top of page
  • Writer's pictureDr Che Puteh Osman

SIRI 81: JERING (DJENKOL BEAN) MERAWAT KANSER?

Saya menerima mesej melalui aplikasi Whatsapp mengenai mesej berantai tentang jering yang dikatakan merawat kanser.


Antara dakwaan lain di dalam mesej tersebut adalah buah jering adalah agen antiinfektif, anticacing, mengatur perjalanan darah dan kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Institute of Health Sciences yang berpusat di Sweden.





Jering atau dikenali sebagai djenkol di kalangan masyarakat Indonesia dan Jawa, dikenali secara saintifik sebagai Archidendron pauciflorum dari keluarga Fabaceae. Jering berbau busuk dan kuat disebabkan oleh kehadiran asid djenkolik.

Di dalam 100 g jering, terdapat 0.3-1.3 g asid djenkolik. Asid djenkolik juga ditemui di dalam buah petai. Ia mendapat nama asid djenkolik kerana ia pertama kali ditemui dari jering atau djenkol. Bukan djengkol mendapat nama dari asid djenkolik.


Benarkah jering boleh merawat kanser, atau mana-mana dakwaan di atas? Apabila saya menerima mesej berantai ini, saya menyemak terlebih dahulu adakah Institute of Health Sciences di Sweden in wujud? Carian ringkas tidak menemukan saya dengan institusi ini. Ini adalah bendera merah yang pertama.





Kemudian saya membuat carian di pangkalan jurnal berindeks seperti scopus, reaxys dan WoS. Hanya sekitar 10 artikel berindeks pernah diterbitkan dan tiada satu pun mengkaji tentang sifat antikanser sama ada di dalam tabung uji mahupun di dalam model haiwan.


Kemudian saya meneruskan carian di halaman Google Scholar. Saya menemui kajian sitotoksiti ekstrak jering terhadap sel MCF-7 (sel kanser payudara) dan sel HeLa (sel kanser ovari) menggunakan teknik cerakinan MTT. Kajian tersebut membuat kesimpulan ekstrak kulit jering berpotensi untuk dikaji sebagai agen antikanser.


Kita kena menilai jenis kajian ini. Kajian ini bersifat penemuan atau exploratory. Ia hanya saringan ringkas menggunakan teknik MTT. Ini kaedah yang digunakan penyelidik untuk memilih sampel yang sesuai untuk kajian lanjutan dan bukannya bukti perubatan.


Untuk membuktikan sesuatu bahan itu berkesan merawat penyakit, ia harus melalui kajian pra klinikal termasuk pada model haiwan dan seterusnya kajian klinikal pada manusia. Kajian tabung uji bukanlah bukti perubatan sebaliknya kajian awal untuk menilai potensi sesuatu bahan itu untuk kajian lanjutan.


Adakah bukti menunjukkan jering mengatur tekanan darah dan mempunyai sifat antiinfeksi? Dakwaan ini mungkin dibuat berdasarkan dua kertas kajian yang pernah diterbitkan.


Terdapat satu kajian terhadap model haiwan mengenai potensi ekstak jering mengurangkan paras kolesterol di dalam model tikus diabetik. Selain itu, terdapat satu kajian saringan potensi ekstrak jering merencat pertumbuhan virus hepatitis C dalam tabung uji.

Kajian ini juga berbentuk saringan atau exploratory dan masih terlalu awal untuk mengatakan ia membunuh virus hepatitis C dengan berkesan berbanding ubat sedia ada yang terbukti berkesan merawat jangkitan hepatitis C.


Dalam beberapa laporan kes, pengambilan jering dan petai menyebabkan djengkolism keadaan di mana pesakit mengalami masalah buah pinggang akut.

Antara teori yang dicadangkan penyebab djenkolism adalah pembentukan kristal asid djenkolic di dalam buah pinggang dan kesan toksik dari produk metabolisme bahan kimia semulajadi di dalam buah jering.


Janganlah bimbang jika makan petai atau jering, tetapi bersederhanalah ketika mengambil makanan ini. Kes ini juga berlaku dalam kes tertentu bukan semua orang. Tiada hubungkait antara jenis jering dan kuantiti jering dengan djenkolism. Jika anda berasa tidak sihat selepas makan petai atau jering, cepatlah ke hospital.


Nota kaki: Seringkali saya mendapat komen kononnya pengambilan makanan atau herba membantu menyembuhkan penyakit. Tetapi hakikatnya mereka tetap mengambil rawatan seperti biasa. Sebenarnya adakah mereka sembuh sebab makan herba atau kerana rawatan tersebut?


Dalam keadaan tertentu menggunakan herba tidak memudaratkan, tetapi tidak berkesan. Jika anda meninggalkan rawatan, ketika ini anda berisiko mendapat komplikasi atau penyakit anda semakin teruk. Jangan mudah percaya petua-petua dalam media sosial ini.


Rujukan:


Bunawan, N. C., Rastegar, A., White, K. P., & Wang, N. E. (2014). Djenkolism: case report and literature review. International medical case reports journal, 7, 79–84. https://doi.org/10.2147/IMCRJ.S58379


Hartati, S., Aoki, C., Hanafi, M., Angelina, M., Soedarmono, P., & Hotta, H. (2018). Antiviral effect of Archidendron pauciflorum leaves extract to hepatitis C virus: An in vitro study in JFH-1 strain. Medical Journal of Indonesia, 27(1), 12-8. https://doi.org/10.13181/mji.v27i1.2189


Madihah, Rahim, A. R., Malini, D. M., & Hermawan, W. (2018). Antihyperlipidemic Activity ofArchidendron pauciflorumFruit Peel Extract in Streptozotocin-induced Diabetes Female Wistar Rats. IOP Conference Series: Earth and Environmental Science, 166, 012015. doi:10.1088/1755-1315/166/1/012015


695 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
logo.jpg

Blog ini membawakan artikel ilmiah tentang tumbuhan dan sebatian kimia semulajadi dalam bahasa yang mudah difahami.

bottom of page