top of page
  • Writer's pictureDr Che Puteh Osman

SIRI 69: CERI KAMPUNG (Muntingia calabura) MERAWAT KENCING MANIS DAN DARAH TINGGI?

Ceri kampung, atau nama saintifiknya Muntingia calabura, adalah ahli keluarga Elaeocarpaceae. Ia juga dikenali dengan nama kerukup siam, Singapore cherry, Jamaica cherry dan Panama cherry. Ia berasal dari Amerika Tengah dan Amerika Selatan, dan banyak ditanam di negara yang beriklim panas seperti India dan Asia Tenggara termasuk Malaysia. Buahnya boleh dimakan dan di sesetengah tempat daunnya dijadikan teh.


Imej dari Wikimedia Commons

Daun dan buah pokok ceri kampung ini kaya dengan flavonoid, sejenis polifenol yang mempunyai sifat antioksidan. Antara kelas flavonoid yang banyak dilaporkan dari pokok ceri kampung adalah flavone dan chalcone. Sebatian kimia kelas ini mempunyai banyak kumpulan fungsi hidroksil (OH) yang sering mengambil bahagian dalam tindak balas redoks (red-ox : penurunan-pengoksidaan).



Jenis-jenis flavonoid. Sumber : Falcone ferreyra, M., Rius, S., & Casati, P. (2012). Flavonoids: Biosynthesis, Biological functions and Biotechnological applications (Vol. 3).

Ia banyak digunakan secara tradisi merawat masalah bengkak kaki dan bengkak kelenjar prostat, merawat masalah ulser gastrik, mengurangkan demam dan sakit kepala.


Dalam kajian piring petri dan tikus, ekstrak daun ceri kampung mengurangkan pengeluaran jus gastrik, dan menguatkan lapisan perlindungan mukosa di dalam perut. Selain itu, ia juga bertindak memerangkap radikal bebas dan mengurangkan bengkak akibat ulser.


Beberapa kajian ke atas tikus menunjukkan ekstrak daun ceri kampung mengurangkan kesakitan tikus (antinociceptive). Kajian ke atas tikus juga mendapati ia mengurangkan bengkak pada tapak kaki tikus.


Saya menemui beberapa artikel kajian melaporkan kesan pemberian ekstrak metanol daun ceri kampung kepada tikus yang diinduksi mengidap diabetes dalam makmal. Pada dos tertentu, ekstrak daun ceri memgurangkan gula dalam darah selepas makan dan bacaan gula berpuasa.


Selain itu, ia juga menurunkan tekanan darah tikus dengan membesarkan salur darah dengan merencat aktiviti enzim penukar angiotensin (angiotensin converting enzyme) dan merencat aktiviti NOS (nitric acid synthase).


Ini antara hasil kajian ke atas tikus yang saya rasa menarik untuk dikisahkan. Namun suka saya ingatkan, kita manusia, dan bukannya tikus. Jangan tinggalkan ubat preskripsi kerana ingin mencuba daun ceri kampung pula.


Untuk mengesahkan keberkesanan sesuatu ubat atau persediaan herba sebagai ubat, ia mesti melalui kajian rawak terkawal ke atas manusia dalam beberapa fasa, dan mesti terbukti lebih baik atau setanding ubat sedia ada.


Kajian ke atas tikus masih pada peringkat awal kajian, dan keputusan ini sebenarnya digunakan untuk menentukan sama ada ia sesuai untuk di bawa ke peringkat kajian seterusnya. Untuk menghasilkan ubat preskripsi, ia memerlukan sekurang-kurangnya 10-20 tahun.


Namun begitu, kerana ia sejenis makanan, makanlah secara sederhana dan patuhi nasihat doktor anda.



Rujukan


Kuo, W.-L., Liao, H.-R., & Chen, J.-J. (2014). Biflavans, Flavonoids, and a Dihydrochalcone from the Stem Wood of Muntingia calabura and Their Inhibitory Activities on Neutrophil Pro-Inflammatory Responses. Molecules, 19(12). doi:10.3390/molecules191220521


Lasboi, E., Rissyelly, R., & Katrin, K. (2017). ANGIOTENSIN I-CONVERTING ENZYME INHIBITORY ACTIVITY, TOTAL PHENOLIC AND FLAVONOID CONTENT OF EXTRACT AND FRACTION OF JAM FRUIT LEAVES (MUNTINGIA CALABURA L.). Asian Journal of Pharmaceutical and Clinical Research, 10(17), 166-168. https://doi.org/10.22159/ajpcr.2017.v10s5.23123


Mahmood, N. D., Nasir, N. L. M., Rofiee, M. S., Tohid, S. F. M., Ching, S. M., Teh, L. K., . . . Zakaria, Z. A. (2014). Muntingia calabura: A review of its traditional uses, chemical properties, and pharmacological observations. Pharmaceutical Biology, 52(12), 1598-1623. doi:10.3109/13880209.2014.908397


Zakaria, Z. A., Balan, T., Suppaiah, V., Ahmad, S., & Jamaludin, F. (2014). Mechanism(s) of action involved in the gastroprotective activity of Muntingia calabura. Journal of Ethnopharmacology, 151(3), 1184-1193. doi:https://doi.org/10.1016/j.jep.2013.12.045

Z

akaria, Z. A., Sani, M. H. M., Cheema, M. S., Kader, A. A., Kek, T. L., & Salleh, M. Z. (2014). Antinociceptive activity of methanolic extract of Muntingia calabura leaves: further elucidation of the possible mechanisms. BMC Complementary and Alternative Medicine, 14(1), 63. doi:10.1186/1472-6882-14-63

1,532 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
logo.jpg

Blog ini membawakan artikel ilmiah tentang tumbuhan dan sebatian kimia semulajadi dalam bahasa yang mudah difahami.

bottom of page