Dr Che Puteh Osman
SIRI 72: BENARKAH DAUN BETIK MERAWAT DENGGI?
Updated: 28 Jul 2019
Pengenalan
Daun betik atau nama saintifiknya Carica papaya, sering dijadikan petua bagi merawat demam denggi. Benarkah daun betik berkesan merawat denggi?
Denggi disebabkan jangkitan virus denggi yang dibawa oleh vektor nyamuk Aedes terutamanya Aedes aegypti. Terdapat beberapa serotip virus denggi iaitu DENV-1, DENV-2, DENV-3 dan DENV-4. Jika anda pernah kena denggi, anda masih berisiko kena denggi dari serotip berbeza.
Antara tanda-tanda demam denggi adalah demam dengan panas tinggi yang boleh mencecah 40 darjah selsius, bintik-bintik merah yang gatal, sakit keseluruhan badan (generalized body ache), sakit di belakang mata dan sakit kepala. Dalam tempoh 3-7 hari denggi boleh menjadi bertambah baik atau bertambah buruk.

Jangkitan virus denggi yang teruk meningkatkan kebolehtelapan (permeability) salur darah dan menyebabkan plasma keluar antara ruang sel, keadaan yang dikenali sebagai kebocoran plasma.
Akibat kebocoran plasma dan beberapa mekanisme lain, tekanan darah menjadi rendah dan dan tidak sampai ke jantung.
Demam denggi yang teruk yang boleh mengancam nyawa disebabkan oleh kebocoran plasma yang teruk, pendarahan yang teruk dan kerosakan organ yang teruk.
Antara tanda amarannya adalah muntah yang berterusan, sakit abdomen, cirit-birit berterusan, keletihan melampau (lethargy) dan pendarahan. Keadaan ini dinamakan Dengue Shock Syndrome.
Rawatan perlu diberikan segera untuk mengelakkan komplikasi dan kematian. Rawatan mengurangkan kadar kematian di antara 2-5% berbanding jika tidak mendapat rawatan iaitu sekitar 20%.
Benarkah daun betik merawat denggi?
Satu kajian meta analisis pada tahun 2016 yang menganalisa keputusan beberapa kajian RCT menunjukkan pemberian daun betik meningkatkan platelet pesakit denggi secara sederhana dan mengurangkan tempoh di hospital berbanding pesakit yang tidak diberi ekstrak daun betik.
Walaupun demikian, kajian RCT ini mempunyai beberapa kelemahan antaranya tiada kajian yang dinilai dalam meta analisis tersebut benar-benar double-blind randomized control trial atau kajian rawak terkawal dwi-rabun. Kajian berkualiti diperlukan bagi menilai keberkesanan daun betik.
Kajian yang dijalankan di India pada tahun 2016 juga menunjukkan penemuan yang sama. Pemberian ekstrak daun betik meningkatkan platelet dalam darah.
Walaupun demikian, harus anda ketahui bahawa ketika doktor merawat pesakit denggi, mereka bukan hanya tengok kandungan platelet. Ketika pemantauan pesakit denggi, doktor memantau banyak aspek parameter darah termasuklah platelet.
Penyakit denggi biasa adalah penyakit swamengehad (self-limiting), maknanya denggi biasa yang tiada komplikasi akan mula pulih dengan sendirinya selepas beberapa hari (6-7 hari) dan parameter darah akan mula kembali normal, walaupun tanpa daun betik. Untuk denggi yang teruk boleh menyebabkan komplikasi serius termasuk kematian.
Masih belum ada kajian yang menunjukkan secara pasti apakah bahan aktif dalam daun betik yang merangsang penghasilan platelet dalam darah. Daun betik mengandungi sebatian kimia semulajadi dari beberapa kelas antaranya alkaloid, flavonoids, dan asid fenolik. Daun betik juga mengandungi sebatian kimia sionigenik glikosida pada kuantiti yang rendah. Kandungan sebatian kimia sionegenik ini berkurang apabila daun betik semakin matang. Dalam satu kajian simulasi menggunakan perisian, flavonoid quercetin didapati merencat protease virus denggi dan menghalang virus denggi dari replikasi atau membiak.

Carpaine, alkaloid di dalam daun betik
Adakah daun betik membunuh virus denggi? Atau adakah daun betik meransang penghasilan platelet walaupun tanpa demam denggi? Persoalan yang masih memerlukan jawapan melalui kajian sains bermutu tinggi.
Kesimpulan
Masih belum ada bukti kukuh menunjukkan daun betik merawat masalah kekurangan platelet ketika demam denggi. Bukti yang ada menunjukkan daun betik menaikkan platelet secara sederhana.
Walaubagaimanapun, peningkatan ini tidak signifikan secara klinikal. Ini kerana platelet yang rendah bukanlah satu-satunya kriteria denggi yang teruk. Dan demam denggi biasa tanpa komplikasi kebiasaannya sembuh walaupun tanpa rawatan khas.
Komplikasi denggi adalah disebabkan kebocoran plasma yang serius, pendarahan yang serius dan kerosakan organ yang serius atau dengue shock syndrome. Oleh itu, janganlah mengelak dari mendapat rawatan di hospital apabila doktor yang merawat menyuruh anda segera ke hospital. Ingatlah, denggi yang teruk boleh membunuh.
Rujukan:
Charan, J., Saxena, D., Goyal, J. P., & Yasobant, S. (2016). Efficacy and safety of Carica papaya leaf extract in the dengue: A systematic review and meta-analysis. International journal of applied & basic medical research, 6(4), 249–254. doi:10.4103/2229-516X.192596
Clinical Practice Guidelines (2015), Management of Dengue Infection in Adults, 3rd ed, Ministry of Health, Malaysia.
Seigler, D. S., Pauli, G. F.,Nahrstedt, A., Leen, R. (2002), Cyanogenic allosides and glucosides from Passiflora edulis and Carica papaya, Phytochemistry, 60 (8), 873-882.
Senthilvel, P., Lavanya, P., Kumar, K. M., Swetha, R., Anitha, P., Bag, S., … Anbarasu, A. (2013). Flavonoid from Carica papaya inhibits NS2B-NS3 protease and prevents Dengue 2 viral assembly. Bioinformation, 9(18), 889–895. doi:10.6026/97320630009889
WHO (2019). Dengue and severe dengue. Assessed from https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/dengue-and-severe-dengue