Dr Che Puteh Osman
SIRI 78 : BENARKAH DAUN SEMAMBU MERAWAT JANGKITAN COVID-19?
Updated: 20 Jan 2021
Pokok semambu atau dikenali sebagai neem dalam bahasa Inggeris, telah terbukti secara saintifik membunuh dan menghalau serangga perosak. Pokok semambu dikenali secara saintifik sebagai Azadirachta indica A Juss dari keluarga Maliaceae.


Biji dan daun semambu, mempunyai satu jenis sebatian kimia hasilan semulajadi azadirachtin dan isomernya, sejenis limonoid yang terbukti berkesan membunuh dan menghalau serangga perosak.
Azadirachtin banyak didapati di dalam biji buahnya, namun ia juga boleh didapati daripada bahagian lain. Kandungan azadirachtin di dalam biji buahnya adalah antara 0.08% sehingga 1.6%.
Benarkah air rebusan semambu mampu merawat jangkitan virus korona yang novel (SARS-CoV-2) yang menyebabkan penyakit COVID-19.
Walaupun terdapat kajian saintifik ke atas tikus menunjukkan minyak biji semambu yang kaya dengan azadirachtin meningkatkan tindakbalas sistem imun terhadap bakteria penyebab penyakit kancing gigi, tetapi respon ini tidak spesifik kepada antigen bakteria ini.
Kajian ini masih pada haiwan dan memerlukan kajian terhadap manusia untuk membuktikan ia berkesan merawat atau mencegah jangkitan COVID 19 pada manusia.
Walaupun terdapat pelbagai kajian potensi terapeutik daun semambu sebagai agen antibakteria dan antivirus, namun sehingga artikel ini ditulis, belum ada kajian secara klinikal mahupun secara tabung uji menunjukkan ekstrak semambu merencat pertumbuhan coronavirus jenis yang lain seperti SARS-CoV dan MERS-CoV apatah lagi virus SARS-CoV-2.
Setakat ini lebih 80% jangkitan COVID-19 adalah ringan. Mereka tidak menggunakan air rebusan semambu dan mereka mampu pulih. Namun, ada 20% lagi berisiko mendapat komplikasi serius dari jangkitan COVID dan boleh menyebabkan kematian.
Oleh itu, marilah kita menjadi warganegara yang bertangungjawab dengan memutuskan rantaian jangkitan dengan memakai topeng muka, menjaga kebersihan dan mengamalkan penjarakan sosial.
Malah terdapat beberapa laporan kes keracunan disebabkan pengambilan daun semambu terutama di kalangan kanak-kanak. Walaupun tidak kerap didengar, kita tidak mengetahui status kesihatan orang lain. Maka dengarlah nasihat doktor anda.
Menggantung daun semambu di leher atau di pintu rumah juga tidak menghalau virus dan bakteria. Untuk membolehkan ia berfungsi, daun semambu mesti mengeluarkan bahan kimia aktif meruap. Namun, seperti ramai yang maklum, daun semambu tidaklah kuat baunya, menandakan tiada atau sangat sedikit sebatian kimia mudah meruap dihasilkan.
Kebanyakan kajian tabung uji menggunakan ekstrak yang dipekatkan. Ia mengandungi kandungan bahan aktif yang berbeza dengan daun segar mahupun air rebusan. Saya pernah menulis lanjut di sini
Jangan pula lepas ini ingkar arahan pihak berkuasa untuk kuarantin dan duduk di rumah sebab anda minum air rebusan semambu. Ini adalah sikap mementingkan diri dan tidak bertanggungjawab.
Dr Che Puteh Osman PhD (Natural Product Chemistry)
Rujukan
Adenubi, Olubukola & Ahmed, Aroke & Fasina, Folorunso Oludayo & Mcgaw, Lyndy & Eloff, Jacobus & Naidoo, Vinny. (2018). Pesticidal plants as a possible alternative to synthetic acaricides in tick control: A systematic review and meta-analysis. Industrial Crops and Products, 123, 779-806. 10.1016/j.indcrop.2018.06.075.
Bhaskar, M. V., Pramod, S. J., Jeevika, M. U., Chandan, P. K., & Shetteppa, G. (2010). MR Imaging Findings of Neem Oil Poisoning. American Journal of Neuroradiology, 31(7), E60. doi:10.3174/ajnr.A2146
Brett, J., Beresford, R., Sevastos, J., & Day, R.O. (2011). Neem Extract Poisoning as a Cause of Renal Tubular Acidosis.
Kumar, S., & Kumar, N. (2014). Neem Oil Poisoning as a Cause of Toxic Encephalopathy in an Infant. The Indian Journal of Pediatrics, 81(9), 955-955. doi:10.1007/s12098-013-1327-x
Pai, MR, Acharya, LD, & Udupa, N.Evaluation of antiplaque activity of Azadirachta indica leaf extract gel—a 6-week clinical study. Journal of Ethnopharmacology,2004; 90: 99-103. doi:https://doi.org/10.1016/j.jep.2003.09.035
Shakti N. Upadhyay, Suman Dhawan, Sanjay Garg, G.P. Talwar, (2012) Immunomodulatory effects of neem (Azadirachta indica) oil, International Journal of Immunopharmacology, 14 (7), 1187-1193.