top of page

SIRI 63: HERBA UNTUK MERAWAT KENCING MANIS

Updated: 5 Jul 2019


Diabetes adalah fenomena dimana gula terlalu tinggi di dalam darah. Terdapat dua jenis diabetes iaitu diabetes jenis pertama dan diabetes jenis kedua.


Diabetes jenis pertama adalah sejenis penyakit autoimmune. Sistem imun menyerang sel beta di dalam pankreas. Sel beta bertanggungjawab menghasilkan insulin. Jadi, sedikit atau tiada insulin dihasilkan. Pesakit memerlukan insulin setiap hari dan pengubahsuaian cara hidup.


Diabetes jenis kedua disebabkan oleh kerintangan insulin. Selain faktor genetik, gaya hidup yang tidak sihat menyumbang kepada diabetes jenis kedua. Diabetes jenis kedua adalah fenomena di mana insulin menjadi tidak sensitif kepada pertambahan glukosa dalam darah. Ini mengakibatkan insulin gagal memberi signal kepada protein GLUT untuk membantu pengangkutan gula dari glukosa ke sel-sel badan yang memerlukan. Jika pengubahsuaian cara hidup gagal mengawal paras glukosa dalam darah, ubat-ubatan diperlukan bagi mengawal diabetes.






Jika ditanya tentang petua merawat diabetes, lebih dari 50 tumbuhan disenaraikan. Kedengaran testimoni bahawa paras gula dalam darah berjaya dikurangkan dengan pengambilan makanan tertentu. Benarkah sedemikian?


Saya ingin mengelaskan tumbuhan ini kepada empat kategori mengikut bukti kajian saintifik.













Mari kita tengok kajian herba-herba ini. Kebanyakan herba-herba ini hanya mengurangkan bacaan gula selepas makan atau postprandial sugar. Antaranya dengan merencat sejenis enzim yang menukar gula kepada glukosa iaitu enzim alpha-glucosidase dan enzim alpha-amylase. Dalam erti kata lain, dia hanya mengurangkan penguraian karbohidrat kepada glukosa dan tidak merawat punca penyakit diabetes seperti kerintangan insulin dan lain-lain.


Sebab itu jika tumbuhan ini sejenis makanan seperti peria, bendi dan daun mulberi, anda boleh jadikan ia ulam untuk makan dan jangan sesekali meninggalkan ubat. Namun apabila ia dijadikan produk, kajian perlu lebih terperinci ke atas produk tersebut dan bukan sekadar merujuk kajian lain.


Untuk mendakwa sesuatu herba itu merawat penyakit, ia perlu melalui kajian klinikal berpiawai tinggi. Kajian ke atas piring petri, kajian ke atas tikus atau kajian pilot ke atas manusia bukan bukti perubatan yang kukuh.


Satu pertimbangan lain, adakah herba ini lebih baik berbanding rawatan sedia ada? Jika tiada kajian menunjukkan sedemikian, herba hanya boleh sebagai komplimentari, melengkapkan rawatan bukan sebagai rawatan utama. Walaupun hanya komplimentari, bukan bermakna hanya sekadar dengar-dengar atau testimoni, ia memerlukan kajian klinikal bersama ubat sedia ada untuk melihat kesan sampingan, toleransi kombinasi rawatan dan lain-lain.


Jika ada kajian menunjukkan ia lebih baik, tak perlu sesiapa sebut, pakar perubatan kita sendiri akan masukkan ia sebagai rawatan utama. Kalau belum ada, maksudnya belum ada bukti kukuh yang ia lebih baik berbanding rawatan sedia ada.


Namun begitu, bincang dahulu dengan doktor sebelum nak jadikan ia rutin seperti minum air halba atau makan jus peria katak. Bimbang ia boleh menyebabkan hipoglisemia atau kurang gula dalam darah yang membahayakan.


Dr Che Puteh Osman

PhD (UiTM)


1,502 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
logo.jpg

Blog ini membawakan artikel ilmiah tentang tumbuhan dan sebatian kimia semulajadi dalam bahasa yang mudah difahami.

bottom of page