SIRI 77: BENARKAH JAMBU BATU MERAWAT INFLUENZA?
Updated: 27 Jan 2020
Jambu batu, atau nama saintifiknya Psidium guajava Linn, adalah buah yang kaya dengan vitamin C dan potassium, dan mengandungi vitamin A, magnesium, vitamin B6, fosforus, kalsium dan zat besi. Dalam 100g buah jambu batu, terdapat sekitar 228 mg vitamin C dan 400 mg potassium. Dalam 100g buah jambu batu terdapat 5.4g fiber. Sepotong sederhana buah jambu batu sudah cukup memberikan keperluan vitamin C anda.

Di sesetengah negara, mereka mengambil minuman teh dari dari daun jambu batu yang dikeringkan. Daunnya sering dibuat teh dan kaya dengan asid fenolik dan polifenol. Di sesetengah negara seperti China dan India, daun teh jambu batu digunakan bagi merawat cirit-birit. Penulis masih ingat ketika kecil dahulu pernah mengambil daun jambu batu muda untuk masalah cirit-birit.
Benarkah jambu batu merawat influenza? Terdapat dua kajian yang dilaporkan berkaitan jambu batu dan influenza di pangkalan jurnal berindeks Scopus.com
Kajian yang dijalankan pada 2012 menunjukkan ekstrak daun jambu batu mbunuh virus influenza H5N1 di dalam kajian saringan tabung uji (in vitro). Selain jambu batu, pokok hempedu bumi (Andrographis paniculata), kunyit hitam (Kaempferia parviflora), dan kunyit (Curcuma longa) juga merencat pertumbuhan virus H5N1 dalam ujian saringan piring petri tersebut.
Kajian 2017 memperincikan mekanisme bagaimana ekstrak teh daun jambu batu dan ekstrak teh hijau merencat pertumbuhan virus H1N1 dalam kajian in vitro atau kajian tabung uji.
Kajian ini mendapati ekstrak teh jambu batu dan ekstrak teh hijau dengan menghalang lekapan virus influenza pada asid sialik (hemagglutinin) yang didapati pada permukaan sel epithelial di hidung, kerongkong, dan paru-paru mamalia.
Selain itu, ekstrak ini juga merencat aktiviti enzim neuraminidase pada virus influenza. Neuraminidase atau dikenali juga sebagai sialidase ditemui pada permukaan virus influenza dan bertanggungjawab terhadap belahan (cleavage) asid sialik pada permukaan glikoprotein pada sel epithelial.
Penyelidik menyimpulkan ekstrak teh ini menghalang aktiviti kemasukan virus influenza dalam sel epithelial dan seterusnya merencat replikasi virus influenza. Teh jambu batu merencat virus influenza yang lebih baik berbanding teh hijau.
Adakah ini bermakna daun jambu batu boleh merawat influenza? Kajian ini masih pada tabung uji. Apabila kita minum, teh ini perlu melalui sistem pencernaan manusia, di mana kestabilan teh ini tidak sama berbanding diuji langsung ke atas virus influenza. Kajian lanjutan masih diperlukan termasuklah kajian kaedah untuk bagaimana ekstrak ini boleh dibawa ke sasaran tanpa termusnah di sistem pencernaan. Kajian lanjutan termasuk klinikal terhadap manusia diperlukan bagi menilai keberkesanan ekstrak teh jambu batu ini.
Satu aspek lagi adalah daun jambu batu tidak sama dengan daun teh jambu batu. Proses penghasilan daun teh jambu batu kemungkinan besar menghasilkan sebatian kimia yang berbeza dengan daun jambu batu.
Boleh ke makan daun jambu batu? Boleh saja. Tetapi awas, jika doktor anda telah menasihatkan anda mengambil rawatan khusus, jangan tinggalkan semata-mata hanya kerana hendak mencuba dahulu daun jambu batu. Keadaan anda boleh menjadi buruk dengan cepat terutamanya dikalangan kanak-kanak.
Rujukan:
Benjaporn Sornpet, Teerapong Potha, Yingmanee Tragoolpua, Kidsadagon Pringproa (2017) Antiviral activity of five Asian medicinal pant crude extracts against highly pathogenic H5N1 avian influenza virus, Asian Pacific Journal of Tropical Medicine,10 (9), 871-876
Nongluk Sriwilaijaroen, Syuichi Fukumoto, Kenji Kumagai, Hiroaki Hiramatsu, Takato Odagiri, Masato Tashiro, Yasuo Suzuki (2012) Antiviral effects of Psidium guajava Linn. (guava) tea on the growth of clinical isolated H1N1 viruses: Its role in viral hemagglutination and neuraminidase inhibition,
Antiviral Research, 94 (2), 139-146