top of page

SIRI 79: BENARKAH MENGGANTUNG DAUN SEMAMBU MENGHALAU BAKTERIA DAN VIRUS?

Jawapan ringkasnya adalah tidak, kerana kajian menunjukkan hanya EKSTRAK MINYAK SEMAMBU dan EKSTRAK DAUN SEMAMBU yang berpotensi sebagai agen antibakteria dan agen antiviral, bukannya daun itu sendiri. Walaupun daun semambu dikaji secara meluas sebagai agen antibakteria dan antiviral, TIADA KAJIAN dilakukan terhadap beberapa jenis coronavirus termasuklah novel coronavirus 2019, SARS-CoV-2 yang menyebabkan jangkitan COVID-19.



Di dalam pelbagai kajian makmal, ekstrak daun semambu (Azadirachta indica) ini berpotensi membunuh sesetengah jenis virus dan bakteria. Ekstrak ini pula dihasilkan dengan pelbagai kaedah sama ada menggunakan pelarut organik seperti metanol, etanol dan diklorometana atau diekstrak menggunakan suhu dan tekanan yang tinggi seperti pengekstrakan menggunakan stim dan air panas, atau teknik moden seperti 'supercritical fluid extraction' dan 'microwave extraction'.


Apa fungsi kaedah pengekstrakan sebegini? Kaedah pengekstrakan menentukan apakah jenis sebatian kimia yang akan keluar. Dalam satu-satu tumbuhan ada beratus jenis bahan kimia. Bahan kimia ini dihasilkan melalui proses biokimia tumbuhan untuk tumbesaran dan penyesuaian terhadap stress di persekitaran.


Kenapa penting kaedah pengekstrakan ini? Kaedah pengekstrakan akan mengekstrak bahan aktif yang dikehendaki. Contohnya jika anda ingin mengekstrak bahan mudah meruap seperti essential oil, anda akan menggunakan kaedah pengekstrak stim seperti 'steam extraction' atau menggunakan air sangat panas seperti 'hydrodistillation'.

Jika anda inginkan azadirachtin, bahan aktif dalam semambu, anda memerlukan pengekstrakan menggunakan pelarut organik dan kaedah kromatografi yang panjang.


Adakah asas saintifik daun semambu menghalau virus dan bakteria? Untuk sesetengah bahan kimia itu 'keluar' dari daun semambu, ia mestilah boleh meruap. Tidak dinafikan sesetengah bahan kimia semulajadi dari tumbuhan iaitu 'volatile organic compound' boleh 'meruap'.

Ramai mengenalnya dengan nama essential oil. Cara mudah untuk mengetahui sebatian kimia apakah yang meruap adalah anda boleh hidu dan bau kehadiran sebatian kimia ini dari jauh.


Contohnya bunga dan pokok tertentu seperti lavender, pokok bunga ros, buah kuinin, kayu manis, nilam dan lain-lain. Bau yang anda hidu itu adalah sebatian kimia mudah meruap. Contohnya lavender. Bau wangi itu disebabkan beberapa sebatian kimia utama seperti linalool dan linalyl acetate.


Tumbuhan menghasilkan sebatian kimia mudah meruap ini bertujuan untuk menarik perhatian haiwan pollinator atau pendebunga untuk menggalakkan proses pendebungaan.


Jika daun semambu tidak berbau, maka ia tidak mempunyai sebatian kimia mudah meruap yang signifikan.


Jika anda mengekstrak sebatian kimia ini menggunakan pengekstrakan stim, anda menulenkan dan memekatkan essential oil ini kemudian barulah di uji pada piring petri. Sebab itu, bau yang anda hidu pada lavender atau kuinin itu tidak akan membunuh bakteria mahupun virus.


Untuk menganalisa essential oil atau sebatian kimia mudah meruap, teknik yang selalu digunakan adalah gas chromatography-mass spectrometry (GCMS) atau gas chromatography yang menggunakan detector dari jenis lain.

Seperti anda lihat dalam rancangan CSI, bila larutan dianalisis di instrumen GCMS, terus keluar senarai bahan kimia. Walaupun GCMS mempunyai database senarai sebatian kimia, maklumatnya tidak dianggap absolute atau tepat seperti yang digambarkan dalam rancangn CSI.


Hakikatnya, untuk mengesahkan kehadiran sebatian kimia ini anda memerlukan sebatian kimia standard untuk membandingkan adakah benar essential oil anda mengandungi sebatian kimia tersebut.


Proses ini lebih kompleks dan lebih panjang. Sebab itu, jurnal yang sekadar melaporkan dapatan GCMS tanpa rujukan standard biasanya kualiti dan jenis penerbitan lebih rendah.


Selain itu, GCMS moden pada hari ini juga menggunakan mass analyzer dan ion filter yang lebih canggih dan menggunakan analisa tandem mass spectrometry. Kendatipun begitu, ada sesetengah sebatian kimia dalam essential oil memerlukan penulenan tunggal dan struktur kimianya perlu disahkan oleh teknik spektroskopi moden.


Saya sendiri pernah menerbitkan dapatan kajian menggunakan GCMS tanpa standard, di dalam jurnal berwasit tetapi berimpak rendah untuk menerbitkan dapatan kajian projek mudah bersama pelajar projek tahun akhir ijazah sarjana muda jika kualiti analisis mereka bagus.


Dengan berdasarkan Indeks Kovats dan hanya untuk sebatian kimia yang biasa, bukan baru apatah lagi unik. Ia lebih bertujuan melatih pelajar menulis, dan pemakluman dan bukan bukti perubatan.


Tetapi untuk masuk di jurnal berimpak tinggi, pelajar itu perlu memasuki program ijazah Masters atau PhD dalam pengkhususan kimia hasilan semulajadi atau kimia analisis. Kajian sebegini juga bergantung rekacipta kajian. Dan tidak semestinya kajian PhD sudah cukup untuk membuktikan ia merawat sesuatu penyakit.


Namun anda mesti ingat, kebanyakan dapatan kajian mengenai daun semambu menunjukkan bahan aktif semambu adalah azadirachtin.

Azadirachtin bukanlah sejenis sebatian kimia mudah meruap. Ia memerlukan proses penulenan yang kompleks, dan hanya boleh dikenalpasti menggunakan teknik spektroskopi yang kompleks seperti Nuclear Magnetic Resonance dan Tandem Mass Spectrometry.


Saya pernah menulis tentang azadirachtin di sini dan di sini. Azadirachtin banyak didapati di dalam biji buahnya, namun ia juga boleh didapati daripada bahagian lain. Kandungan azadirachtin di dalam biji adalah antara 0.08% sehingga 1.6%.


Daun semambu merupakan salah satu herba yang digunakan dalam perubatan tradisional Ayurveda, antaranya untuk meningkatkan sistem imun, merawat masalah kulit dan menghalau serangga perosak.


Sejak penemuan azadirachtin dari biji semambu, pelbagai kajian dilakukan bagi menyiasat potensi terapeutik azadirachtin. Namun, kajian-kajian ini kebanyakannya masih pada peringkat pra-klinikal, dan kajian lanjutan masih diperlukan untuk membuktikan ia berkesan dan selamat merawat penyakit.



Baru-baru ini terdapat dakwaan mengatakan air rebusan semambu mampu merawat jangkitan virus korona yang novel (SARS-CoV-2) yang menyebabkan penyakit COVID-19. Walaupun terdapat kajian saintifik ke atas tikus menunjukkan minyak biji semambu yang kaya dengan azadirachtin meningkatkan respon sistem imun terhadap bakteria penyebab penyakit kancing gigi, tetapi respon ini tidak spesifik kepada antigen bakteria ini.


Walaupun terdapat pelbagai kajian potensi terapeutik daun semambu sebagai agen antibakteria dan antivirus, namun sehingga artikel ini ditulis, belum ada kajian secara klinikal mahupun secara tabung uji menunjukkan ekstrak semambu merencat pertumbuhan coronavirus jenis yang lain seperti SARS-CoV dan MERS-CoV apatah lagi virus SARS-CoV-2. Oleh itu, sehingga kini ekstrak daun semambu TIDAK MAMPU merawat COVID-19.


Dari manakah asal usul menggantung daun neem menghalau penyakit ini? Saya merujuk kepada rakan di sebelah bilik saya yang beragama Hindu. Ia sebenarnya berasal dari kepercayaan kaum India beragama Hindu yang menganggap daun neem adalah keramat.


Mereka menganggap Dewi Durga 'live on neem' dan menyembahkan daun semambu dengan menggantung kalungan daun semambu, buah limau, buah lemon pada gambar atau patung Dewi Durga. Daun semambu kebiasaannya digunakan dalam upacara keagamaan.


Selain memandikan pesakit campak 'chicken pox' dengan air semambu, mereka juga menggantung daun semambu di depan pintu menunjukkan ada orang sakit demam campak 'chicken pox' di dalam rumah tersebut. Ini kerana kepercayaan Hindu, Dewi memasuki badan pesakit selama 7 hari dan menyebabkan jangkitan dan mengeluarkan lepuh. Jadi, daun semambu dipersembahkan supaya Dewi tidak marah dan menyebabkan jangkitan serius. Jika Dewi senang hati, Dewi akan keluar dari tubuh pesakit dan sembuh.

Walaupun penggunaan daun semambu dalam perubatan tradisional dikaitkan dengan agama Hindu, orang Islam hari ini tidak lagi mengaitkan penggunaan daun semambu dengan agama. Ia adalah uruf setempat dan berdasarkan pemerhatian orang dulu-dulu.


Bolehkah digunakan daun semambu untuk tujuan perubatan? Jika hanya anda menyandarkan kegunaan berdasarkan bukti saintifik, seperti menggunakan minyak biji buah semambu untuk merawat masalah kulit, menghalau serangga.


Terdapat beberapa kajian klinikal menunjukkan ekstrak semambu dalam rawatan jangkitan di dalam mulut. Namun, anda mesti berhati-hati dengan sebarang penggunaan ekstrak semambu dalam bentuk oral atau makan, kerana terdapat kajian melaporkan ia menyebabkan ketoksikan.


Jika anda tanya saya, adakah terdapat asas penggunaan daun semambu ketika demam campak 'chicken pox'? Walaupun daun semambu bersifat antibakteria, memandikan dan meletakkan daun semambu sebagai tempat pembaringan tidak mengeluarkan bahan aktif yang diperlukan untuk membunuh virus dan bakteria. Mungkin juga menghalau serangga seperti semut dan dari menggigit pesakit? Mungkin ada asasnya dan memerlukan kajian lanjutan.


Nota kaki: Saya ingin meminta maaf jika ada kesalahan fakta mengenai agama Hindu. Mohon pembaca beragama Hindu membetulkan jika saya ada tersalah fakta dan menerangkan kegunaan agama dan budaya daun semambu.


Rujukan:


Adenubi, Olubukola & Ahmed, Aroke & Fasina, Folorunso Oludayo & Mcgaw, Lyndy & Eloff, Jacobus & Naidoo, Vinny. (2018). Pesticidal plants as a possible alternative to synthetic acaricides in tick control: A systematic review and meta-analysis. Industrial Crops and Products, 123, 779-806. 10.1016/j.indcrop.2018.06.075.


Brett, J., Beresford, R., Sevastos, J., & Day, R.O. (2011). Neem Extract Poisoning as a Cause of Renal Tubular Acidosis.


Chicken pox. Assessed from http://theancientindia.blogspot.com/2013/12/chickenpox.html on Apr, 11, 2020. Dhingra, K, & Vandana, K.Effectiveness of Azadirachta indica (neem) mouthrinse in plaque and gingivitis control: a systematic review. International Journal of Dental Hygiene,2017; 15: 4-15. doi:10.1111/idh.12191

Gahukar, RT.Factors affecting content and bioefficacy of neem (Azadirachta indica A. Juss.) phytochemicals used in agricultural pest control: A review. Crop Protection,2014; 62: 93-99. doi:https://doi.org/10.1016/j.cropro.2014.04.014 Fernandes, SR, Barreiros, L, Oliveira, RF, Cruz, A, Prudêncio, C, Oliveira, AI, . . . Morgado, J.Chemistry, bioactivities, extraction and analysis of azadirachtin: State-of-the-art. Fitoterapia,2019; 134: 141-150. doi:https://doi.org/10.1016/j.fitote.2019.02.006


Granziera, P. (2010). The Indo-Mediterranean Caduceus and the Worship of the Tree, the Serpent, and the Mother Goddess in the South of India. Comparative Studies of South Asia, Africa and the Middle East, 30(3), 610–620.


Kumar, S., & Kumar, N. (2014). Neem Oil Poisoning as a Cause of Toxic Encephalopathy in an Infant. The Indian Journal of Pediatrics, 81(9), 955-955. doi:10.1007/s12098-013-1327-x


Lakshmi, T., Krishnan, V., Rajendran, R., & Madhusudhanan, N. (2015). Azadirachta indica: A herbal panacea in dentistry - An update. Pharmacognosy reviews, 9(17), 41–44. doi:10.4103/0973-7847.156337

Pai, MR, Acharya, LD, & Udupa, N.Evaluation of antiplaque activity of Azadirachta indica leaf extract gel—a 6-week clinical study. Journal of Ethnopharmacology,2004; 90: 99-103. doi:https://doi.org/10.1016/j.jep.2003.09.035


Shakti N. Upadhyay, Suman Dhawan, Sanjay Garg, G.P. Talwar, (2012) Immunomodulatory effects of neem (Azadirachta indica) oil, International Journal of Immunopharmacology, 14 (7), 1187-1193.


Why do we offer neem and lemon garlands to goddess Durga? Asssesed from https://www.quora.com/Why-do-we-offer-neem-and-lemon-garlands-to-goddess-Durga on Apr 11, 2020.

658 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
logo.jpg

Blog ini membawakan artikel ilmiah tentang tumbuhan dan sebatian kimia semulajadi dalam bahasa yang mudah difahami.

bottom of page