SIRI 67 : POKOK RAJA SATONG (SARANG SEMUT) MERAWAT KANSER?
Updated: 19 Jun 2019
Baru-baru ini ada kawan Facebook saya tag saya di satu hantaran yang sedang tular. Katanya air rebusan pokok raja satong merawat kanser payudara. Benarkah sedemikian?

Pokok raja satong atau nama saintifiknya Hydnophytum formicarum Jack merupakan ahli keluarga Rubiaceae. Ia sejenis pokok yang menumpang pokok lain (epiphytes) dan mendapat nutrien dari persekitaran. Ia mempunyai tuber yang mempunyai struktur seakan-akan sarang semut. Pokok ini digunakan secara tradisional bagi merawat pelbagai penyakit antaranya kanser.

Adakah terdapat bukti saintifik menunjukkan pokok raja satong merawat kanser? Hasil pencarian penulis menunjukkan terdapat banyak kajian menunjukkan ekstrak pokok raja satong merencat pertumbuhan bakteria dan beberapa sel jenis kanser dalam kajian piring petri. Terdapat kajian menunjukkan pokok raja satong bersifat antioksidan.
Sebatian kimia yang dikenalpasti dari pokok raja satong adalah isoliquiritigenin, protocatechualdehyde, butin, dan butein.
Namun begitu, suka saya ulangi sekali lagi, kajian piring petri bukanlah satu bukti perubatan. Kajian piring petri adalah kajian paling awal dilakukan, sebelum subjek kajian itu dikaji peringkat berikutnya. Untuk mengatakan sesuatu bahan untuk terbukti merawat penyakit, bukti kajian mestilah dari kajian rawak terkawal ke atas manusia. Laporan kajian piring petri atau kajian ke atas
haiwan bukanlah satu bukti perubatan.
Janganlah tinggalkan rawatan yang telah dibincangkan bersama doktor anda. Kanser adalah penyakit melawan masa. Jika anda melengahkan rawatan, anda telah mengurangkan peratusan untuk bebas kanser.
PhD (Natural Product Chemistry)
Rujukan:
Aranya Manosroi, Theeraphong Tangjai, Charinya Chankhampan, Worapaka Manosroi, Yaravee Najarut, Worapong Kitdamrongtham, Jiradej Manosroi. (2017) Potent Phosphodiesterase Inhibition and Nitric Oxide Release Stimulation of Anti-Impotence Thai Medicinal Plants from “MANOSROI III” Database. Evidence-Based Complementary and Alternative Medicine, 1-14.
Arunporn Itharat, Peter J. Houghton, E. Eno-Amooquaye, P.J. Burke, Julia H. Sampson, Amala Raman (2004). In vitro cytotoxic activity of Thai medicinal plants used traditionally to treat cancer, Journal of Ethnopharmacology, 90, 33–38
David Darwis, Triana Hertiani, Ediati Samito (2013). The effects of Hydnophytum formicarum ethanolic extract towards lymphocyte, vero and T47d cells proliferation in vitro, Journal of Applied Pharmaceutical Science, 4 (06), 103-109
Onmanee Prajuabjinda,
Sumalee Panthong, Arunporn Itharat (2012) Antimicrobial Activity of Thai Medicinal Preparation of Khampramong Temple Used for
Cancer Treatment and Its Plant Components, J Med Assoc Thai, 95 Suppl. 1
Prachayasittikul S, Buraparuangsang P, Worachartcheewan A, Isarankura-Na-Ayudhya C, Ruchirawat S, Prachayasittikul V. (2008). Antimicrobial and antioxidative activities of bioactive constituents from Hydnophytum formicarumJack. Molecules, 13(4), 904-921.