top of page

SIRI 73: BUNGA RATU PARI (Bombax ceiba) BERKHASIAT?


Terdapat pelbagai dakwaan mengatakan air rendaman kelopak bunga ratu pari atau bunga mukmin merawat diabetes, darah tinggi, lenguh-lenguh badan, sakit kepala, asma, batu karang, sakit buah pinggang, sakit perut, masalah seksual dan untuk menguruskan badan.


Benarkah dakwaan sedemikian?


Bunga ratu pari atau nama saintifiknya Bombax ceiba merupakan ahli keluarga Malvaceae. Ia boleh dijumpai di kawasan iklim tropika dan iklim sederhana di Asia, Afrika dan Australia. Di India, ia dikenali dengan nama simbal, dan digunakan secara tradisi untuk meredakan simptom penyakit seperti yang disebut di atas.


Pokok bunga ratu pari atau red silk cotton tree mengandungi sebatian kimia dari kelas flavonoids, xanthones, sterol tumbuhan, dan naphtoquinone, antaranya lupeol, mangiferin dan shamimin.


Adakah terdapat kajian membuktikan keberkesanan bunga ratu pari merawat penyakit di atas?


Setakat pencarian saya hari ini terdapat sekitar 250 jurnal saintifik berindeks scopus mengenai pokok ini. Mungkin ada beberapa ratus lagi yang tidak berindeks. Saya hanya merujuk penerbitan jurnal berindeks dan berwasit sahaja. Saya pernah terang sebabnya di sini.


Kajian yang dijalankan setakat ini hanyalah mengenai kandungan fitokimia (sebatian kimia hasilan semulajadi dari tumbuhan), kajian sel kultur (in vitro) dan kajian model haiwan (in vivo). Tiada kajian klinikal yang dilaporkan setakat ini.


Kajian sel kultur dan model haiwan juga masih pada peringkat awal. Masih banyak kajian sel kultur diperlukan sebelum ia boleh dikaji pada manusia.


Ini bermaksud apa sahaja khasiat yang disebut tersebut hanyalah berdasarkan pengalaman dan testimoni. Ia bukanlah bukti kukuh yang menunjukkan bunga ratu pari lebih baik dari ubat preskripsi sedia ada. Untuk membuktikan bunga ratu pari berkesan dan selamat untuk penyakit di atas, ia mesti dibuktikan melalui kajian klinikal secara rawak terkawal ke atas manusia.


Tambahan pula, jika dilihat pada rekod kegunaan tradisional ini, bukan bunga sahaja yang digunakan. Malah ada penyakit yang disenaraikan di atas dirawat menggunakan bahagian pokok yang lain.


Bolehkah bunga ini diambil bersama ubat anda? Memandangkan tiada maklumat kesan interaksi ubat-herba bunga ini dengan ubat preskripsi, sebaiknya berbincang dengan doktor sebelum mengambilnya.


Masihkan tuan puan ingat kisah pesakit di Singapura yang mengalami kecederaan hati akibat pengambilan buah tunjuk langit (Swietania mahagoni)? Pesakit yang terlibat mempunyai masalah kesihatan seperti kencing manis dan darah tinggi, dan mereka membeli buah tunjuk langit ini dari Malaysia untuk merawat darah tinggi dan kencing manis. Laporan kes telah diterbitkan dalam jurnal perubatan.


Jadi, jangan ambil risiko, bincanglah dengan doktor anda.


Semoga bermanfaat.


Rujukan


Chaudhary, P. H. & Tawar, M. G. (2019) Pharmacognostic and Phytopharmacological Overview on Bombax ceiba, Sys Rev Pharm. 2019;10(1):20-25


HSA Updates on Reports of Liver Injury After Consumption of Mahogany Seeds (Sky Fruit) (2018). Assessed from https://www.hsa.gov.sg/content/hsa/en/News_Events/Press_Releases/2018/mahoganyseedsskyfruit.html on Aug, 28, 2019.


Yeap V, Tan TJY, Loh T, et al (2018) Liver failure associated with mahogany seed extract consumption, Case Reports, 225-382





1,788 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
logo.jpg

Blog ini membawakan artikel ilmiah tentang tumbuhan dan sebatian kimia semulajadi dalam bahasa yang mudah difahami.

bottom of page