top of page
  • Writer's pictureDr Che Puteh Osman

SIRI 76: BENARKAH HERBA BEBAS DARI KESAN SAMPINGAN?


Ramai orang ingat herba ini 100% selamat dengan menganggap ia bebas bahan kimia.


Tanggapan ini adalah salah.


Tumbuhan menghasilkan bahan kimia melalui dua metabolisme.


Metabolisme primer untuk menghasilkan bahan kimia asas yang akan digunakan sebagai bahan bina dalam metabolisme sekunder. Sebahagian hasil dari metabolisme primer ini adalah nutrisi yang kita perlukan dalam makanan contohnya karbohidrat, protein, dan lipid.


Bahan kimia asas akan digunakan dalam metabolisme sekunder menghasilkan sebatian kimia semulajadi atau dikenali sebagai natural products. Jika dalam tumbuhan ia dipanggil fitokimia.



Tidak dinafikan fitokimia ini dikaji fungsinya merawat penyakit. Malah ubat hari ini pun lebih 55% adalah kimia hasilan semulajadi atau sebatian kimia terbitannya. Ubat ini telah melalui kajian klinikal terperinci untuk menjamin keselamatannya dan keberkesanannya.


Fitokimia ini ada dalam jumlah yang kecil saja dalam tumbuhan. Sekalipun fitokimia ini berpotensi merawat penyakit, namun kandungannya dalam tumbuhan adalah kecil untuk memberikan kesan terapeutik.


Namun begitu,di dalam tumbuhan tertentu, kandungan fitokimia ini cukup untuk menyebabkan keracunan.


Contohnya atropine dalam Atropa belladonna (beri belladonna) dan scopolamine dari Datura sp (kecubung)


Pyrolizidine alkaloid dalam sesetengah tumbuhan terutama Scenacio sp boleh menyebabkan kanser dan kerosakan hati dalam jangka panjang.


Kehadiran fitokimia ini boleh memberi kesan positif pada kesihatan. Ia juga boleh memberikan kesan negatif. Antara kesan sampingan herba yang popular adalah, 1. kecederaan hati atau herb-induced liver injury (HILI) dan, 2. Kesan interaksi ubat dan herba atau drug-herb interaction.

Jika anda google istilah HILI dan drug-herb interaction, anda akan dapati terdapat banyak laporan kes perubatan dan jurnal saintifik yang melaporkan kes-kes sebegini.


Contoh kecederaan hati yang pernah dilaporkan di Singapura. Pesakit mempunyai masalah kesihatan lain mengambil buah tunjuk langit bagi merawat penyakit dan mengakibatkan kecederaan hati. Anda boleh membaca kisah ini di sini. Kes ini juga telah diterbitkan dalam jurnal perubatan.


Kebiasaannya herba sebegini dipromosi kepada pesakit kronik. Kononnya berkesan, selamat, dan lebih baik dari ubat preskripsi. Pesakit ini berisiko mengalami kerosakan hati disebabkan pengambilan herba. Ada beberapa jenis herba yang kerap dilaporkan menyebabkan kecederaan hati.


Contohnya Andrographis paniculata adalah hempedu bumi. Panax ginseng adalah ginseng. Rheum officinale adalah kelembak atau rhubarb cina. 


Herba yang kerap dilaporkan menyebabkan kecederaan hati (HILI). Imej tangkap layar dari Byeon, J.-H., Kil, J.-H., Ahn, Y.-C., & Son, C.-G. (2019). Systematic review of published data on herb induced liver injury. Journal of Ethnopharmacology, 233, 190-196.

Ini antara kisah kes kecederaan hati. Ada lagi kisah yang lain iaitu kesan interaksi ubat. Kesan interaksi ubat dan herba menyebabkan ubatan yang anda ambil menjadi tidak berkesan atau menyebabkan kesan ubat anda menjadi berlebihan. Kes yang pertama menyebabkan ubat gagal merawat penyakit anda. Kes yang kedua menyebabkan kesan sampingan yang teruk.


Sudahlah herba itu sendiri tidak berkesan merawat penyakit, tetapi kehadirannya dalam badan menyebabkan ubat anda tidak berfungsi seperti sepatutnya.

Ada banyak mekanisme bagaimana ini boleh terjadi. Antaranya dengan mengganggu enzim CYP3A4 dan protein pembawa ubat.


Selain herba, ada makanan yang menyebabkan kesan interaksi ubat antaranya jus limau gedang, jus epal dan jus mengkudu. Ini disebabkan kehadiran flavonoids jenis naringenin dan apigenin dalam jus limau gedang.


Tahukah anda banyak herba kita mengandungi flavonoids ini? Antaranya mas cotek yang mengandungi apigenin glycosides. Ada sesetengah sikit. Ada yang lebih sikit. Tetapi komposisi flavonoid ini tidaklah sebanyak dalam jus limau gedang.


Tetapi disebabkan masih belum ada penerbitan saintifik mengenai hal ini, jika anda mengambil ubatan, dan mengidap penyakit kronik, sebaiknya jauhilah herba apabila anda makan ubat.


Kebanyakan herba dan makanan terkenal sudah dikenalpasti punca kesan interaksi ubat. Antaranya gingseng, Gingko biloba, jus mengkudu, ekstrak bawang putih, teh hijau, St John’n wort, Evening Primrose oil, dan lain-lain.


Antara herba yang dilaporkan menyebabkan kesan interak ubat dan herba

Sepanjang saya menulis, secara teori ada beberapa herba yang berisiko menyebabkan kesan interaksi dengan ubatan yang anda ambil.


Antaranya ekstrak peria katak, ekstrak halba, ekstrak mengkudu (Morinda citrofolia), dan kacip Fatimah.


Sebab itu sentiasa berbincang dengan doktor dan ahli farmasi anda sebelum bercadang mengambil herba. Jika doktor anda kata boleh, maka anda bolehlah makan bersama ubat. Tapi jika ada tanda kesan sampingan atau penyakit anda tidak terkawal, maka kembalilah berjumpa doktor untuk berbincang.


Sebab itu herba pun perlu melalui kajian terperinci dalam aspek bahan kimianya, potensi perubatannya dan yang lebih penting adalah keselamatannya.


Ingatlah, natural tidak semestinya selamat.



Rujukan:

Afzan, A., Kasim, N., Ismail, N. H., Azmi, N., Ali, A. M., Mat, N., & Wolfender, J.-L. (2019). Differentiation of Ficus deltoidea varieties and chemical marker determination by UHPLC-TOFMS metabolomics for establishing quality control criteria of this popular Malaysian medicinal herb. Metabolomics, 15(3), 35. doi:10.1007/s11306-019-1489-2


Brezier & Levine (2003). Drug–Herb Interaction Among Commonly Used Conventional Medicines: A Compendium for Health Care Professionals, American Journal of Therapeutics 10, 163–169


Byeon, J.-H., Kil, J.-H., Ahn, Y.-C., & Son, C.-G. (2019). Systematic review of published data on herb induced liver injury. Journal of Ethnopharmacology, 233, 190-196. doi:https://doi.org/10.1016/j.jep.2019.01.006


Deborah A Kennedy & Dugald Seely (2010) Clinically based evidence of drug–herb interactions: a systematic review, Expert Opinion on Drug Safety, 9:1, 79-124


Fugh‐Berman, A. and Ernst, E. (2001), Herb–drug interactions: Review and assessment of report reliability. British Journal of Clinical Pharmacology, 52, 587-595.


Jin Gyu Choi, Sang Min Eom, Jaeyoung Kim, Soon Han Kim, Eugene Huh, Hocheol Kim, Yunwoo Lee, Hyangsook Lee, and Myung Sook Oh (2016). A Comprehensive Review of Recent Studies on Herb-Drug Interaction: A Focus on Pharmacodynamic Interaction, The Journal of Alternative and Complementary Medicine,22, 262-279


Manda, V. K., Dale, O. R., Awortwe, C., Ali, Z., Khan, I. A., Walker, L. A., & Khan, S. I. (2014). Evaluation of drug interaction potential of Labisia pumila (Kacip Fatimah) and its constituents. Frontiers in Pharmacology, 5 JUL. doi:10.3389/fphar.2014.00178



762 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
logo.jpg

Blog ini membawakan artikel ilmiah tentang tumbuhan dan sebatian kimia semulajadi dalam bahasa yang mudah difahami.

bottom of page