top of page

SIRI 8: PETUA DAN PANTANG LARANG ORANG DULU-DULU: KENA BUAT KE TAK KENA BUAT?

Updated: 20 Mei 2019


Terima kasih kawan-kawan Facebook yang kongsikan pelbagai petua dan pantang-larang orang dulu-dulu. Lepas baca satu-satu komen, saya boleh kelaskan petua ini ikut 4 kategori: akidah, sosial, keselamatan dan kesihatan



1. Perkara membabitkan akidah dan fiqh


Sebagai seorang Islam yang beriman kita sepatutnya tidak boleh buat dan percaya lagi dengan petua dan pantang-larang ini bawah kategori ini. Kita dilarang taqlid secara membuta tuli. Boleh jatuh syirik dan khurafat. Lupakah kita dengan peringatan dari Allah.


“Dan jika dikatakan kepada mereka, marilah kalian kepada apa yang Allah turunkan kepada Rasul, nescaya mereka berkata, cukuplah bagi kami apa yang kami dapati bapak-bapak kami berada padanya. Apakah (mereka tetap bersikap demikian) meskipun bapak-bapak mereka tidak mengetahui sesuatu apapun dan tidak mendapat petunjuk?” (QS. Al-Maidah: 104).


“Dan apabila dikatakan kepada mereka, “Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah,” mereka menjawab, “(Tidak!) kami mengikuti apa yang kami dapati pada NENEK-MOYANG kami (melakukannya),” padahal nenek-moyang mereka itu tidak mengetahui apa pun dan TIDAK mendapat petunjuk.” (Q.S: al-Baqarah: 170).


Antara petua yang jatuh dalam kategori ini memakaikan bayi dengan sesuatu tangkai atau meletakkan alat tajam untuk keselamatan bayi. Dan mengaitkan cara menanam uri dengan nasib masa depan bayi. Sedangkan Allah telah menetapkan 4 perkara berkaitan umur, rezeki, jodoh dan mati telah ditetapkan sejak dalam kandungan. Antara lain mengaitkan jaundis bayi dengan warna pakaian. Tuan puan bolehlah tanya ustaz ustazah dan fikir semula pantang larang yang jatuh kategori ini. Ini bab akidah tidak boleh buat main.


“Sesungguhnya setiap kalian dikumpulkan penciptaannya di perut ibunya sebagai setitis mani selama empat puluh hari, kemudian berubah menjadi setitis darah selama empat puluh hari, kemudian menjadi segumpal daging selama empat puluh hari. Kemudian diutus kepadanya seorang malaikat lalu ditiupkan padanya ruh dan dia diperintahkan untuk menetapkan empat perkara : menetapkan rezekinya, ajalnya, amalnya dan kecelakaan atau kebahagiaannya.” [HR. Bukhori dan Muslim].


Imej dari Pixabay

2. Petua berbentuk teguran sosial


Petua ini lebih kepada hendak mendidik adab dan membentuk sikap. Contohnya jangan meniarap kaki angkat atas nanti emak meninggal. Jangan makan berubah tempat, nanti kahwin banyak. Jangan keluar selepas matahari terbenam. Jangan duduk atas bantal nanti bisul. Jangan mengendap nanti mata ketumbit. Jangan menyanyi di dapur nanti dapat suami tua. Dan seterusnya. Kalau petua ini saya dengar je, tetapi ingatkan orang tua Jangan doakan yang buruk contohnya sambung akibat yang buruk.


Banyak lagi budaya yang patut kita kekalkan tetapi semakin luput di telan zaman. Contohnya memaki orang lebih tua dan lebih berilmu dalam Facebook.


3. Petua berbentuk keselamatan.


Jangan kerat kuku malam nanti,..... (sila sambung). Zaman dulu kerat kuku tidak pakai pengetip kuku macam sekarang dan pakai minyak tanah. Nanti terkerat kulit terpotong jari pula. Jangan mandi malam nanti paru-paru berair. Dulu mandi di telaga. Tiada lampu. Telaga pulak dalamnya sampai 10 kaki. Mau jatuh telaga, tidak ke naya. Hakikatnya, air tidak masuk paru-paru atau telap masuk kulit.


Macam itu juga petua orang dalam pantang tak boleh mandi, tak boleh basahkan rambut. Hangpa tau air telaga tu sejuk ya amat. Nak turun naik tangga rumah hendak ke telaga. Belum lagi orang dulu beranak di rumah. Kalau tumpah darah, darah kurang atau ada koyakan perineum, mana depa jahit, atau terima transfusi darah, melainkan yang beranak hospital. Jadi, mereka hendak elakkan pengsan. Sama juga petua jalan kena kepit. Hari ini koyakan perineum dijahit. Asal selesa jalanlah lagumana pun. Dapur pun bukan nak kena angkut kayu, bukan hendak pakai arang lagi. Basuh baju tekan suis saja. Tambah ada pula pengering baju. Kalau tidak berjalan langsung nanti kena risiko thromboembolism pula. Bahaya.


4. Petua tentang kesihatan.


Petua ini banyak yang karutnya. Kita tidak boleh salahkan orang dulu sebab pengetahuan biologi mereka setakat yang mereka nampak. Orang muda hari ini patutnya belajar bukan ikut membabi buta.


Contohnya mengaitkan sifat makanan yang kembang dalam air akan menyebabkan rahim kembang. Kalau kita belajar asas sains kita akan tahu makanan tidak melencong pun singgah rahim atau pangkal rahim.


Contoh lain mengaitkan makanan yang sifatnya licin dan berlendir akan melicinkan pangkal rahim dan memudahkan kelahiran. Sekali lagi, makanan akan berubah sifat hancur dan dicerna di perut. Tiada lagi rupa dan bentuk asal.


Contoh lain mengakibatkan makan sesuatu dengan simptom tertentu. Makan telur bernanah luka. Makan makanan tertentu bentan, rengat dan sakit atau demam. Demam atau tumpah darah (bentan?) bukan sebab tidak pantang. Bahaya. Begitu juga demam selepas pembedahan lain. Segera ke hospital. Bahaya tau demam waktu pantang. Sebab itu jururawat masyarakat mai melawat. Dia nak tengok kesihatan ibu dan bayi.


Ada juga petua kesihatan yang bersifat mencegah yang baik untuk kita ikut. Contohnya makan pinggan kecil, makan jangan sampai kenyang. Makan sebelum lapar dan berhenti sebelum kenyang (ini sunnah Nabi). Dan macam-macam lagi.


Pokok pangkalnya kita kena berfikiran kritis dan sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu dari sumber yanh sahih. Jangan taksub dan sekadar ikut-ikutan. Sedangkan bab teknologi lain kita ikut peredaran zaman, kenapa bab pantang-larang kita tidak berubah ikut zaman. Kalau asyik kata, badan nenek moyang kita dulu tidak sama ke dengan kita tidak mahu berpantang. Fisiologi itu sama je, bezanya pengetahuan. Nenek moyang kita dulu mana guna telefon pintar, mesin basuh, dapur gas, lampu elektrik, peti ais, tetapi kita guna. Kenapa kita tidak mengekalkan cara hidup orang dulu, kenapa kita berubah ikut peredaran zaman?


Jawapan mudah sahaja. Teknologi dan ilmu berubah. Jangan terkejut sesetengah amalan kita hari ini akan jadi mengarut pada masa depan. Kita berubah ikut pengetahuan terbaru. Pengetahuan tersebut mesti terbukti dan dibuktikan secara saintifik. Bukan testimoni, bukan pemerhatian tidak saintifik, bukan perasan atau bukan sebab pantang-larang.


Sudah baca sampai sini? Tahniah. Jom share supaya ramai mendapat manfaatnya.

657 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
logo.jpg

Blog ini membawakan artikel ilmiah tentang tumbuhan dan sebatian kimia semulajadi dalam bahasa yang mudah difahami.

bottom of page