi logam berat dan racun.


Menurut satu artikel systematic review yang diterbitkan pada tahun 2021, yang melibatkan laporan kandungan racun malathion, diazinon dan chlorpyrifos dari 43 negara termasuk Malaysia, sayur dari China dan Poland mencatatkan kandungan racun terendah berbanding 43 negara lain.



Kajian ini melibatkan 43 jurnal yang diterbitkan dari seluruh dunia. Negara yang mencatatkan kandungan racun tertinggi dalam sayur adalah Pakistan, Thailand, dan Korea Selatan.


Mengikut jenis racun, kandungan malathion paling banyak dilaporkan dalam sayur dari negara Pakistan (222 mikrogram/kg), Arab Saudi (81 mikrogram/kg), Ghana (41 mikrogram/kg), Senegal (62.00 mikrogam/kg), Mesir (23.00 mikrogram/kg/ Western Indian Himalayan (16.80 mikrogram/kg) > Malaysia (8.00 mikrogram/ kg), Thailand (6.00 mikrogram/kg) dan China (1.70 mikrogram/kg).


Manakala racun jenis diazinon banyak dilaporkan dalam sayur dari negara Thailand (245.00 mikrogram/kg), Iran (224.99 mikrogram/kg), Malaysia (59.00 mikrogram/kg), China (46.00 mikrogram/kg), Ghana (40.00 mikrogram/kg) dan Poland (0.57 mikrogram/kg).


Racun jenis chlorpyrifos banyak dilaporkan dalam sayur dari negara Korea Selatan (440.00 mikrogram/kg), Thailand (274.00 mikrogram/kg), Pakistan (259.00 mikrogram/kg), Iran (211.00 mikrogram/kg), Senegal (195.00 mikrogram/kg), China (77.30 mikrogram/kg), Nepal (52.00 mikrogram/kg), India (43.5 mg/kg), Turki (41.00 miligram/kg), Arab Saudi (32.00 mikrogram/kg), Ghana (30.69 mikrogram/kg), Burkina Faso (40.00 mikrogram/kg), Egypt (25.50 mikrogram/kg), Malaysia (13.00 mikrogram/kg) dan Greece (7.00 mikrogram/kg).


Jika anda perhatikan, kandungan racun organofosfat lebih tinggi dalam sayuran dari Malaysia berbanding China. Tetapi kita harus faham, ia berdasarkan lokasi yang dipilih untuk kajian.


Kandungan racun dan logam berat dalam makanan bergantung kepada di manakah tumbuhan tersebut ditanam.


Jika ia ditanam di kawasan industri, kawasan tinggi pencemaran udara, kawasan tinggi penggunaan racun, ia akan mengakibatkan sayuran dan buah-buahan tinggi racun dan logam berat.


Selain itu, sumber pengairan juga merupakan faktor yang penting menentukan sama ada tanaman di sekitarnya mengandungi logam berat yang tinggi atau tidak.


Memang kajian banyak dilaporkan dari negara China, tetapi bukan bermakna sayur dari China sangat tinggi racun perosak, jika dibandingkan negara yang kurang menerbitkan artikel tentang racun perosak.


Jadi, kajian systematic review sebegini membolehkan perbandingan yang adil dijalankan. Anda boleh membaca kajian asal di sini.


Racun malathion, diazinon dan chlorpyrifos ini adalah dari jenis organofosfat. Racun organofosfat membunuh serangga dengan merencat enzim acetylcholinesterase, dan menyebabkan keracunan pada serangga perosak.


Malathion secara relatifnya kurang toksik pada manusia, namun apabila ia ditukarkan kepada malaoxon, ia menjadi perencat enzim acetylcholinesterase yang kuat.


Jika racun ini tinggi dalam sayuran, ia boleh menyebabkan keracunan akut. Jika anda masih ingat, gas oren yang juga merupakan agen perencat enzim acetylcholinesterase, pernah digunakan sebagai racun perosak sebelum ia digunakan sebagai senjata kimia dalam perang antara Amerika Syarikat dan Vietnam.


Penggunaan agen oren bersama dengan dioxin menyebabkan kanser, kesan mutagenik pada anak-anak yang dilahirkan kemudian di Vietnam dan pelbagai bentuk keracunan. Kesan ini berterusan dalam jangka panjang kerana sisa racun ini masih ada dalam persekitaran.


Beberapa agen saraf seperti XY, gas oren dan gas sarin telah diharamkan penggunaan dalam perang. Agen saraf seperti ini mengikat pada enzim acetycholinesterase dan tidak boleh diterbalikkan dan menyebabkan keracunan dan kematian.


Namun, racun yang digunakan untuk mengawal serangga perosak pada hari ini bukanlah sejenis perencat enzim acetylcholinesterase yang kuat, dan penggunaan racun ini dikawalselia supaya tidak menyebabkan keracunan.


Dari masa ke semasa, pemantauan dijalankan oleh pihak berkuasa bagi memastikan penggunaan racun organofosfat ini mengikut garispanduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.


Baru-baru ini media melaporkan 1620 kg seleri dari negara China dilupuskan kerana mengandungi sisa racun organofosfat melebihi had yang dibenarkan. Pautan berita di sini.


Adakah sayur dan buah organik bebas kandungan racun perosak?


Penanaman organik tidak menggunakan racun organofosfat. Kajian yang dijalankan pada tahun 2018 menunjukkan sayur dan buah dari penanaman organik di Cameron Highlands masih mengandungi sisa racun kerana air mengalir dari petak penanaman konsensional di sekeliling ladang organik tadi, dan racun yang meresap ke dalam tanah. Anda boleh membaca kajian asal di sini.


Organik atau tidak, sila basuh sayuran dengan teliti.


Racun organofosfat dan organoklorin boleh dicuci untuk menghilangkan sebahagian besar racun. Antaranya menggunakan serbuk soda bikarbonat, memberus buah, air garam, dan larutan alkali.


Kajian pada tahun 2018 menunjukkan kebanyakkan sisa racun organofosfat dan organoklorin dapat dibersihkan dengan menggunakan 10 g serbuk soda bikarbonat dalam 1 liter air. Saya pernah tulis di sini.


Jadi, tuduhan semua sayuran dari China yang dibawa masuk ke Malaysia mengandungi racun dan logam berat yang tinggi adalah tidak benar. Pihak berkuasa Malaysia sentiasa memantau kandungan racun dari masa ke semasa.


Jangan lupa untuk mencuci sayuran dan buah anda dengan baik, tidak kisah dari mana ia berasal.


Kita tidak dapat mengelakkan diri dari terdedah dari kontaminan. Apa yang penting adalah pengambilan sederhana dan mempelbagaikan sumber makanan.


Nota kaki: Artikel ini ditulis dengan input dari admin #cisplatin dari Ini Sains Beb.


Rujukan:


Farina, Y., Munawar, N., Abdullah, M. P., Yaqoob, M., & Nabi, A. (2018). Fate, distribution, and bioconcentration of pesticides impact on the organic farms of Cameron Highlands, Malaysia. Environmental Monitoring and Assessment, 190(7), 386. doi:10.1007/s10661-018-6762-8


Kermani, M., Dowlati, M., Gholami, M., Sobhi, H. R., Azari, A., Esrafili, A., . . . Ghaffari, H. R. (2021). A global systematic review, meta-analysis and health risk assessment on the quantity of Malathion, Diazinon and Chlorpyrifos in Vegetables. Chemosphere, 270, 129382. doi:https://doi.org/10.1016/j.chemosphere.2020.129382


https://www.sinarharian.com.my/article/171617/BERITA/Semasa/1620kg-daun-saderi-dari-China-dilupus


Jensen, I. M., & Whatling, P. (2010). Chapter 71 - Malathion: A Review of Toxicology. In R. Krieger (Ed.), Hayes' Handbook of Pesticide Toxicology (Third Edition) (pp. 1527-1542). New York: Academic Press.


Yang, T., Doherty, J., Zhao, B., Kinchla, A. J., Clark, J. M., & He, L. (2017). Effectiveness of Commercial and Homemade Washing Agents in Removing Pesticide Residues on and in Apples. Journal of Agricultural and Food Chemistry, 65(44), 9744-9752. doi:10.1021/acs.jafc.7b03118


635 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
logo.jpg

Blog ini membawakan artikel ilmiah tentang tumbuhan dan sebatian kimia semulajadi dalam bahasa yang mudah difahami.

bottom of page