top of page

SIRI 66: CARA MENULIS NAMA SAINTIFIK TUMBUHAN YANG BETUL

Updated: 19 Mei 2019

Kenapa penting menulis nama saintifik yang betul?


Jika anda mencari maklumat mengenai sesuatu spesies, sama ada tumbuhan, haiwan, mikroorganisme dan hidupan laut, nama saintifik yang betul akan membawa anda kepada artikel saintifik yang betul.


Nama salah, anda membaca artikel yang salah. Kerana beginilah caranya artikel saintifik dilaporkan. Ia wajib dimulai dengan nama saintifik diikuti penerangan nama tempatan.


Nama tempatan atau nama panggilan sesuatu spesis itu boleh jadi berbeza, atau sama untuk spesies tumbuhan yang berbeza.


Contohnya pokok tunjuk langit dan buah tunjuk langit, sebenarnya dua spesis berbeza dari dua keluarga yang berbeza.


Bagaimana sesuatu spesies itu dikategorikan? Lihat gambar kedua. Kebiasaannya kita hanya menyebut nama keluarga dan nama spesies. Maklumat lain jarang disebut.


Misalannya, pokok pegaga, atau Asian pennywort.


Nama keluarga: Apiaceae

Nama spesies : Centella asiatica


Nama keluarga, Apiaceae mesti ditulis dengan huruf awalan A berhuruf besar.


Manakala nama spesies, Centella asiatica mesti italik keseluruhannya. Centella adalah nama genus, dan huruf awalannya, C mesti ditulis huruf besar. Manakala, asiatica, merujuk pada nama spesies mesti ditulis huruf kecil keseluruhannya, dan italics.


Katakanlah tajuk tesis saya, CHEMICAL CONSTITUENTS OF Centella asiatica.


Walaupun keseluruhan tajuk tesis adalah huruf besar, nama saintifik mesti TULIS HURUF KECIL dengan huruf pertama NAMA GENUS berhuruf besar. Dan MESTI ITALIK.



Panduan di atas untuk penulisan biasa.


Untuk penulisan saintifik, nama spesies mesti disebut dengan penuh termasuk nama ahli botani.


Contohnya untuk pegaga, Centella asiatica (L.) Urb


Seperti panduan di atas Centella asiatica mesti italik, manakala (L) Urb tidak italic.


Jadi untuk tajuk tesis sepatutnya berbunyi,


CHEMICAL CONSTITUENTS OF Centella asiatica (L) Urb


Untuk sebutan seterusnya memadai dengan menulis, C. asiatica. Sama seperti di atas, mesti tulis dalam bentuk italik.


Untuk nama spesies yang mempunyai variety seperti,


Centella asiatica var. floridana (J.M.Coult. & Rose) J.M.Coult. & Rose


Perkataan var. (J.M.Coult & Rose) tidak italik. Hanya nama genus (Centella) dan spesies (asiatica) dan floridana yang wajib italik. Lihat gambar ketiga.


Walaupun Centella asiatica var. floridana (J.M.Coult. & Rose) J.M.Coult. & Rose sama seperti pegaga, ia sebenarnya merujuk kepada pokok lain yang mempunya nama yang digunapakai kini iaitu Centella erecta (L.f.) Fernald.


Ada satu lagi nama lain pennywort adalah Hydrocotyle asiatica. Ia sebenarnya spesies lain, iaitu pegaga air. Bentuk dan rupanya seakan-akan pegaga, tetapi ia sebenarnya dari keluarga Araliaceae. Pegaga pula dari keluarga Apiaceae. Bayangkan anda mencari jurnal saintifik dengan nama Hydrocotyle dan mengatakan ia khasiat pegaga yang orang selalu makan tu, dah salah sebenarnya.


Laman web yang boleh dipercayai untuk menyemak nama saintifik tumbuhan contohnya www.theplantlist.org. Untuk pengesahan spesies, jika ada keraguan, ia wajib disahkan oleh ahli botani bertauliah.


Cukuplah. Satu spesies saja. Setiap bidang ada kepakarannya. Bab taksonomi tumbuhan, ia adalah kepakaran ahli botani. Saya pun bukan ahli taksonomi tumbuhan. Tetapi saya dengar teguran ahli botani kalau saya salah.


Biasakan yang betul, betulkan yang biasa.


Tidak gitu?


Jom kongsi supaya kesilapan sebegini tidak diulang lagi.

1,678 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
logo.jpg

Blog ini membawakan artikel ilmiah tentang tumbuhan dan sebatian kimia semulajadi dalam bahasa yang mudah difahami.

bottom of page