SIRI 64: ROOIBOS TEA, BENARKAH IA MERAWAT ECZEMA DAN DIABETES?
Updated: 19 Mei 2019
Teh Rooibos merupakan daun muda yang dikeringkan dari pokok Aspalathus linearis, tumbuhan yang berasal dari Afrika Selatan.
Teh rooibos, seperti mana teh yang lain, dikatakan berkhasiat kerana mengandungi polifenol yang tinggi terutamanya flavonoids.
Antara flavonoids utama adalah aspalathin. Aspalathin hanya ditemui secara semulajadi dari pokok Aspalathus linearis, dan tidak dijumpai secara semulajadi dari tumbuhan lain.
Dalam daun muda kering rooibos, terdapat sekitar 6-10% aspalathin.

Teh rooibos dan diabetes
=================================
Dalam kajian ke atas tikus dan sel, aspalathin didapati merangsang penghasilan insulin, meningkatkan pengangkutan glukosa ke dalam sel tubuh, merencat enzim yang menukar karbohidrat kepada gula, dan mengurangkan pembentukan kolesterol jahat.
Namun begitu, penyelidik mendapati aspalathin kurang bioavailabiliti, iaitu kepekatan aspalathin tidak cukup untuk memberikan kebaikan kepada sel tubuh kerana ia kurang diserap oleh dinding usus. Ini kerana aspalathin kurang larut minyak dan sukar diserap.
Walaubagaimanapun, penyelidik mendapati aspalathin diserap lebih baik dalam bentuk ekstrak atau teh. Ini kerana ada sebatian kimia lain dalam teh yang membantu penyerapan aspalathin.
Setakat ini belum ada kajian klinikal ke atas manusia. Tiada bukti teh rooibos adalah lebih baik berbanding ubat sedia ada.
Terdapat dua laporan kes kesan toksik ke atas hati. Pesakit ini mengalami interaksi ubat dan herba dan menyebabkan kesan toksik pada hati. Seorang pesakit ini mengambil ubat kolesterol atorvastatin dan seorang lagi mengambil ubat antikanser.
Walaupun ini kes terpencil, seeloknya berbincang dengan doktor anda sebelum hendak mencuba sebarang herba atau suplemen.
Secara umumnya, teh rooibos ini elok minum tanpa gula selepas makan. Tetapi ia bukan ubat diabetes.
Teh rooibos dan eczema.
=================================
Tiada kajian menunjukkan teh rooibos secara langsung merawat masalah eczema. Eczema disebabkan oleh lapisan kulit yang rosak dan menyebabkan kehilangan air. Antara rawatan standard eczema adalah mengawal keradangan antaranya menggunakan krim steroid, melembabkan kulit dan mengelak alergen yang mencetus serangan eczema.
Dalam satu kajian klinikal terhadap manusia yang sihat, (S) dan (R)-eriodictyol-6-C-β-D-glucoside merupakan bahan aktif teh rooibos yang didapati meransang pengeluaran peluh, air liur dan air mata apabila diambil secara tablet yang mengandungi 0.34% bahan aktif.
Tetapi walaupun lebih berpeluh, ini tidak mengatasi masalah eczema yang kering kulit akibat kerosakan lapisan kulit transepidermal.
Lagipun, sebatian kimia aktif ini tidak larut minyak. Maksudnya ia tidak akan melepasi membrane kulit untuk mengaktifkan reseptor berkenaan.
Jadi perbuatan memandikan atau berendam dalam teh rooibos untuk merawat ezcema adalah perbuatan sia-sia dan membazir. Baik minum.
Semoga bermanfaat.
Dr Che Puteh Osman
PhD (Natural Product Chemistry)
Rujukan:
Johnson, R, Beer, Dd, Dludla, PV, Ferreira, D, Muller, CJF, & Joubert, E.Aspalathin from Rooibos (Aspalathus linearis): A Bioactive C-glucosyl Dihydrochalcone with Potential to Target the Metabolic Syndrome. Planta Med,2018; 84: 568-583. doi:10.1055/s-0044-100622
Nishimachi, S, Iwai, T, Nakamura, Y, Yuyama-Masuda, K, Tsutsui, T, Monoi, N, . . . Nakamura, S.Rooibos (Aspalathus linearis) extract, containing eriodictyol-6-C-β-d-glucoside as the active component, stimulates exocrine glands via the M3 muscarinic acetylcholine receptor. Journal of Functional Foods,2019; 55: 248-254.