Dr Che Puteh Osman
SIRI 84: HERBA MERAWAT COVID-19?
Updated: 27 Jan 2021
Kebelakangan ini terdapat banyak dakwaan tumbuhan tertentu yang digunakan untuk merawat dan mencegah COVID. Antaranya semambu, chiretta atau hempedu bumi, serai, dan lain-lain. Benarkah dakwaan ini?
Untuk membuat tuntutan merawat penyakit, sesuatu ubat atau herba itu mesti melalui beberapa peringkat kajian bermula kajian tabung uji, kajian model haiwan dan kajian klinikal dalam beberapa peringkat.
Ketika usaha dunia melawan pandemik COVID-19, terdapat beberapa pendekatan yang digunakan untuk melawan jangkitan COVID-19.
Antaranya kajian menggunakan ubat sedia ada untuk merawat COVID-19, kajian pembangunan vaksin baharu, dan juga kajian menggunakan bahan aktif dari tumbuhan.
Kajian menggunakan ubat sedia lebih cepat hasilnya berbanding mengkaji bahan aktif tumbuhan, contohnya remdesivir.
Ini kerana ubat ini telah melalui kajian klinikal untuk penyakit HIV sebelum ini, dan terbukti selamat.
Berbanding bahan aktif dari sumber semulajadi misalannya tumbuhan. Ini kerana ia belum pernah diuji selamat pada manusia kecuali beberapa tumbuhan tertentu.
Di dalam ruangan yang terhad ini saya akan membincangkan beberapa bahan semulajadi yang masih dalam kajian untuk merawat COVID.
Di dalam senarai ini, tiada serai mahupun semambu. Ini kerana kedua-dua bahan ini tidak pernah dikaji untuk merawat COVID. Saya pernah tulis tentang daun semambu sebelum ini.
Terdapat beberapa peringkat kajian iaitu kajian tabung uji, kajian model haiwan dan kajian klinikal.
Temu kunci atau nama saintifiknya Boesenbergia rotunda membunuh sel COVID-19 di dalam tabung uji menggunakan 'plaque reduction assay'. Bahan aktifnya, panduratin A didapati membunuh sel virus ini pada peringkat pra-kemasukan dan selepas jangkitan.
Di dalam kajian yang sama, andragrapholide, bahan aktif dari hempedu bumi atau nama saintifknya Andrographis paniculata, dan 6-gingerol, bahan aktif halia juga membunuh sel COVID dalam tabung uji. Kajian ini diterbitkan pada tahun 2020 oleh penyelidik Thailand.
Selain itu, rocaglates, sebatian semulajadi dari tumbuhan genus Aglaia juga didapati merencat pertumbuhan virus SARS-CoV-2 di dalam tabung uji.
Di dalam kajian yang lain, andrographolide merencat enzim protease virus SARS-CoV-2 di dalam kajian permodelan komputer dan dalam di dalam tabung uji menggunakan protease assay. Perencatan enzim ini akan menyebabkan viral tidak dapat mereplikasi.
Selain itu, terdapat beberapa kajian yang dilakukan secara permodelan komputer (computer modelling) atau in silico. Bahan aktif dari tumbuhan dikaji secara simulasi iaitu tindakbalas bahan aktif tersebut dengan virus COVID-19.
Contohnya terpenoid dalam minyak aromaterapi, lada hitam (Piper nigrum), bunga cengkih (Syzygium aromaticum), halia (Zingiber officinale roscoe), terpenes, bahan kimia semulajadi dari fungus, dan lain-lain.
Terdapat beberapa laporan mengenai pengalaman penggunaan herba tradicional cina (TCM) untuk merawat simptom berkaitan COVID-19.
Namun, kajian ini bukanlah kajian rawak terkawal (randomized control trial) yang merupakan kajian berkualiti tinggi yang digunakan oleh pakar perubatan untuk membuat keputusan perubatan. Kajian klinikal lanjutan masih diperlukan.
Terdapat pelbagai kajian tinjauan melaporkan herba yang pernah dikaji untuk meningkatkan sistem imun. Kebanyakan kajian ini masih pada peringkat tabung uji dan kajian model haiwan.
Herba yang dikaji meningkatkan sistem imun merujuk sistem imun badan secara imun dan tidak spesifik kepada COVID-19. Contohnya hempedu bumi, Untuk mendapat imuniti terhadap COVID-19, seseorang sama ada perlu menddapat jangkitan COVID-19 dan sembuh, atau mendapat imuniti pasif melalui vaksinasi.
Namun, terdapat pelbagai laporan menunjukkan pesakit yang sembuh dari jangkitan COVID-19 tidak memiliki imuniti jangka panjang dan antibodi boleh hilang selepas beberapa bulan jangkitan. Ini bermakna pesakit COVID-19 yang telah sembuh berisiko dijangkiti semula.
Bahayanya apabila petua sebegini tular di media sosial, orang ramai akan cuai dan leka dari mengamalkan penjarakan fizikal, dan cuai dari memakai pelitup muka, dengan anggapan mereka kebal terhadap COVID.
Mereka boleh dijangkiti COVID, dan menjadi penyebar yang efisien.
Boleh jadi air rebusan itu tiada mudarat pun, tetapi kepercayaan ia berkesan itu yang berisiko membawa mudarat.
Jika tumbuhan yang dikaji pada peringkat tabung uji dan model haiwan ini adalah sejenis makanan yang kita biasa makan setiap hari, makanlah dengan besederhana.
Namun, jika ia bukan dari makanan yang kita biasa makan, sebaiknya elakkan kerana masih banyak data keselamatan yang belum dikenalpasti.
Oleh itu, jangan mudah percaya mesej yang tular di media sosial. Amalakan pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, dan elakkan berada di tempat yang sesak dan ramai. Kita pernah menang, dan kita akan menang sekali lagi.
Rujukan
Diniz, L. R. L., Perez-Castillo, Y., Elshabrawy, H. A., Bezerra Filho, C. D. S. M., & de Sousa, D. P. (2021). Article bioactive terpenes and their derivatives as potential SARS-CoV-2 proteases inhibitors from molecular modeling studies. Biomolecules, 11(1), 1-19. doi:10.3390/biom11010074
Kanjanasirirat, P., Suksatu, A., Manopwisedjaroen, S., Munyoo, B., Tuchinda, P., Jearawuttanakul, K., . . . Thitithanyanont, A. (2020). High-content screening of Thai medicinal plants reveals Boesenbergia rotunda extract and its component Panduratin A as anti-SARS-CoV-2 agents. Scientific Reports, 10(1). doi:10.1038/s41598-020-77003-3
Khanna, K., Kohli, S. K., Kaur, R., Bhardwaj, A., Bhardwaj, V., Ohri, P., Sharma, A., Ahmad, A., Bhardwaj, R., & Ahmad, P. (2020). Herbal immune-boosters: Substantial warriors of pandemic Covid-19 battle. Phytomedicine, 153361. Advance online publication. https://doi.org/10.1016/j.phymed.2020.153361
Kumar, D., Arya, V., Kaur, R., Bhat, Z. A., Gupta, V. K., & Kumar, V. (2012). A review of immunomodulators in the Indian traditional health care system. Journal of Microbiology, Immunology and Infection, 45(3), 165-184. doi:https://doi.org/10.1016/j.jmii.2011.09.030
Kulkarni, S. A., Nagarajan, S. K., Ramesh, V., Palaniyandi, V., Selvam, S. P., & Madhavan, T. (2020). Computational evaluation of major components from plant essential oils as potent inhibitors of SARS-CoV-2 spike protein. Journal of Molecular Structure, 1221. doi:10.1016/j.molstruc.2020.128823
Müller, C., Obermann, W., Karl, N., Wendel, H. G., Taroncher-Oldenburg, G., Pleschka, S., . . . Ziebuhr, J. (2021). The rocaglate CR-31-B (−) inhibits SARS-CoV-2 replication at non-cytotoxic, low nanomolar concentrations in vitro and ex vivo. Antiviral Research, 186. doi:10.1016/j.antiviral.2021.105012
Pandey, P., Singhal, D., Khan, F., & Arif, M. (2021). An in silico screening on Piper nigrum, Syzygium aromaticum and Zingiber officinale roscoe derived compounds against sars‐cov‐2: A drug repurposing approach. Biointerface Research in Applied Chemistry, 11(4), 11122-11134. doi:10.33263/BRIAC114.1112211134
Padhi, S., Masi, M., Chourasia, R., Rajashekar, Y., Rai, A. K., & Evidente, A. (2021). ADMET profile and virtual screening of plant and microbial natural metabolites as SARS-CoV-2 S1 glycoprotein receptor binding domain and main protease inhibitors. European Journal of Pharmacology, 890. doi:10.1016/j.ejphar.2020.173648
Shi, T. H., Huang, Y. L., Chen, C. C., Pi, W. C., Hsu, Y. L., Lo, L. C., . . . Lin, C. H. (2020). Andrographolide and its fluorescent derivative inhibit the main proteases of 2019-nCoV and SARS-CoV through covalent linkage. Biochemical and Biophysical Research Communications, 533(3), 467-473. doi:10.1016/j.bbrc.2020.08.086