• Dr Che Puteh Osman

SIRI 87: BENARKAH WAP AIR REBUSAN BUNGA CENGKIH MERAWAT COVID-19?

Bunga cengkih, atau cloves, dikenali dengan nama saintifik Syzygium aromaticum. Bunga cengkih adalah rempah ratus yang biasa kita gunakan dalam masakan. Bunga cengkih mengandungi sebatian kimia eugenol sekitar 70-80% diikuti eugenyl acetate, eucalyptol, beta-caryophyllene, flavonoid, asid krategolik, vanillin dan lain-lain.



Image by abuyotam from Pixabay

Benarkah wap air rebusan bunga cengkih merawat COVID?


Sehingga hari ini tiada kajian pada tabung uji, model haiwan mahupun kajian klinikal pada manusia membuktikan wap air rebusan cengkih merawat jangkitan COVID.


Secara tradisinya, wap air rebusan cengkih digunakan bagi melegakan simptom batuk, bronchitis, selsema, dan asma.


Walaupun secara umumnya wap air rebusan bunga cengkih tidak mendatangkan mudarat, jika anda mengalami simptom COVID, anda mesti mendapatkan rawatan segera kerana COVID bukan demam selsema biasa. Risiko anda mendapat komplikasi sehingga memerlukan bantuan oksigen dan rawatan yang lebih intensif adalah jauh lebih tinggi.

Sekitar 90% pesakit COVID telah pulih, sebahagiannya tidak mempunyai simptom manakala sebahagian yang lain melalui rawatan berdasarkan simptom yang dialami.


Wap air rebusan bunga cengkih kemungkinan besar mengandungi eugenol. Eugenol merencat enzim 5- lipoxygenase di dalam pengujian tabung uji. Enzim ini bertanggungjawab dalam penghasilan leukotrienes, yang merupakan mediator pelbagai penyakit berkaitan keradangan termasuk asma. Manakala dalam kajian model haiwan, pemberian eugenol mengurangkan simptom asma.


Walaubagaimanapun, di dalam laporan yang lain, wap eugenol mencetuskan serangan asma dan resdung (sinusitis) di kalangan pekerja yang terdedah pada wap eugenol. Sekiranya anda mengalami serangan asma, atau bronchitis, sila dapatkan rawatan perubatan dengan segera. Jangan berlengah kerana ingin mencuba wap air rebusan cengkih. Wap air rebusan cengkih boleh menyebabkan serangan asma bertambah teruk pada sesetengah individu.



Eugenol



Kesimpulannya, wap air rebusan bunga cengkih tidak merawat COVID, walaupun ia digunakan secara tradisi melegakan batuk, selsema dan serangan asma. Jika anda rasa sesak nafas, jangan berlengah dapatkan segera bantuan perubatan.


Rujukan


Pan, C., & Dong, Z. (2015). Antiasthmatic Effects of Eugenol in a Mouse Model of Allergic Asthma by Regulation of Vitamin D3 Upregulated Protein 1/NF-κB Pathway. Inflammation, 38(4), 1385-1393. doi:10.1007/s10753-015-0110-8


Quirce, S., Fernández-Nieto, M., Del Pozo, V., Sastre, B., & Sastre, J. (2008). Occupational asthma and rhinitis caused by eugenol in a hairdresser. Allergy: European Journal of Allergy and Clinical Immunology, 63(1), 137-138. doi:10.1111/j.1398-9995.2007.01525.x


Raghavenra, H., Diwakr, B. T., Lokesh, B. R., & Naidu, K. A. (2006). Eugenol - The active principle from cloves inhibits 5-lipoxygenase activity and leukotriene-C4 in human PMNL cells. Prostaglandins Leukotrienes and Essential Fatty Acids, 74(1), 23-27. doi:10.1016/j.plefa.2005.08.006


Vicidomini, C., Roviello, V., & Roviello, G. N. (2021). Molecular Basis of the Therapeutical Potential of Clove (Syzygium aromaticum L.) and Clues to Its Anti-COVID-19 Utility. Molecules (Basel, Switzerland), 26(7), 1880. Retrieved from https://www.mdpi.com/1420-3049/26/7/1880



7692 lihatan1 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
logo.jpg

Blog ini membawakan artikel ilmiah tentang tumbuhan dan sebatian kimia semulajadi dalam bahasa yang mudah difahami.