SIRI 68: POKOK SEMAMBU (NEEM), RACUN PEROSAK SEMULAJADI DAN ANTIBAKTERIA
Setiap ciptaan Allah pasti ada gunanya. Tepat sekali kenyataan ini, namun tidak semestinya setiap ciptaan Allah itu tujuannya merawat penyakit. Sabar dulu, baca sampai habis.
Pokok semambu atau dikenali sebagai neem dalam bahasa Inggeris, telah terbukti secara saintifik membunuh dan menghalau serangga perosak. Pokok semambu dikenali secara saintifik sebagai Azadirachta indica A Juss dari keluarga Maliaceae.

Biji dan daun semambu, mempunyai satu jenis sebatian kimia hasilan semulajadi azadirachtin dan isomernya, sejenis limonoid yang terbukti berkesan membunuh dan menghalau serangga perosak. Azadirachtin banyak didapati di dalam biji buahnya, namun ia juga boleh didapati daripada bahagian lain.

Kandungan azadirachtin di dalam biji buahnya adalah antara 0.08% sehingga 1.6%. Komposisi sebatian kimia azadirachtin bergantung kepada beberapa faktor antaranya kelembapan, jenis tanah, jumlah air hujan, keasidan tanah, nutrisi di dalam tanah dan variasi genetik. Kehadiran zink, tanah beralkali, tanah berpasir dan suhu sederhana (30-35 darjah selsius) adalah antara faktor yang dikenalpasti meningkatkan kandungan azadirachtin dalam biji buah semambu.

Ketika pemprosesan, beberapa kawalan kualiti perlu dititikberatkan bagi mengelakkan sebatian kimia ini dari rosak. Antaranya kaedah pemprosesan, suhu penyimpanan, kaedah penyediaan racun serangga, kelembapan dan lain-lain. Dalam keadaan tertentu, bahan penstabil didapati berkesan bagi menstabilkan azadirachtin untuk simpanan yang lama.
Azadirachtin dikenalpasti membunuh dan menghalau serangga perosak dengan menjadi penghalau bertoksik, menyebabkan kemandulan, menghalang tumbesaran dan menghalang serangga dari makan tumbuhan. Antara kesan azadirachtin adalah menyebabkan kemandulan nyamuk (Culex pipiens), menyebabkan kesan toksik kepada ulat pengorek tongkol (Helicoverpa armigera), kutu dan ulat Spodoptera litura, membunuh larva pengorek pucuk mahagoni (Hypsipyla grandella), dan banyak lagi.
Ekstrak biji dan daun pokok semambu ini boleh menjadi alternatif kepada racun perosak untuk kebun tanaman organik dan juga kawasan yang kurang akses kepada racun serangga perosak yang lebih berkesan.
Saya agak ini menjelaskan kenapa daun semambu selalu diletakkan sebagai alas bawah tilam. Kemungkinan tujuannya adalah menghalau serangga. Kalau sudah gatal dengan sakit, ditambah pula serangga. Alamatnya makin gatal dan berisiko dijangkiti bakteria.
Sebenarnya daun semambu sangat sinonim dengan rawatan cacar air (chicken pox), gatal-gatal kulit dan sebagainya. Benarkah ia berkesan merawat simptom tersebut? Ekstrak daun semambu telah dikaji secara meluas dan telah didapati merencat bakteria dan fungi di dalam kajian piring petri dan model haiwan. Ini menjelaskan kenapa semambu direkodkan dalam perubatan tradisional seperti Ayurveda bagi merawat masalah kulit. Ia sebenarnya tidak merawat cacar air. Cacar air boleh pulih sendiri. Namun, masih belum ada kajian klinikal membuktikan keberkesanan ekstrak semambu merawat penyakit kulit disebabkan jangkitan bakteria dan fungi. Jadi, ia tidak boleh digunakan menggantikan ubat preskripsi.
Terdapat beberapa kajian klinikal melaporkan tentang penggunaan ekstrak semambu bagi merawat masalah oral antaranya mengurangkan plak dan merawat gingivitis. Pemberian persediaan berasaskan ekstrak neem mengurangkan plak dan mengurangkan bengkak gingivitis, walaupun tidak setanding pencuci mulut chlorhexidine gluconate. Oleh kerana ketidakseragaman kajian dan masalah kualiti laporan, kajian lanjutan diperlukan bagi mengesahkan keberkesanan ekstrak semambu bagi merawat masalah oral.
Kehadiran azadirachtin dan nimbidin yang bersifat astringent (mengecutkan sel dan tisu) dan antiseptik kepada bakteria yang biasa ditemui di dalam mulut menjadikan ekstrak semambu antara pilihan bahan pembuatan produk penjagaan mulut dan gigi.
Selain itu, ekstrak semambu banyak didapati dalam produk penjagaan diri dan kosmetik seperti pencuci muka, losyen, sabun, ubat gigi, pencuci mulut dan lain-lain.
Ekstrak semambu (neem) tidak boleh digunakan bagi menggantikan ubat preskripsi. Sila berbincang dengan doktor yang merawat.
Nota kaki: Disebabkan struktur kimia azadirachtin yang kompleks, selama 40 ahli kimia mengambil masa dan memerlukan 64 langkah bagi menghasilkan azadirachtin secara sintesis kimia.
Rujukan
Adenubi, Olubukola & Ahmed, Aroke & Fasina, Folorunso Oludayo & Mcgaw, Lyndy & Eloff, Jacobus & Naidoo, Vinny. (2018). Pesticidal plants as a possible alternative to synthetic acaricides in tick control: A systematic review and meta-analysis. Industrial Crops and Products, 123, 779-806. 10.1016/j.indcrop.2018.06.075.
Dhingra, K, & Vandana, K.Effectiveness of Azadirachta indica (neem) mouthrinse in plaque and gingivitis control: a systematic review. International Journal of Dental Hygiene,2017; 15: 4-15. doi:10.1111/idh.12191
Fernandes, SR, Barreiros, L, Oliveira, RF, Cruz, A, Prudêncio, C, Oliveira, AI, . . . Morgado, J.Chemistry, bioactivities, extraction and analysis of azadirachtin: State-of-the-art. Fitoterapia,2019; 134: 141-150. doi:https://doi.org/10.1016/j.fitote.2019.02.006
Gahukar, RT.Factors affecting content and bioefficacy of neem (Azadirachta indica A. Juss.) phytochemicals used in agricultural pest control: A review. Crop Protection,2014; 62: 93-99. doi:https://doi.org/10.1016/j.cropro.2014.04.014
Halford, B (2011). Azadirachtin at last. Assessed from https://pubsapp.acs.org/cen/news/85/i34/8534notw7.html (7/1/19)
Lakshmi, T., Krishnan, V., Rajendran, R., & Madhusudhanan, N. (2015). Azadirachta indica: A herbal panacea in dentistry - An update. Pharmacognosy reviews, 9(17), 41–44. doi:10.4103/0973-7847.156337
Pai, MR, Acharya, LD, & Udupa, N.Evaluation of antiplaque activity of Azadirachta indica leaf extract gel—a 6-week clinical study. Journal of Ethnopharmacology,2004; 90: 99-103. doi:https://doi.org/10.1016/j.jep.2003.09.035