Dr Che Puteh Osman
SIRI 62: MEMBASUH BERAS MENGURANGKAN KANDUNGAN ARSENIK?
Kajian pada tahun 2013 melaporkan kandungan arsenik pelbagai jenis beras termasuk beras putih, merah dan perang, dan produk berasaskan beras dari Thailand, Malaysia, India, Pakistan dan Sri Lanka yang disampelkan dari tahun 2008 sehingga 2012.
Artikel ini melaporkan beras dari Malaysia mengandungi sekitar 100 mikrogram per kilogram arsenik, di mana 69% adalah arsenik tak organik dan 24% adalah arsenik jenis asid dimetilarsenik.
Kandungan arsenik dalam beras dari Malaysia lebih rendah berbanding kebanyakan negara lain dalam kajian yang sama.
Kandungan arsenik yang diambil rakyat Thai dan China melalui nasi secara purata setiap minggu adalah sekitar 2-4 mikrogram per kilogram berat badan.
Adakah membasuh beras boleh membuang arsenik dalam biji beras?
Jawapannya tidak.
Kandungan arsenik yang dianalisa dalam beras menggunakan kaedah pencernaan menggunakan asid kuat.
Beras tersebut perlu dicerna menggunakan asid kuat untuk meleraikan ikatan kimia di dalam beras, seperti mana jus gastrik dalam perut kita yang mengandungi asid kuat. Malah air dari sesetengah kawasan yang digunakan untuk membasuh beras juga mengandungi arsenik.
Namun, basuhlah nasi anda, untuk menghilangkan kotoran lainnya.

Adakah anda perlu risau dengan kandungan arsenik ini? Ya, jika anda terdedah dengan arsenik secara berlebihan.
Dan bergantung apakah bentuk arsenik yang anda makan melalui beras. Percaya atau tidak, kita sebenarnya terdedah pada arsenik setiap hari, melalui pernafasan, makanan dan air minuman.
Kandungan arsenik dalam beras bergantung di manakah pokok padi ditanam.
Pokok padi menyerap arsenik dari tanah dan juga dari sumber penngairan.
Kandungan arsenik dalam tanah adalah sekitar 1-50 mikrogram per kilogram, dan kandungan arsenik lebih tinggi dalam tanah berbanding batu-batuan.
Beras adalah makanan ruji kebanyakan negara Asia. Beras memerlukan pengairan sepanjang tahun, dan meningkatkan risiko pengumpulan arsenik dari tanah dan air.
Apakah itu arsenik?
Arsenik adalah sejenis logam surih yang ditemui sekitar 0.00005% dalam kerak bumi. Ia boleh didapati secara purata sekitar 2 milogram per kilogram dalam batu-batuan.
Arsenik wujud secara semulajadi dalam lebih 200 bentuk, sekitar 60% dalam bentuk arsenat, 20% dalam bentuk sulfida dan garam sulfo, dan selebihnya dalam bentuk arsenides, arsenites, oksida, silika dan arsenik elemental.
Aktiviti manusia, contohnya aktiviti perlombongan, perindustrian dan pertanian meningkatkan kandungan arsenik dalam air, udara dan tanah.
Pada awal abad ke-20, arsenik dalam beberapa digunakan untuk pelbagai tujuan pertanian dan perindustrian.
Bentuk arsenik ini boleh berubah bergantung kepada suhu, pH dan juga sama ada terdapat tindakbalas bakteria dalam keadaan dengan oksigen (aerobik) atau tanpa oksigen (anaerobik).
Arsenik secara umumnya wujud dalam bentuk arsenik tak organik (inorganic arsenic) dalam tanah, tetapi ia boleh mengikat pada bahan organik dalam tanah.

Arsenik tak organik lebih toksik berbanding arsenik organik. Tetapi arsenik organik terutamanya metil arsenik merupakan agen karsinogen yang menyebabkan kanser pada jangka masa panjang.
Arsenik paling banyak ditemui dalam bentuk pentavalen (+5) atau dalam bentuk trivalen (+3).
Arsenik dalam bentuk trivalen lebih bertoksik dan lebih larut air berbanding arsenik dalam bentuk pentavalen.
Kandungan arsenik dalam air berbeza mengikut negara. WHO menetapkan kandungan arsenik yang dalam air minuman hendaklah tidak melebihi 0.01 mikrogram per liter. Bentuk arsenik dalam air bergantung kepada sifat air sama ada beralkali atau berasid.
Manakala arsenik dalam udara dalam bentuk partikel halus. Setiap hari kita terdedah kepada habuk arsenik ini sekitar 40-90 nanogram per liter.
Jika kita terdedah kepada aktiviti pertanian, perlombongan, pembakaran arang batu atau perindustrian melibatkan arsenik, pendedahan ini mungkin jauh lebih tinggi.
Haiwan, manusia dan tumbuh-tumbuhan menyerap, mengumuh dan mengumpul arsenik dalam tisu.
Di dalam mamalia termasuk manusia, arsenik mengumpul pada tisu ektodermik, seperti kuku dan rambut.
Pengumpulan arsenik ini meningkat seiring dengan peningkatan usia. Kandungan arsenik dalam tisu badan manusia dewasa dianggarkan sekitar 3-4 miligram.
Secara umumnya manusia mengumuhkan arsenik organik lebih pantas berbanding arsenik tak organik. Untuk arsenik tak organik, bentuk pentavalen lebih cepat dikumuhkan berbanding bentuk trivalen.
Kadar pengumuhan dipengaruhi dengan pelbagai faktor. Arsenik dalam bentuk pentavelen akan ditukarkan kepada bentuk trivalen, sebelum ditukarkan dalam bentuk metil dalam hati manusia.
Jika tiada pengambilan dan pendedahan arsenik berlebihan, manusia mengumuhkan kebanyakan arsenik melalui air kencing.
Kajian menunjukkan sekitar 40-50% arsenik dikumuhkan dalam 48 jam, dan 40-60% selepas 4-5 hari. Sekitar 60-70% arsenik bentuk tak organik dikumuhkan manakala sekitar 70-80% arsenik bentuk organik dikumuhkan selepas pengambilan atau pendedahan.
Arsenik dalam bentuk trivalen cenderung mengumpul dalam kuku dan rambut. Penyelidik selalu menguji kandungan arsenik dalam kuku dan rambut untuk melihat jumlah pendedahan lampau kepada arsenik.
Secara umumnya pendedahan di bawah paras tertentu adalah selamat, dan pendedahan berlebihan boleh mendatangkan pelbagai masalah kesihatan akut dan kronik.
Pelbagaikan sumber pemakanan anda untuk mengurangkan pendedahan kepada arsenik.
Rujukan
Mandal, B. K., & Suzuki, K. T. (2002). Arsenic round the world: a review. Talanta, 58(1), 201-235. doi:https://doi.org/10.1016/S0039-9140(02)00268-0
Mana, S. C. A., Fatt, N. T., & Ashraf, M. A. (2017). The fate and transport of arsenic species in the aquatic ecosystem: a case study on Bestari Jaya, Peninsular Malaysia. Environmental Science and Pollution Research, 24(29), 22799-22807. doi:10.1007/s11356-016-8195-7
Nookabkaew, S., Rangkadilok, N., Mahidol, C., Promsuk, G., & Satayavivad, J. (2013). Determination of Arsenic Species in Rice from Thailand and Other Asian Countries Using Simple Extraction and HPLC-ICP-MS Analysis. Journal of Agricultural and Food Chemistry, 61(28), 6991-6998. doi:10.1021/jf4014873
Sarkar, A., & Paul, B. (2016). The global menace of arsenic and its conventional remediation - A critical review. Chemosphere, 158, 37-49. doi:https://doi.org/10.1016/j.chemosphere.2016.05.043