top of page
  • Writer's pictureDr Che Puteh Osman

SIRI 80: CHINA MENGGUNAKAN TCM MERAWAT COVID, ADAKAH SAYA BOLEH MEMBELI HERBA DI KEDAI HERBA CHINA?

Sehingga artikel ini ditulis, lebih 3 juta jangkitan dan lebih 200 ribu kematian direkodkan disebabkan jangkitan virus SARS-CoV-2 yang mengakibatkan penyakit COVID-19. Sekitar 80% pesakit tidak menunjukkan gejala serius, manakala sekitar 20% akan mengalami jangkitan serius sehingga memerlukan intubasi.


Ketika artikel ini ditulis, 100 kematian telah dicatatkan di Malaysia dari jumlah keseluruhan jangkitan 5851. Lebih 66% pesakit sembuh dari jangkitan manakala selebihnya masih dirawat.


Berikutan kenyataan doktor di China merawat penyakit COVID-19 menggunakan perubatan tradisional, ada sesetengah netizen berpendapat kita harus membeli ubat tradisional di kedai herba cina. Benarkah sedemikian?



China adalah antara negara yang menjalankan kajian perubatan tradisional secara sistematik. Antara ubatan moden hari ini yang dihasilkan dari kajian herba yang digunakan dalam perubatan tradisional adalah camtothecin dari pokok Camtotheca acuminata, ephedrine dari Ephehra sinica dan arteminisin dari Artemisia annua.


Ini adalah contoh ubatan moden yang dihasilkan dengan kaedah penulenan bahan aktif iaitu sebatian kimia semulajadi dari tumbuhan tersebut. Kaedah ini dipanggil sebagai 'reductionist approach' yang melibatkan penulenan bahan aktif, dan mempunyai target biologi dan metabolisme yang lebih ringkas.


Dunia hari ini mula mempertimbangkan kaedah menghasilkan ubat cara kedua iaitu 'holistic approach'. USFDA telah memperkenalkan satu kategori ubat baru iaitu 'botanical drug' iaitu ubat campuran satu bahan atau lebih, contohnya campuran satu tumbuhan atau lebih. Kandungan bahan aktifnya diketahui dan mesti distandardisasi.


Tumbuhan yang sama, akan menghasilkan bahan kimia yang sedikit berbeza jika mereka diletakkan di dua tempat berbeza, disebabkan faktor stress yang berbeza. Ini kerana tumbuhan menghasilkan sebatian kimia semulajadi antaranya sebagai kaedah penyesuaian dan kemandirian terhadap persekitaran.


Maka, atas sebab itu, proses standardisasi perlu dilakukan bagi memastikan kandungan bahan aktif dalam persediaan tradisional itu konsisten. Proses standardisasi bermula seawal penanaman, memetik hasil tanaman, pengeringan, pemprosesan sehinggalah ia paket menjadi ubat.


Ini kerana apa sahaja kesan terapeutik sesuatu herba itu, ia disebabkan oleh kehadiran bahan aktif di dalam herba tersebut. Maka atas sebab inilah, memetik, merebus atau mengeringkan tumbuahan untuk dimakan tanpa standardisasi bahan kimia aktifnya boleh menyebabkan variasi pada kesan terapeutik persediaan herba tersebut.


Belum lagi mengambil kira aspek tumbuhan menghasilkan beratus sebatian kimia semulajadi. Maka, kajian untuk mengenalpasti sasaran biologi dan metabolisme persediaan herba ini sangat kompleks.


Kendatipun begitu, teknologi 'omics' pada hari ini membolehkan saintis mengenalpasti laluan metabolisme persediaan tradisional yang kompleks ini. Banyak kajian lanjutan melibatkan toksikologi, metabolisme, dan lain-lain pembangunan ubatan berasaskan herba ini dilaporkan oleh para saintis dari China.


Maka tidak hairanlah beberapa ubat tradisional China telah mendapat pengiktirafan USFDA sebagai ubat yang merawat penyakit. Contohnya Tripterygium wilfordii yang didaftarkan untuk merawat penyakit rheumatoid arthritis.


Walaupun begitu, terdapat juga beberapa isu berkaitan dapatan kajian herba yang dikatakan membantu merawat COVID-19 di China. Saintis dari beberapa negara menzahirkan kerisauan penggunaan beberapa persediaan herba yang kekurangan data keselamatan dan keberkesanan.


Maka jelas di sini penggunaan TCM ini bukan sekadar petik, beli dan guna. Saya tidak pasti dengan pengamal di Malaysia, di China mereka melalui proses pengajian yang sistematik 5-6 tahun sebelum mereka menjadi pengamal perubatan tradisional yang bertauliah.


Kebanyakan herba ini digunakan bagi meredakan simptom penyakit tertentu. Apabila tuntutan merawat penyakit kronik dan akut dilakukan, maka kajian terperinci dijalankan termasuk penyakit COVID-19.


Terdapat beberapa rekod kajian klinikal secara rawak terkawal dwi buta (double-blind randomized control trial), sedang atau telah dijalankan di China bagi membandingkan keberkesanan rawatan tradisional dan rawatan standard bagi merawat COVID-19. Saya masih belum menemui dapatan kajian ini diterbitkan.


Di Malaysia pendaftaran perubatan tradisional adalah kategori MAL xxxx xxxx T. Namun pendaftaran kategori ini tidak boleh membuat tuntutan merawat penyakit kronik seperti yang disenaraikan di bawah Akta Ubat (Pengiklanan dan Jualan) 1956. Ini kerana ubat tradisional di bawah kategori ini tidak perlu kepada pembuktian secara klinikal merawat penyakit.


Walaupun begitu, Pengarah Kanan Bahagian Perkhidmatan Farmasi KKM telah mengeluarkan kenyataan pada September 2019 menyatakan bahawa pendaftaran ubat herba dengan tuntutan perubatan akan dibenarkan dan pendaftaran ubat ini mesti disertai dengan kajian pra-klinikal dan klinikal sebelum tuntutan perubatan dibenarkan.


Maka jelas di sini, pendaftaran MAL dan T sedia ada berbeza dengan ubat tradisional dengan tuntutan perubatan yang pada pandangan saya setara dengan kategori 'botanical drug' seperti yang diperkenalkan oleh USFDA pada tahun 2012.


Dari 2012 sehingga September 2019, sebanyak 14 ubat didaftarkan di USFDA di bawah kategori ubat botanik atau 'botanical drug'. Dari jumlah 1881 ubat yang didaftarkan dari tahun 1981-September 2019, hampir 50% adalah berasal dari sumber semulajadi.

Banyak kajian klinikal sdang dijalankan bagi menguji potensi ubat tradisional bagi merawat penyakit, contohnya Artemisia annua, sejenis herba dalam Perubatan Tradinional Cina (TCM) yang digunakan secara tradisi bagi merawat demam.


Artemisin, iaitu ubat malaria yang digunapakai sebagai rawatan standard untuk merawat malaria yang disebabkan jangkitan Plasmodium falciparum yang kebal terhadap ubat chloroquine. Namun begitu, kebanyakan negara di benua Afrika di mana malaria adalah endemik adalah negara miskin. Artemisinin adalah jauh lebih mahal berbanding chloroquine.



Maka saintis telah menjalankan kajian bagi melihat keberkesanan teh dan daun kering Artemisia annua berbanding artemisinin-combination therapy (ACT). Artemisinin asalnya ditulenkan dari Artemisia annua pada tahun 1972, ketika saintis China Tu Youyou menjalankan kajian besar-besaran bagi mencari ubat malaria yang baru. Tu Youyou merupakan satu-satunya saintis bidang kimia hasilan semulajadi yang menerima Hadiah Nobel Fisiologi/Perubatan pada tahun 2015 disebabkan oleh penemuan artemisinin.

Kajian mendapati walaupun kandungan bahan aktif artemisinin dalam daun kering Artemisia annua adalah rendah dan tidak mencapai dos terapeutik, kandungan bahan kimia semulajadi yang lain meningkatkan bioavalability artemisinin.


Kajian klinikal masih berjalan bagi membandingkan keberkesaan teh dan daun kering Artemisia annua berbanding rawatan standard iaitu artemisinin combination therapy (ACT).


Kesimpulannya, perubatan tradisional berpotensi menjadi sumber ubatan moden. Sekitar 50% ubat hari ini bersumberkan sumber semulajadi seperti tumbuhan dan bakteria. Hari ini, ubat berasaskan campuran herba juga makin giat dikaji. Namun ia bukan bermaksud sekadar memetik, mengeringkan dan mempaketkan herba. Ia adalah kajian sains yang bersistematik melibatkan pelbagai disiplin, dan bukannya sekadar petua. Maka, kita harus sentiasa merujuk nasihat daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia berkenaan dengan wabak COVID-19 dan juga rawatan penyakit.


Dr Che Puteh Osman

PhD (Natural Product Chemistry)


Rujukan:


Bernama (2019) Produk herba disokong kajian klinikal bakal dibenar buat tuntutan terapeutik

(14/9/2019)


Newman, D. J., & Cragg, G. M. (2020). Natural Products as Sources of New Drugs over the Nearly Four Decades from 01/1981 to 09/2019. Journal of Natural Products, 83(3), 770-803. doi:10.1021/acs.jnatprod.9b01285


Desrosiers, M. R., Mittelman, A., & Weathers, P. J. (2020). Dried LeafArtemisia AnnuaImproves Bioavailability of Artemisinin via Cytochrome P450 Inhibition and Enhances Artemisinin Efficacy Downstream.Biomolecules,10(2), 254. https://doi.org/10.3390/biom10020254


Elfawal M. A., Towler M. J., Reich N. G., Golenbock D., Weathers P. J., Rich S. M. (2012) Dried Whole Plant Artemisia annua as an Antimalarial Therapy. PLoS ONE 7(12): e52746. https://doi.org/10.1371/journal.pone.0052746


Grivetash, L. (2020, April 5) China is encouraging herbal remedies to treat COVID-19. But scientists warn against it. NBC News . Retrieved from https://www.nbcnews.com/news/world/china-encouraging-herbal-remedies-treat-covid-19-scientists-warn-against-n1173041 (29/4/2020)


Malaria Policy Advisory Committee Meeting WHO (2019) WHO technical document of the use of non-pharmaceutical forms of Artemisia. Retrieved from https://www.who.int/malaria/mpac/mpac-october2019-session3-non-pharmaceutical-use-artemisia.pdf (29/4/2020)


Mueller, M. S., Runyambo, N., Wagner, I., Borrmann, S., Dietz, K., & Heide, L. (2004). Randomized controlled trial of a traditional preparation of Artemisia annua L. (Annual Wormwood) in the treatment of malaria. Transactions of the Royal Society of Tropical Medicine and Hygiene, 98(5), 318-321. doi:10.1016/j.trstmh.2003.09.001


Munyangi, J., Cornet-Vernet, L., Idumbo, M., Lu, C., Lutgen, P., Perronne, C., . . . Weathers, P. (2019). Artemisia annua and Artemisia afra tea infusions vs. artesunate-amodiaquine (ASAQ) in treating Plasmodium falciparum malaria in a large scale, double blind, randomized clinical trial. Phytomedicine, 57, 49-56. doi:https://doi.org/10.1016/j.phymed.2018.12.002


*Penerbitan semula artikel ini tanpa izin penulis adalah tidak dibenarkan.

2,179 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
logo.jpg

Blog ini membawakan artikel ilmiah tentang tumbuhan dan sebatian kimia semulajadi dalam bahasa yang mudah difahami.

bottom of page