SIRI 70: BENARKAH POKOK SAMBUNG NYAWA (Gynura procumbens) MERAWAT DARAH TINGGI DAN KENCING MANIS?
Pengenalan
Pokok sambung nyawa atau nama saintifiknya Gynura procumbens, merupakan ahli keluarga Asteraceae. Ia ditanam secara meluas di Asia Tenggara termasuk Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Ia digunakan secara tradisi bagi merawat masalah kencing manis, darah tinggi, dan kolesterol tinggi (hiperlipidemia). Ekstrak daun sabung nyawa mengandungi sebatian kimia hasilan semulajadi dari kelas flavonoids terutamanya flavonol antaranya apigenin, quercetin glycosides, rutin, astragalin dan kaempferol glycosides. Selain itu ia juga mempunyai sebatian kimia dari kelas sesquiterpenoid dan asid fenolik.

Hasil pencarian saya dari pangkalan jurnal berindeks scopus, penggunaan kata kunci Gynura procumbens memberikan 125 artikel saintifik, dan sebahagian besarnya menceritakan kajian ekstrak daun sambung nyawa bagi merawat tikus yang diinduksi supaya mengidap darah tinggi dan kencing manis.
Sambung nyawa dan kencing manis
Diabetes jenis kedua adalah fenomena kerintangan insulin yang menyebabkan paras glukosa di dalam darah tinggi disebabkan glukosa dalam darah gagal diangkut ke dalam sel badan.
Kajian menunjukkan pemberian ekstrak daun sambung nyawa mengurangkan bacaan gula ketika berpuasa (fasting blood sugar-FBS) dan bacaan gula selepas makan (postprandial sugar) dengan cara meningkatkan pengangkutan gula ke dalam sel badan. Ia meningkatkan tindakan insulin pada peringkat sel.
Sambung nyawa dan darah tinggi
Antara penyebab terjadinya darah tinggi adalah peningkatan isipadu darah, pengumpulan garam, dan perubahan struktur salur darah. Antara ubat yang ada untuk merawat darah tinggi adalah membesarkan salur darah (vasodilation), membuang garam dan air melalui air kencing (diuretik) dan memperlahankan rentak jantung.
Kajian ke atas tikus mendapati pemberian ekstrak daun sambung nyawa mengurangkan tekanan darah tinggi dengan membesarkan salur darah. Mekanismenya adalah dengan meningkatkan penghasilan nitrik oksida (NO) dan merencat enzim penukar angiotensin (angiotensin-converting enzyme).
Setakat ini masih belum dikenalpasti sebatian kimia hasilan semulajadi yang manakah memberikan nilai perubatan ini. Dan adakah kesan ini hasil sinergistik antara sebatian kimia tersebut.
Kesimpulan
Kajian di atas setakat ini masih pada tikus, dan kita bukannya tikus. Kajian ini masih pada peringkat pra-klinikal, dan untuk membolehkan ia digunakan sebagai rawatan utama, ia mesti melalui kajian klinikal ke atas manusia dalam beberapa fasa. Jangan tinggalkan ubat kerana petua ulam sambung nyawa.
Oleh kerana ia adalah sejenis makanan, makanlah secara sederhana dan dengarlah nasihat doktor anda.
Rujukan
Abrika, OSS, Yam, MF, Asmawi, MZ, Sadikun, A, Dieng, H, & Hussain, EA.Effects of extracts and fractions of gynura procumbens on rat atrial contraction. JAMS Journal of Acupuncture and Meridian Studies,2013; 6: 199-207. doi:10.1016/j.jams.2013.01.020
Akowuah, GA, Sadikun, A, & Mariam, A.Flavonoid identification and hypoglycaemic studies of the butanol fraction from Gynura procumbens. Pharmaceutical Biology,2002; 40: 405-410. doi:10.1076/phbi.40.6.405.8440
Algariri, K, Meng, KY, Atangwho, IJ, Asmawi, MZ, Sadikun, A, Murugaiyah, V, & Ismail, N.Hypoglycemic and anti-hyperglycemic study of Gynura procumbens leaf extracts. Asian Pacific Journal of Tropical Biomedicine,2013; 3: 358-366. doi:10.1016/S2221-1691(13)60077-5
Iqbal, Z, Bello, I, Asmawi, MZ, Al-Mansoub, MA, Ahmad, A, Jabeen, Q, & Fei, YM.Vasorelaxant activities and the underlying pharmacological mechanisms of Gynura procumbens Merr. leaf extracts on rat thoracic aorta. Inflammopharmacology,2019; 27: 421-431. doi:10.1007/s10787-017-0422-4
Kaewseejan, N, & Siriamornpun, S.Bioactive components and properties of ethanolic extract and its fractions from Gynura procumbens leaves. Industrial Crops and Products,2015; 74: 271-278. doi:10.1016/j.indcrop.2015.05.019
Kim, MJ, Lee, HJ, Wiryowidagdo, S, & Kim, HK.Antihypertensive effects of Gynura procumbens extract in spontaneously hypertensive rats. Journal of Medicinal Food,2006; 9: 587-590. doi:10.1089/jmf.2006.9.587
Ng, HK, Poh, TF, Lam, SK, & Hoe, SZ.Potassium channel openers and prostacyclin play a crucial role in mediating the vasorelaxant activity of Gynura procumbens. BMC Complementary and Alternative Medicine,2013; 13. doi:10.1186/1472-6882-13-188
Zhang, XF, & Tan, BKH.Effects of an ethanollic extract of Gynura procumbens on serum glucose, cholesterol and triglyceride levels in normal and streptozotocin-induced diabetic rats. Singapore Medical Journal,2000; 41: 9-13.
Zhang, Y, Jiang, K, Zhai, YM, Tan, JJ, Meng, DL, Guo, SL, . . . Tan, CH.Sesquiterpenoids and their glycosides from Gynura procumbens. Helvetica Chimica Acta,2014; 97: 369-374. doi:10.1002/hlca.201300197