top of page
  • Gambar pengarangDr Che Puteh Osman

SIRI 83: BENARKAH KUNYIT HITAM MEMPUNYAI KHASIAT PERUBATAN?

Terdapat pelbagai dakwaan kunyit hitam merawat pelbagai penyakit antaranya kencing manis, kanser, meningkatkan keinginan seksual, meningkatkan metabolisme, merawat keradangan dan lain-lain. Benarkah dakwaan tersebut?


Kunyit hitam atau nama saintifiknya Kaempferia parviflora Wall ex. Baker merupakan tumbuhan dari keluarga Zingiberaceae dan genus Kaempferia. Kaempferia adalah genus kepada adik beradik cekur. Jika kita lihat bentuk daun dan rizomnya, Kaempferia parviflora sebenarnya adalah sejenis cekur dengan rizom seakan halia. Di dalam bahasa Inggeris, Kaempferia parviflora dikenali dengan nama black ginger atau jika dimelayukan, ia bermaksud halia hitam.

Terdapat satu lagi pokok lain yang juga dipanggil kunyit hitam iaitu Curcuma ceasia Roxb. Curcuma ceasia juga merupakan ahli keluarga Zingiberaceae dan genus Curcuma. Curcuma adalah genus kepada adik beradik kunyit termasuklah kunyit yang biasa kita gunakan di dalam masakan iaitu Curcuma longa. Rizom Curcuma ceasia sama seperti kunyit biasa kecuali warnanya gelap. Di dalam bahasa Inggeris, Curcuma ceasia juga dikenali dengan nama black turmeric.



Sebelum saya memulakan perbincangan mengenai khasiat perubatannya, penting untuk kita membezakan kedua-dua jenis tumbuhan ini. Ini kerana kedua tumbuhan ini mengandungi sebatian kimia aktif yang berbeza. Kita harus ingat, apa sahaja manfaat perubatan sesuatu tumbuhan itu disebabkan oleh kehadiran bahan kimia semulajadi di dalamnya. Malah, tahap kajian di antara dua pokok ini juga berbeza.


Kaempferia parviflora mengandungi sebatian kimia semulajadi metoksi flavone dari kelas flavonoid. Sebatian kimia ini diuji terhadap pelbagai jenis penyakit pada peringkat tabung uji dan model haiwan. Manakala Curcuma ceasia mengandungi sebatian semulajadi dari kelas terpenoid misalannya zerombone, curcuzederone dan curcuminol.


Curcuma ceasia masih dikaji pada peringkat tabung uji. Hanya terdapat beberapa kajian peringkat model haiwan dilaporkan. Berbanding Curcuma caesia, Kaempferia parviflora telah dikaji secara terperinci pada peringkat kajian tabung uji dan model haiwan, dan masih pada peringkat awal kajian klinikal.


Lambakan produk berasaskan kunyit hitam menimbulkan kekeliruan apakah jenis kunyit hitam yang digunakan di dalam produk tersebut. Adakah ia Kaempferia parviflora atau Curcuma caesia? Jika anda membeli kunyit hitam yang betul iaitu Kampferia parviflora, adakah benar tuntutan perubatan tersebut?


Sebelum saya mengulas lebih lanjut mengenai dapatan kajian berkenaan Kaempferia parviflora ini, kita patut tahu beberapa tahap kajian. Kajian paling awal adalah kajian tabung uji diikuti kajian pada model haiwan dan seterusnya kajian klinikal pada manusia.


Sesuatu bahan itu hanya akan diuji pada manusia jika ia telah terbukti selamat dan berkesan pada kajian peringkat haiwan. Seterusnya, ia akan dikaji secara klinikal kepada manusia dalam beberapa peringkat kajian dan reka bentuk kajian.


Kampferia parviflora dilaporkan dalam pelbagai kajian tabung uji dan model haiwan contohnya untuk menyiasat potensinya untuk meningkatkan metabolisme, sebagai agen antikanser, meningkatkan keinginan seksual, merawat alergi, antikeradangan, merawat osteoarthritis, masalah jantung dan lain-lain. Kajian ini masih pada peringkat tabung uji dan model haiwan dan tidak boleh digunakan sebagai bukti kunyit hitam berkesan merawat penyakit ini.


Beberapa kajian klinikal telah dijalankan untuk menilai potensi ekstrak kunyit hitam bagi meningkatkan metabolisme, merawat masalah berkaitan kerintangan insulin, darah tinggi dan obesiti. Kajian tinjauan sistematik pada tahun 2017 menyimpulkan beberapa kajian klinikal yang pernah dijalankan terhadap kunyit hitam. Kajian ini melaporkan penggunaan ekstrak kunyit hitam sehingga 1.35 gram setiap hari adalah selamat.


Kajian ini menyimpulkan Kaempferia parviflora mempunyai manfaat yang positif, namun hasil kajian ini tidak konklusif kerana saiz sampel kajian yang kecil. Antara manfaat yang diperhatikan adalah ekstrak kunyit hitam meningkatkan cengkaman tangan dan meningkatkan keinginan seksual.


Antara hasil kajian yang tidak konsklusif ialah berkenaan manfaat penggunaan krim yang mengandungi ekstrak kunyit hitam bagi mengurangkan sakit. Ini kerana tiada perbezaan yang ketara antara kunyit hitam dan ubat sedia ada. Selain itu, tiada perbezaan signifikan diperhatikan sama ada kunyit hitam meningkatkan metabolisme.


Jadi, benarkah Kaempferia parviflora merawat penyakit seperti yang didakwa? Data kajian masih kecil, dan tidak cukup untuk membuktikan kunyit hitam lebih baik berbanding rawatan sedia ada. Janganlah tinggalkan rawatan, dan jika anda bercadang untuk mengambil ekstrak kunyit hitam, berbincang dahulu dengan doktor anda. Ini kerana tidak ada banyak data berkaitan kesan interaksi ubat dan kunyit hitam.


Dr Che Puteh Osman

PhD (Natural Product Chemistry)


*Keseluruhan artikel ini adalah hakcipta drcheputeh.com. Sesiapa pun tidak dibenarkan mengubah, menyalin, menterjemah, mengedar, menerbit, atau melesen mana-mana kandungan laman ini melainkan dengan cara dibenarkan atau mendapat kebenaran bertulis dari penerbit terlebih dahulu.


Rujukan


Al-Amin, M., Eltayeb, N. M., Khairuddean, M., & Salhimi, S. M. (2019). Bioactive chemical constituents from Curcuma caesia Roxb. rhizomes and inhibitory effect of curcuzederone on the migration of triple-negative breast cancer cell line MDA-MB-231. Natural Product Research, 1-5.


Behar, N., Tiwari, K. L., & Jadhav, S. K. (2014). A review on non-conventional turmeric: Curcuma caesia Roxb. Current Trends in Biotechnology and Pharmacy, 8(1), 91-101.


Chen, D., Li, H., Li, W., Feng, S., & Deng, D. (2018). Kaempferia parviflora and Its Methoxyflavones: Chemistry and Biological Activities. Evidence-Based Complementary and Alternative Medicine, 2018, 4057456.


Mukunthan, K. S., Satyan, R. S., & Patel, T. N. (2017). Pharmacological evaluation of phytochemicals from South Indian Black Turmeric (Curcuma caesia Roxb.) to target cancer apoptosis. Journal of Ethnopharmacology, 209, 82-90.


Saokaew, S., Wilairat, P., Raktanyakan, P., Dilokthornsakul, P., Dhippayom, T., Kongkaew, C., . . Chaiyakunapruk, N. (2017). Clinical Effects of Krachaidum ( Kaempferia parviflora): A Systematic Review. Journal of evidence-based complementary & alternative medicine, 22(3), 413-428.

1,420 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
logo.jpg

Blog ini membawakan artikel ilmiah tentang tumbuhan dan sebatian kimia semulajadi dalam bahasa yang mudah difahami.

bottom of page