SIRI 74: LINGZHI, CENDAWAN ABADI.
Lingzhi adalah sejenis cendawan dari keluarga Ganidermataceae. Nama saintifik lingzhi adalah Ganoderma lucidum. Di Jepun ia juga dikenali dengan nama reishi atau mannentake.
Lingzhi suatu ketika dahulu merupakan makanan diraja, dan telah digunakan secara tradisi melebihi 2000 tahun untuk kesihatan dan memanjangkan hayat. Terdapat pelbagai amalan tradisi menggunakan lingzhi untuk merawat penyakit.

Terdapat beratus, kalaupun tidak beribu kajian saintifik terhadap potensi perubatan lingzhi di dalam kajian piring petri dan model haiwan. Terdapat beberapa kajian klinikal berskala kecil, namun kajian ini tidak menghasilkan dapatan kajian sama seperti pemerhatian dalam kajian piring petri dan model haiwan. Malah, belum ada kajian klinikal ke atas manusia yang membuktikan pengalaman anekdotal dan penggunaan tradisionalnya.
Walau terdapat beratus ribu sekalipun kajian dalam piring petri dan model haiwan, jika tidak dibuktikan melalui kajian klinikal ke atas manusia.
Lingzhi tidak ubah seperti makanan berkhasiat. Selain kaya dengan polisakarida, protein, asid amino dan mineral, ia juga mengandungi sebatian kimia semulajadi terutamanya sebatian kimia dari kumpulan triterpene yang dikaji potensi perubatannya seperti antikanser. Namun, adakah kandungan dalam satu hidangan itu mampu memberi kesan terapeutik seperti yang didakwa? Sesuatu yang memerlukan kajian klinikal ke atas manusia untuk membuktikannya.

Ganoderol B, sebatian kimia semulajadi dalam lingzhi yang menunjukkan potensi antikanser dalam kajian piring petri dan model haiwan.
Maka dakwaan ia merawat penyakit buah pinggang kronik , kanser, diabetes, asma, darah tinggi dan lain-lain masih belum terbukti ke atas manusia, walaupun terdapat beratus kajian ke atas piring petri dan model haiwan.
Hari ini lingzhi bukan lagi makanan golongan bangsawan sahaja. Ia boleh ditanam secara komersil. Tetapi lingzhi liar amat sukar ditemui. Dengarlah nasihat doktor anda.
Rujukan
Guo-Sheng Wu, Jia-Jie Guo, Jiao-Lin Bao, Xi-Wen Li, Xiu-Ping Chen, Jin-Jian Lu & Yi-Tao Wang (2013) Anti-cancer properties of triterpenoids isolated from Ganoderma lucidum – a review,Expert Opinion on Investigational Drugs, 22:8, 981-992
Wachtel-Galor S, Yuen J, Buswell JA, et al. Ganoderma lucidum (Lingzhi or Reishi): A Medicinal Mushroom. In: Benzie IFF, Wachtel-Galor S, editors. Herbal Medicine: Biomolecular and Clinical Aspects. 2nd edition. Boca Raton (FL): CRC Press/Taylor & Francis; 2011. Chapter 9.